Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Maya Karin: Soal jodoh, rezeki di luar kawalan

Jan 22, 2025 | 3:33 PM
Maya Karin mencari kebahagiaan dan kelancaran dalam kerjaya seni tetapi tidak menafikan menanti jodoh yang baik pada 2025.
Maya Karin mencari kebahagiaan dan kelancaran dalam kerjaya seni tetapi tidak menafikan menanti jodoh yang baik pada 2025. - Foto FACEBOOK MAYA KARIN

Dalam mengharungi 2025, tiada apa yang diimpikan jelitawan, Maya Karin, melainkan kebahagiaan diri dan kejayaan dalam kerjaya seni.

Tanpa berselindung, Maya, atau nama sebenarnya, Maya Karin Roelcke, 45 tahun, mengaku berharap dipertemukan dengan jodoh yang baik, pada 2025, namun, semuanya diserahkan kepada Allah.

“Saya harapkan kebahagiaan peribadi dan kejayaan dua filem sebab sudah lama naskhah saya tidak ditayangkan. Alhamdulillah, peminat tidak lupakan saya walaupun bertahun-tahun dalam industri seni.

“Kalau soal jodoh, insya-Allah, kalau ada, sudah tentu ia menjadi suatu perkara yang baik untuk saya. Tetapi, perkara itu paling tidak boleh ditentukan untuk diri sendiri,” katanya sewaktu ditemui Berita Harian Malaysia (BHM) pada Anugerah Usahawan Madani 2024, anjuran Dewan Perniagaan Datuk Dato’ Malaysia, di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 21 Januari.

Pada majlis itu, Maya menerima Anugerah Usahawan Madani atas pencapaiannya dalam bidang seni.

Maya, pelakon kacukan Melayu-Jerman, juga memberitahu, beliau berusaha mencari jodoh, namun, perkara itu bukanlah sesuatu yang boleh dijangka.

“Saya memang fikir (soal jodoh) dan berusaha. Namun, ia bukan dalam kawalan saya. Sama seperti kerja, kalau kita buat dan beri yang terbaik, berdisiplin, tidak tidur serta sebagainya, namun, kalau tiada rezeki, tiada juga.

“Malah, walaupun kita tulis surat cinta, kalau tidak disambut betul-betul, hendak buat macam mana? Kita tak boleh paksa hati orang,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Maya menafikan dirinya kecewa dengan cinta, sebaliknya, mengakui beliau sedang bersabar.

Sebelum ini, Maya pernah berkongsi sedang menjalin hubungan bersama jejaka Perancis berusia awal 40-an tahun.

Maya bakal tampil dalam filem Telaga Suriram, arahan Osman Ali.

Filem itu turut dibintangi Farid Kamil, Nabila Huda dan Scha Alyahya.

Maya juga membintangi filem Duyung: Legenda Aurora yang turut menampilkan barisan pelakon asal naskhah berkenaan, iaitu Saiful Apek dan Yasmin Hani.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg