Topik diikuti
Pergi ke BHkuIbu sediakan perpustakaan di rumah agar anak suka membaca
Percaya dapat bina penguasaan bahasa; ratusan buku kanak-kanak pelbagai genre dalam koleksi
Pada September, Singapura akan meraikan Bulan Membaca Nasional pertamanya, dengan pelbagai inisiatif bagi menggalak orang ramai membaca secara kerap. Salah satu daripadanya ialah Cabaran ReadSG, yang menghendaki peserta membaca 15 minit sehari selama sekurang-kurangnya 15 hari dalam sebulan. Ikuti laporan Berita Harian mengenai cara memupuk tabiat membaca dalam kalangan keluarga.
Ketika membesar, Cik Sheril Melissa Seri Preyatmo, bukanlah seorang ulat buku.
Tetapi selepas melahirkan anak sulungnya, beliau mula membeli buku untuk dibaca kepada bayinya itu.
Minatnya terhadap buku kemudian terus berkembang hingga beliau menubuhkan perpustakaan kecil di rumah dengan ratusan buku, selain menjual buku secara kecil-kecilan.
Hari ini, membaca buku menjadi satu kebiasaan bagi keluarga Cik Sheril, 37 tahun.
Ibu dua anak berusia lima dan lapan tahun itu sudah melihat manfaat amalan membaca buku secara tekal, seperti penguasaan bahasa yang baik, dan ini amat membantu dalam memahami tugasan sekolah.
“Suami saya suka membaca ketika beliau kecil, tetapi saya hanya mula jatuh cinta dengan kegiatan membaca selepas anak sulung saya dilahirkan.
“Saya membaca kepadanya sejak dia bayi dan dia sangat sukakannya,” kata Cik Sheril.
“Sekarang dia sudah besar dan boleh membaca sendiri, jadi saya pun sudah kurang membaca untuknya.
“Tetapi saya masih membaca untuk anak bongsu saya.
“Biasanya kami membaca beberapa buku sebelum dia tidur petang,” tambahnya.
Bagi memudahkan akses kepada buku, suri rumah itu menubuhkan perpustakaan kecil dalam bilik tidur anak-anaknya di flat empat bilik keluarga itu di Yishun.
Ia mempunyai buku kanak-kanak daripada pelbagai jenis genre seperti novel grafik, komik, buku kanak-kanak Islamik, buku dwibahasa dan buku kanak-kanak bahasa Melayu.
Antara buku yang digemari anak sulung Cik Sheril ialah siri detektif tempatan, Sherlock Sam; siri Islamik, Eliyas Explains; komik Melayu, Mechamato; siri komik Sains tempatan, Happy Dragon dan World of Science.
Anak bongsunya pula meminati siri dwibahasa, Ally’s Adventures, yang diterbitkan syarikat tempatan Poppet, dan buku bergambar dwibahasa, Pitter Patter At The Playground, terbitan syarikat tempatan Safaa Safiyyah.
Cik Sheril juga membawa anak-anaknya ke Perpustakaan Yishun setiap minggu untuk meminjam buku baharu dan juga buku tempatan.
Biasanya di perpustakaan, Cik Sheril akan mencari buku bergambar berdasarkan minat anak bongsunya, manakala anak sulung beliau akan mencari bukunya sendiri.
“Selain itu, memandangkan saya pun menjual buku, apabila stok baru datang, saya pun mengetepikan beberapa buku untuk perpustakaan rumah kami,” kongsi Cik Sheril yang mengendalikan perniagaan Read with Ummi yang menjual buku kanak-kanak Islamik.
Tidak sekadar membeli dan meminjam buku, Cik Sheril turut menggalakkan anak-anaknya mengisi masa dengan membaca.
“Misalnya apabila kami keluar, kami akan membawa beberapa buku untuk dibaca dalam perjalanan.
“Anak sulung saya kini pun mempunyai pembaca e-buku Kobo dan ini sangat memudahkan kerana dia tidak perlu membawa banyak buku,” katanya.
Cik Sheril berkata kegiatan membaca telah mengeratkan hubungan antara beliau dan suami dengan anak-anak, menerusi perkongsian cerita dan ilmu yang diraih daripada buku yang dibaca.
“Saya juga dapati anak bongsu saya, yang sedang belajar membaca, kini lebih yakin bersuara apabila membaca bersama saya.
“Anak sulung saya pula sukar berenggang dengan buku.
“Dia juga suka berkongsi apa yang dibacanya, seperti fakta sains, yang saya pun tidak pernah dengar sebelum ini.
“Dengan penguasaan bahasa yang baik, dia juga mudah memahami kerja sekolah,” kata Cik Sheril.
“Selain itu, buku bukan sekadar mengandungi cerita.
“Ia adalah medan latihan untuk imaginasi, yang membolehkan kita menyelami kehidupan orang lain, merasai kesedihan, kegembiraan, ketakutan dan cabaran yang mereka hadapi.
“Buku mengajar kita untuk memahami dan menghargai perasaan orang lain,” tambahnya.
“
“Saya juga dapati anak bongsu saya, yang sedang belajar membaca, kini lebih yakin bersuara apabila membaca bersama saya. Anak sulung saya pula sukar berenggang dengan buku. Dia juga suka berkongsi apa yang dibacanya, seperti fakta sains, yang saya pun tidak pernah dengar sebelum ini.”