Dengan kegiatan berkhemah di tapak semula jadi serata Malaysia menjadi semakin popular, ‘kaki camping’, Cik Mazlina Abu Bakar, menekankan pentingnya melakukan banyak kajian sebelum seseorang mendirikan khemah di kawasan tertentu, terutama bagi mereka yang baru mula berjinak-jinak.
Warga Malaysia itu yang kerap berkhemah – sekurang-kurangnya dua kali sebulan – berkata terdapat banyak ruang berkhemah yang sudah disahkan selamat dan mempunyai reputasi baik, justeru mereka yang masih di tahap ‘beginner’ disyorkan agar memilih tempat tersebut berbanding kawasan terpencil.
Dihubungi Berita Minggu (BM), Cik Mazlina, yang berkecimpung dalam bidang sumber manusia, berkata beliau sendiri pernah berdepan dengan keadaan mengancam nyawa ketika sedang berkhemah di tepi sungai daerah Padang Rengas, Perak, pada Jun 2023.
“Saya sedang mandi sungai, tiba-tiba air terasa semakin deras. Saya mula nampak ranting, buah-buahan kecil yang terapung. Selalunya kalau begitu, saya tengok langit dan ia kelihatan gelap, petanda hujan. Arus air pun rasa laju, kami pun cepat-cepat keluar dari sungai.
“Sejurus selepas itu, air menjadi sangat deras dan warna air bertukar. Jika anda mula lihat tanda-tanda seperti itu, keluar dengan segera dan jangan mandi,” ujarnya sambil menggambarkan kejadian itu seperti kepala air, bermaksud gelombang aliran air mengejut yang besar mengalir dari hulu sungai atau air terjun ke sungai utama.
Ibu dua anak itu yang kerap berkongsi pengalaman perkhemahannya menerusi akaun TikTok @mazz_adventures yang mempunyai lebih 27,500 pengikut, berkata Internet dan media sosial kini menjadikan ia lebih mudah bagi orang ramai mencari maklumat dan sumber tentang kawasan perkhemahan yang sesuai sebelum menuju ke sana.
Walau tampak seronok seperti yang tertera di media sosial, Cik Mazlina, 48 tahun, juga menarik perhatian bahawa kegiatan berkhemah ini “bukan untuk semua”.
Bagi mereka yang tidak pernah berkhemah, beliau berkata usah terburu-buru untuk membeli perlengkapan perkhemahan sendiri, sebaliknya, cari tapak yang menyewakan barang-barang untuk mendirikan khemah.
“Dengan cara ini, anda boleh rasa pengalaman tersebut, sama ada anda suka atau tak suka. Ini untuk elak daripada keadaan di mana anda sudah beli khemah mahal-mahal tetapi akhirnya dapati kegiatan ini terlalu leceh,” ujarnya yang menambah bahawa perlengkapan perkhemahan boleh menelan belanja sehingga RM5,000 ($1,508).
Antara keperluan asas ialah khemah bermutu baik, tilam, bantal, kerusi, meja, dapur perkhemahan, periuk dan pinggan mangkuk, kata Cik Mazlina yang selalunya berkhemah bersama suaminya di pelbagai tapak termasuk Perak, Selangor, Mersing, Desaru.
Ditanya keistimewaan berkhemah, beliau berkata:
“Ia memberi saya ketenangan mental kerana sudah terbiasa bekerja dalam sekitaran pejabat.
“Apabila saya keluar berkhemah, saya dikelilingi alam semula jadi. Saya tidak bergantung kepada alat eletrik biasa – tidak ada dapur mewah, peralatan memasak yang canggih, peti sejuk, televisyen. Jadi ia ibarat dunia lain. Suasananya menenangkan jiwa dan itu yang saya suka sangat.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg