Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pesta makan ‘Absolut Food Fest’ dibanjiri lebih 50,000 pengunjung yang sanggup tunggu 3 jam

Makanan ‘viral’ seperti Kunafa Aiwahhh, Kopi Dua Darjat, Pasta Panas dan Pancake Smol tembusi pasaran S’pura, jadi tarikan
Aug 18, 2024 | 9:50 AM
Pesta makanan ‘Absolut Food Fest’ diadakan di Singapura buat kali pertama di tempat meletak kereta di hadapan Kallang Leisure Park.
Pesta makanan ‘Absolut Food Fest’ diadakan di Singapura buat kali pertama di tempat meletak kereta di hadapan Kallang Leisure Park. - Foto INSTAGRAM ABSOLUTSINGAPORE

Setelah mencapai kejayaan meluas di Malaysia, pesta makanan Absolut Food Fest mengorak langkah untuk membawa jenama tersebut ke Singapura buat kali pertama.

Diadakan dari 16 hingga 18 Ogos di tempat meletak kereta di hadapan Kallang Leisure Park, acara tersebut melihat 91 reruai minuman dan makanan (F&B) dan 20 reruai runcit dari Malaysia dan Singapura.

Menurut jurucakap Absolut El Evento Pte Ltd, Cik Nooradilah Omar, 39 tahun, seramai 56,700 pengunjung telah membanjiri acara itu setelah tamat hari kedua pada 17 Ogos. 

Beliau berkongsi bahawa jumlah pengunjung yang hadir di luar jangkaan pihak penganjur.

Antara cabaran utama yang dihadapi pihak penganjur adalah cuaca yang tidak menentu dan menangani jumlah pengunjung yang datang dari pelbagai arah kerana ia diadakan di kawasan yang terbuka.

“Pengunjung datang dari pelbagai arah lantas kami membuat keputusan mengadakan hanya satu tempat masuk untuk menangani bilangan pengunjung yang hadir,” kata Cik Nooradilah.

Ditanya mengapa memilih untuk mengadakannya di kawasan terbuka berbanding di dewan tertutup, beliau berkata pihak penganjur mahukan sekitaran yang terbuka sambil menghidupkan suasana seperti pesta atau karnival.

Terdahulu, Absolut Food Fest pernah diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan Stadium Batu Kawan di Pulau Pinang.

Antara reruai yang mendapat sambutan hangat sehingga tular di media sosial adalah Kunafa Aiwahhh yang diusahakan oleh pempengaruh Malaysia, Zain Rosli atau lebih dikenali sebagai Ojenn Aiwahhh.

Jenama tersebut membuka tujuh reruai dan menempah penjana elektriknya sendiri kerana ingin menampung bilangan pembuatan ‘kunafa’ yang ingin dihasilkan. Ia juga telah membawa kontena ‘bilik sejuk’ bagi menyimpan bahan-bahannya.

Terdapat video tular di Instagram dan TikTok menunjukkan deretan pelanggan beratur lama sambil memegang payung dan kipas kecil untuk mendapatkan pencuci mulut ‘kunafa’ yang dijualnya. 

Semasa wartawan berada di lokasi pada 4 petang pada 17 Ogos, kelihatan deretan panjang pelanggan yang beratur walaupun cuaca ketika itu sedang hujan. 

Ada juga yang bergilir-gilir ambil tempat bersama anggota keluarga untuk beratur kerana tidak tahan berdiri lama.

Adik-beradik, Cik Siti Nur Fiqah (kanan) dan Cik Nur Syazwani (tiga dari kanan) bersama anak-anak mereka telah menunggu selama dua jam setengah untuk menunggu giliran membeli ‘kunafa’ yang tular di media sosial.
Adik-beradik, Cik Siti Nur Fiqah (kanan) dan Cik Nur Syazwani (tiga dari kanan) bersama anak-anak mereka telah menunggu selama dua jam setengah untuk menunggu giliran membeli ‘kunafa’ yang tular di media sosial. - Foto NURUL IFFAH HAMAD

Antara pelanggan yang ditemui ialah adik-beradik Cik Siti Nur Fiqah, 31 tahun, dan Cik Nur Syazwani, 32 tahun. 

“Kami sudah beratur selama dua setengah jam. Kami tidak pernah mencuba dan ingin merasakan ‘kunafa’ perisa ‘red velvet’ dan ‘lumut cheese’ selepas melihatnya di TikTok dan mendapat tahu ia amat terkenal di Malaysia. Ini kali pertama jenama itu di Singapura,” kongsi mereka. 

Selain Kunafa Aiwahhh terdapat juga beberapa jenama popular di Malaysia seperti Kopi Dua Darjat, Pasta Panas dan Pancake Smol yang membuat kemunculan di Singapura buat kali pertama.

Mengulas tentang respons pengunjung ke acara tersebut, Cik Nooradilah berkata mereka menerima maklum balas yang pelbagai. 

Walaupun terdapat maklum balas yang positif, antara keprihatinan pengunjung adalah kekurangan ruang yang luas untuk menolak kereta sorong dan membuat tempat tersebut mesra kerusi roda.

Salah seorang pengunjung, Cik Syairah Azman, 27 tahun, menikmati kepelbagaian dan konsep yang diketengahkan dalam acara itu. Namun beliau merasakan adanya ruang untuk diperbaiki.

“Menghadiri acara tersebut memberi saya peluang untuk melihat jenama dari seberang yang jarang dilihat di pameran jualan yang sering diadakan. Saya juga dapat beramah mesra dengan artis-artis dari seberang secara dekat.

“Namun ia agak sukar untuk melihat produk yang ingin dibeli dengan kawasan jalan yang agak sempit dan terlalu ramai pengunjung. Terdapat juga lantai tidak rata yang membuat pengunjung perlu berhati-hati apabila berjalan,” ujarnya.

Acara tersebut turut melihat kehadiran artis dari seberang termasuk Meerqeen, Bella Astillah, Izzue Islam dan persembahan oleh penyanyi ‘rap’ MK dan kumpulan Insomniacks.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg