Setiap kali bercuti ke Malaysia, Cik Nabila Buang, 34 tahun, bersama suami dan anak-anak lazimnya menginap di resort mahupun hotel lima bintang, namun lama-kelamaan dahagakan kelainan.
Justeru dua tahun lalu, beliau sekeluarga memutuskan membuat perubahan ketara – menginap jauh dari kawasan bandar, di dalam khemah, dikelilingi kehijauan bertepian sungai.
Pengalaman manis itu membuat mereka ‘ketagih’ sehingga menjadi satu rutin untuk berkhemah sebagai satu keluarga di pelbagai tapak perkhemahan di Malaysia apabila musim cuti sekolah tiba.
“Suami saya selalu manjakan kami dengan menempah hotel lima bintang, tetapi lama-lama ia menjadi bosan kerana kami pandang tembok bilik, mandi di kolam renang dan makan di restoran, tidak banyak beza daripada kehidupan harian di Singapura.
“Jadi apabila saya bawa anak-anak berkhemah, mereka pada mulanya tidak begitu suka – banyak pasir, mereka anggap kotor. Tetapi setelah mengalaminya, anak-anak saya terus tanya bila kami akan berkhemah lagi!
“Ia dijadikan hobi keluarga kerana membantu kami mempererat hubungan dan dalam pada itu, bina keyakinan diri anak-anak saya dan asah kemahiran hidup mereka,” ujar pemilik jenama pakaian Simply Bella itu.
Berkhemah sememangnya sesuatu yang bukan asing bagi ibu empat anak berusia antara setahun dengan 11 tahun itu kerana mereka sebelum ini kerap berkhemah di pantai Singapura seperti di East Coast Park dan Changi.
Namun, beliau ingin teroka kawasan lain di Malaysia yang menawarkan kepelbagaian dari segi pemandangan dan pengalaman semula jadi.
Menurut beberapa tapak perkhemahan yang dihubungi Berita Minggu (BM), mereka menyaksikan minat yang meningkat dalam kalangan warga Singapura dengan peningkatan dalam jumlah pekhemah yang merentas sempadan ke Malaysia bagi tujuan berkhemah.
Jurucakap El-Dhuha Campsite di Kulai, Johor bersebelahan air terjun Gunung Pulai 2, berkongsi bahawa mereka menerima seramai 61 pekhemah Singapura dari Januari hingga November tahun ini.
Pemilik Tiger Base Camp, Encik Noor Edham Abdul Rahman, yang lebih dikenali dengan nama Edham Tiger, berkata kenaikan dalam bilangan pekhemah Singapura meningkat setelah pandemik Covid-19.
Walaupun orang ramai rata-rata boleh berkhemah secara bebas di mana-mana, beliau berkata tapak perkhemahan seperti yang didirikannya di Jalan Tanjung Leman, Johor itu menyediakan kemudahan asas seperti tandas dan lampu selain menetapkan langkah keselamatan.
“Walaupun sejauh ini tidak ada kejadian pekhemah terserempak dengan binatang liar kecuali tenuk, kakitangan kami turut menginap di sana dan membuat rondaan untuk memastikan tidak ada kejadian di luar kawalan yang berlaku,” jelasnya.
Menurut Cik Nabilah, beliau sekeluarga lebih suka berkhemah di tepi sungai berbanding di pantai, dengan kebanyakan tapak perkhemahan terletak di negeri Selangor dan Perak disebabkan air sungainya yang boleh dikatakan lebih jernih berbanding negeri lain di Malaysia.
“Ketenangan dan keindahan sungai sangat menakjubkan memandangkan di negara kita tidak ada tapak perkhemahan di tepi sungai.
“Apabila anak-anak saya mendengar bunyi arus sungai, mereka sangat teruja! Mereka berenang dan menghayati detik itu. Apabila dengar bunyi dari hutan pula, mereka meneka ia datang dari haiwan mana,” katanya sambil melahirkan harapan agar anaknya lebih mengenal erti kehidupan menerusi pendedahan kepada alam semula jadi.
Kegiatan yang boleh dilakukan memang tiada penghujungnya, kata Cik Nabilah.
Selain berendam dan berenang di sungai, anak-anaknya juga dapat bermain pasir, menangkap ikan, meredah jeram (rafting), memerhati bintang di langit malam malah bantu untuk memacak khemah.
Sambil suaminya melayan kegiatan anak-anak, Cik Nabilah pula sempat memasak pelbagai juadah untuk dinikmati beramai-ramai menggunakan dapur mudah alih yang dibawa dari Singapura.
Untuk memastikan pengalaman berkhemah yang lancar, Cik Nabilah berkata banyak persediaan perlu dilakukan dari segi logistik yang perlu dibawa di samping kajian tentang tapak yang bakal dikunjungi.
Menurutnya, beliau sekeluarga sudah berbelanja sehingga $30,000 secara keseluruhan bagi peralatan khemah sejak mereka memulakan hobi mereka dua tahun lalu kerana lebih suka barang canggih dan bermutu tinggi.
Namun, beliau akur ini semua bergantung kepada bajet masing-masing.
“Banyak kriteria juga dipertimbangkan sebelum mendirikan khemah di tapak berbeza di Malaysia, contohnya sumber air bersih, selamat daripada binatang liar, ruang singki untuk mudahkan mencuci alat memasak, tempat untuk solat, penjaga tapak perkhemahan yang peramah dan memberi perhatian kepada kami sewaktu kami berada di sana. Semua ini penting untuk mewujudkan rasa puas apabila berkhemah,” katanya.
Tepuk dada tanya selera, Cik Nabilah berkata bahawa kegiatan berkhemah ini mempunyai beberapa tahap – dari kawasan pedalaman yang tiada liputan rangkaian (network coverage) ataupun tapak yang lebih mudah diakses dan serba lengkap.
Justeru pekhemah perlu bijak memilih berdasarkan keselesaan masing-masing.
Namun, apa yang dijamin, katanya, ialah pengalaman yang ditimba sememangnya manis dan sukar dilupakan.
“Labur dalam alat dan perkakas yang baik untuk bantu anda rasa seronok berkhemah. Gunakan masa untuk bersantai, teroka sekitaran, hirup udara segar dan menghayati keindahan semula jadi yang nyaman,” kata beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg