Sebuah konsep restoran barat baru diperkenalkan oleh rangkaian restoran milik Melayu, The Malayan Council, apabila ia membuka restoran Malayan Settlement di Clarke Quay yang berdepan dengan pemandangan Sungai Singapura.
Terletak di tengah-tengah suasana meriah tepi perairan Clarke Quay, restoran keenam yang dibuka oleh The Malayan Council itu menyajikan pelbagai sajian klasik dengan sentuhan istimewa.
Daripada kroisan gebu, sandwic yang mengenyangkan, salad berwarna-warni hinggalah kopi artisan yang harum, setiap hidangan disediakan segar untuk memikat selera sesiapa sahaja yang ingin menikmati ‘brunch’ santai atau makan tengah hari kasual dalam suasana tenang dan mesra.
Menurut pengasasnya, Encik Mohamad Hafiz Salim Alkhatib, Malayan Settlement membawa kelainan berbanding lima lagi cawangan The Malayan Council yang lain.
“Ia memperkenalkan pendekatan yang lebih santai dan mudah didekati, seiring dengan lokasi tepi sungai yang ikonik dan bergaya di Clarke Quay.
“Ini menjadikan Malayan Settlement tempat makan yang sesuai untuk pengunjung yang ingin menikmati suasana bandar yang meriah sambil menjamu selera,’‘ ujarnya.
Menariknya, cawangan itu juga merupakan satu-satunya restoran halal di Clarke Quay, menjadikannya pilihan yang sangat dialu-alukan oleh pelanggan Muslim yang mencari tempat makan sesuai di kawasan tersebut.
Sambutan daripada pelanggan sangat menggalakkan – banyak ulasan positif menyebut tentang pencuci mulut percuma sempena hari lahir, serta kejutan mesra seperti kek tambahan untuk dibawa pulang.
Dari segi menu pula, beberapa hidangan mencuri perhatian pelanggan seperti:
Nasi Lemak Risotto – gabungan berani antara rasa tradisional dengan teknik masakan moden; Chee Cheong Fun Salad – hidangan unik yang menyegarkan; dan milkshake dengan taburan kek – pencuci mulut yang menggabungkan dua kegemaran dalam satu.
Dengan pembukaan cawangan keenam itu, The Malayan Council, terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara restoran halal premium yang membawa inovasi dan kelainan kepada cita rasa tempatan.
Sama ada anda penggemar makanan klasik atau pencinta suasana kafe bergaya, Malayan Settlement di Clarke Quay pasti memberikan pengalaman makan yang tidak dapat dilupakan.
Alamat: 3 River Valley Road, Blok B, #01-03, Singapura 179021
Waktu Operasi:
• Isnin hingga Khamis: 11 pagi hingga 11 malam
• Jumaat dan malam sebelum cuti umum: 11 pagi hingga 1 pagi
• Sabtu: 9 pagi hingga 1 pagi
• Ahad dan cuti umum: 9 pagi hingga 11 malam


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg