Bak kata pepatah, ‘sikit-sikit, lama-lama menjadi bukit’, jenama Absolut yang bermula daripada usaha niaga kek kendalian pelakon dan usahawan kelahiran Singapura, Nadiyah Shahab, 31 tahun, kini menjadi sebuah acara dagang yang dinanti-nanti setiap lapisan masyarakat di Singapura dan Malaysia.
Terdahulu, pelakon drama, Lafazkan Kalimah Cintamu itu, mengusahakan perniagaan kek di bawah naungan Absolut Brands Sendirian Berhad, bersama suaminya, Ben Ali, sejak 2018.
Apabila menyertai pesta dagang, Mood Republik, pada 2019 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MiTEC), Kuala Lumpur, jenama kek Absolut Chocolat telah mencetus fenomena, dengan lebih 13,000 kotak kek terjual selama tiga hari ia dianjurkan.
Melihat sambutan dan pencapaian itu, Nadiyah terdorong menggabungkan jenama dan peniaga Malaysia dalam satu usaha niaga melalui Absolut Events, yang menganjurkan acara seperti pesta makanan, dagangan dan juga bazar.
Sejak 2019, jenama acara dagang yang mengendalikan bazar Ramadan terbesar di Malaysia, Absolut Bazaar, menawarkan pelbagai jenis barangan serta penampilan daripada deretan artis popular Malaysia.
Buat julung-julung kalinya, bazar Ramadan terbesar di Malaysia itu dibawa ke Singapore Expo, mulai 14 hingga 16 Mac.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH) melalui Zoom pada 12 Mac, Nadiyah selaku Pengarah Absolut Events, berkata:
“Tahun lepas (2024), kami membawakan Absolut Food Fest di Kallang dan sambutannya sangat memberangsangkan.
“Kali ini, kami teruja dapat memperkenalkan Absolut Bazaar kepada masyarakat Singapura.”
Nadiyah turut menjelaskan terdapat permintaan tinggi daripada masyarakat Singapura yang gemar membeli kelengkapan Aidilfitri di Malaysia.
“Menjelang Syawal, ramai warga Singapura akan berkunjung ke Malaysia untuk membeli busana seperti baju kurung daripada jenama popular dan kelengkapan lain.
“Maka itu, kami mengusahakan untuk membawa jenama Malaysia ke Singapura, demi memudahkan masyarakat Melayu/Islam membeli-belah,” kata beliau.
Acara dengan lebih 400 reruai itu menampilkan jenama terkemuka dari Malaysia seperti Elrah, Shawl Publika, Tudung Ruffle dan Fiziwoo.
Manakala dari Singapura, jenama seperti Adrianna Yariqa, Yumi Basic, Naezily dan lain-lain turut mengambil bahagian.
Kemuncak Absolut Bazaar kali ini menawarkan pengalaman membeli-belah sehingga 2 pagi pada 14 dan 15 Mac.
Dengan konsep terbuka, pengunjung boleh berbuka puasa di kawasan luar dewan sambil menikmati pelbagai pilihan hidangan dari 80 reruai makanan dan minuman di Pesta Mini Makanan Absolut.
Selain itu, pengunjung berpeluang bertemu secara langsung dengan selebriti seperti Shukri Yahaya, Mira Filzah, Aedy Ashraf, Challo FC, Uqasha Senrose, Meerqeen, Datuk Aliff Syukri, Datuk Seri Vida dan Eyka Farhana.
Acara itu juga akan dimeriahkan dengan persembahan daripada Ajai, Amy Search, Aisha Retno, Iman Troye, Andy Bernadee dan ramai lagi.
Sebagai tarikan tambahan, pengunjung boleh mencuba permainan ‘Money Chamber’ atau ruang rebut wang dan berkesempatan memenangi hadiah wang tunai.
Walaupun banyak acara dagang diadakan di Singapura sempena Ramadan kebelakangan ini, Nadiyah tetap bersikap positif dan menegaskan bahawa beliau tidak berniat untuk bersaing dengan mana-mana penganjur acara.
Beliau turut menambah, setiap acara mempunyai keunikan, daya tarikan serta khalayak sasaran tersendiri.
“Saya tidak ada niat untuk menandingi sesiapa. Malah, jika kita mempunyai keinginan untuk sama-sama membantu peniaga, baik di Singapura mahupun Malaysia, apa salahnya?
“Lagipun, masyarakat Singapura bebas untuk ke mana-mana acara sekalipun.
“Yang pasti, sokongan mereka sangat bermakna dan saya sangat menghargai semangat sebegini,” jelasnya.
Bazar itu dibuka pada 14 Mac dari 12 tengah hari hingga 2 pagi; 15 Mac dari 9 pagi hingga 2 pagi; dan pada hari terakhir dari 9 pagi hingga 10 malam.
Bazar Absolut Bazaar Singapura 2025 diadakan di Dewan 4A dan 4B, Singapore Expo, dari 14 hingga 16 Mac.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg