Topik diikuti
Pergi ke BHkuManfaat baca buku bersama anak sejak bayi
Sesi rangsang perkembangan bahasa, memperdalam ikatan emosi antara ibu bapa dengan anak
Manfaat baca buku bersama anak sejak bayi
Terdapat peribahasa yang mengingatkan kita bahawa membaca dapat membuka minda dan meluaskan wawasan.
Ia termasuk, ‘jauh berjalan luas pengalaman, banyak membaca luas pengetahuan’.
Oleh itu, tabiat membaca perlu dipupuk dalam kalangan kanak-kanak sejak kecil, bahkan sebelum mereka mampu membaca sendiri.
Pakar menyarankan amalan ini dilakukan sejak lahir kerana kajian telah membuktikan bahawa membaca lantang kepada bayi membawa pelbagai manfaat penting.
Amalan ini bukan sahaja membantu dalam merangsang perkembangan otak dan memperkukuh kemahiran bahasa, malah ia juga dapat memperdalam ikatan emosi antara ibu bapa dengan anak.
Bayi yang dibacakan buku setiap hari akan mendengar dan terdedah kepada berjuta-juta perkataan tambahan sebelum memasuki alam persekolahan.
Ia sekali gus meningkatkan keupayaan kanak-kanak dalam memahami bahasa dan komunikasi.
Perkembangan kognitif dan bahasa
Pada tahun pertama, seorang bayi membentuk kira-kira sejuta sambungan saraf sesaat.
Bacaan lantang akan mengukuhkan litar untuk bunyi pertuturan, irama dan kosa kata.
Apabila ibu bapa membaca buku kepada bayi mereka, mereka akan memperkenalkan bunyi pertuturan seperti intonasi, irama dan sebutan perkataan.
Sebagai contoh, ketika membaca buku bergambar dengan ayat berulang seperti, “Ini kucing, meow; Ini anjing woof!”, seorang bayi akan mendengar bunyi yang konsisten dalam ayat.
Setiap kali seorang bayi itu mendengar perkataan yang sama, otaknya akan mengukuhkan sambungan saraf yang berkaitan dengan bunyi tersebut.
Lama-kelamaan, bayi itu akan mengenali irama bahasa.
Interaksi antara ibu bapa dengan bayi mereka juga memainkan peranan penting dalam merangsang pertumbuhan otak bayi secara aktif.
Sebagai contoh, apabila ibu bapa menunjukkan gambar kucing sambil menyebut, “Ini kucing”, ini membantu bayi mereka mengaitkan bunyi dengan sesuatu yang nyata.
Menurut kajian, kanak-kanak yang dibacakan secara kerap kaya dengan kosa kata.
Mereka mendengar sehingga 1.4 juta patah perkataan tambahan sebelum memasuki prasekolah berbanding rakan sebaya yang tidak dibacakan buku.
Apabila ibu bapa membacakan buku cerita setiap hari, si anak akan mendengar pelbagai perkataan baharu yang mungkin tidak digunakan dalam perbualan harian.
Misalnya dalam buku bergambar tentang haiwan, si anak mendengar perkataan seperti kuda belang, zirafah, badak sumbu dan kancil.
Mereka akan menyimpan bunyi dan makna perkataan-perkataan tersebut dalam bank minda mereka.
Penggunaan ayat yang berulang seperti “Jangan takut. Ia bukan tikus betul. Ia tikus mainan.” dalam buku cerita bergambar, Tikus Putih Adil, bukan sahaja membantu kanak-kanak mengenali struktur bahasa, bahkan menambah kosa kata secara tekal.
Lama-kelamaan, kanak-kanak yang sering dibacakan buku akan lebih mudah memahami arahan, berupaya bercerita dan boleh berkomunikasi dengan orang lain, kerana mereka sudah terbiasa dengan pendedahan kepada pelbagai perkataan sejak kecil.
Pendedahan kepada buku juga memperkenalkan huruf, nombor, warna, corak dan pelbagai lagi konsep dengan cara yang menyeronokkan, dan ini merupakan asas penting dalam kemahiran membaca dan menulis apabila mereka memasuki alam persekolahan.
Apabila ibu bapa menunjukkan buku bergambar dan menunjukkan serta menyebut “A untuk Ayam, B untuk Burung…”, si anak akan mula mengenali bentuk huruf walaupun mereka belum boleh membaca.
Begitu juga dengan nombor.
Dengan menyebut, “Satu matahari, dua pokok, tiga kucing…”, ini membantu kanak-kanak mengaitkan simbol nombor dengan bilangan sebenar.
Kemahiran komunikasi dan sosial
Bacaan lantang membantu kanak-kanak membina tumpuan, kefahaman mendengar dan daya ingatan.
Apabila ibu bapa membaca buku cerita seperti, Beluncas yang Sangat Lapar, si anak akan mendengar urutan peristiwa yang berlaku setiap hari dalam seminggu.
Sebagai contoh, Si Beluncas makan sebiji epal pada hari Isnin, dua biji pear pada hari Selasa dan seterusnya.
Walaupun kanak-kanak belum memahami sepenuhnya, otak kanak-kanak dilatih untuk menumpukan perhatian kepada suara, intonasi dan jalan cerita.
Lama-kelamaan, kanak-kanak mula ingat urutan hari dalam seminggu, apa yang dimakan oleh Si Beluncas dan bilangan makanan yang dimakan oleh Si Beluncas setiap hari.
Apabila ibu bapa mengulang membaca buku yang sama setiap hari (selalunya atas permintaan si anak), si anak bukan sahaja mengenali, malah mengingati perkataan atau frasa yang berulang seperti “beluncas yang sangat lapar”.
Kegiatan membaca merupakan satu pembelajaran interaktif buat kanak-kanak.
Apabila ibu bapa membacakan buku bergambar kepada si anak, mereka biasanya akan memberikan tindak balas dengan menunjuk atau menyentuh gambar, mengeluarkan bunyi atau cuba meniru perkataan yang disebut oleh ibu bapanya.
Sebagai contoh, ketika membaca buku, Beluncas yang Sangat Lapar, si anak mungkin menunjuk pada beluncas, epal, pear dan makanan lain yang dimakan Si Beluncas.
Semasa sesi membaca, ibu bapa boleh berdialog dengan anak mereka.
Dikenali sebagai bacaan dialogik, ibu bapa boleh mengajukan soalan mudah untuk melibatkan si anak dalam sesi membaca cerita tersebut.
Ketika membaca buku bergambar, Belucas yang Sangat Lapar misalnya, ibu bapa boleh bertanya soalan seperti berikut:
Apakah yang akan berlaku selepas ini?
Apakah yang Si Beluncas akan makan selepas ini?
Jika kamu Beluncas, apakah yang hendak kamu makan esok?
Jika kamu Beluncas, apakah yang kamu akan lakukan selepas ini?
Soalan-soalan yang diajukan semasa bacaan dialogik akan mempercepatkan perkembangan bahasa kanak-kanak kerana ia menggalakkan mereka mendengar, berfikir dan cuba memberi jawapan.
Emosi dan ikatan
Semasa ibu bapa membaca kepada anak mereka, suara dan keakraban yang terjalin membuatkan si anak berasa selamat.
Sebagai contoh, ketika ibu bapa mendukung atau meriba si anak sambil membacakan buku bergambar, ini akan membuatkan si anak mengaitkan suara lembut dan sentuhan dengan perasaan disayangi.
Ini membuatkan membaca buku suatu kegiatan yang menggembirakan dan menyeronokkan kerana kanak-kanak akan mengaitkannya dengan pengalaman yang positif bersama ibu bapa mereka.
Semasa membaca, ibu bapa pasti akan menggunakan nada suara yang pelbagai untuk membantu anak mereka memahami emosi dan intonasi pertuturan.
Misalnya, ibu bapa akan membaca cerita dengan suara gembira pada bahagian yang menyeronokkan dan suara perlahan pada bahagian yang menyedihkan.
Ini akan membuat kanak-kanak dapat membezakan emosi melalui intonasi.
Lama-kelamaan, kanak-kanak mula menunjukkan reaksi tertentu bersesuaian dengan keadaan.
Apabila ibu bapa menetapkan masa tertentu untuk membaca lantang kepada si anak setiap hari, kanak-kanak akan mengaitkan amalan menenangkan ini dengan masa rehat bersama ibu bapa.
Misalnya, rutin membaca lantang ini boleh berlaku pada malam hari sebelum tidur.
Rutin yang menenangkan ini bukan sahaja membantu kanak-kanak lebih mudah tidur, malah mengukuhkan ikatan antara ibu bapa dengan anak-anak mereka kerana ia menjadi waktu istimewa yang diluangkan bersama secara tekal.
Kegiatan membaca lantang ini mudah dan langsung tidak memerlukan belanja besar.
Ibu bapa boleh membawa anak-anak ke mana-mana cawangan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) untuk meminjam buku, kemudian menikmatinya bersama di rumah, atau mengikuti program khas untuk si kecil dan ibu bapa yang dianjurkan oleh NLB.
Ibu bapa juga boleh menyertai program, ‘Language Explorer dan Maths Explorer’, di bawah naungan ‘Ready Set Learn (RSL)’, oleh Yayasan Mendaki.
Selain menyeronokkan, membaca kepada anak-anak juga menjadi masa berkualiti yang mengeratkan hubungan keluarga selain daripada meraih manfaat-manfaat yang telah dikongsikan di atas.
Program RSL
- ‘RSL Language Explorer’ ialah program membaca yang membantu ibu bapa membina kemahiran bahasa awal anak melalui pengalaman membaca yang bermakna.
- Melalui bengkel interaktif ibu bapa dan anak, ibu bapa akan mempelajari strategi amali untuk menjadikan kegiatan membaca sebahagian daripada rutin harian di rumah yang menarik dan menyeronokkan.
- Program ini direka khusus untuk keluarga yang mempunyai anak, daripada bayi baru lahir hingga berusia enam tahun.
- Ia bertujuan membantu ibu bapa berasa lebih yakin dalam menyokong perkembangan bahasa anak mereka, sambil memupuk minat terhadap buku dan membina tabiat membaca positif sejak usia awal.
- ‘RSL Maths Explorer’, yang sebelum ini dikenali sebagai KelasMateMatika (KMM), membantu ibu bapa memainkan peranan aktif dalam menyokong pembelajaran anak-anak mereka melalui kegiatan matematik yang menyeronokkan.
- Program ini direka khusus untuk ibu bapa yang mempunyai anak prasekolah berusia antara empat dengan enam tahun.
- Melalui kegiatan interaktif yang dibimbing oleh fasilitator berkelayakan, ibu bapa dan si anak dapat mengeratkan hubungan sambil bersama-sama meneroka dunia angka, warna, bentuk dan saiz dengan cara yang menyeronokkan dan bermakna.
- Untuk maklumat lanjut, layari ke pautan berikut: https://bh.sg/mendakirsl
Program NLB
- Senarai acara dan kegiatan menarik yang boleh disertai seisi keluarga di https://bh.sg/nlbkegiatan
- Program dan saranan bacaan dalam bahasa Melayu di https://bh.sg/nlbmelayu
Penulis ialah Pensyarah Adjung (Pendidikan Awal dan Pembangunan Kanak-kanak) di Institut Nasional Pembangunan Awal Kanak-kanak (NIEC). Beliau juga naib ketua rangkaian profesional Mendaki untuk pendidikan awal kanak-kanak dan ahli panel penasihat untuk jabatan perkhidmatan perpustakaan Melayu, NLB.
