Ramai kenali Melaka sebagai negeri di Malaysia yang kaya dengan sejarah dan warisan yang diiktiraf Tapak Warisan oleh Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) pada 2008.
Mungkin ramai yang pernah menaiki bas atau memandu kereta ke sana untuk bercuti dengan keluarga sambil menikmati pelbagai makanan enak.
Kini, anda berpeluang ke Melaka dengan menaiki pesawat.
Penerbangan ke Melaka dengan pesawat Embraer E190-E2 mengambil masa kira-kira 45 minit telah bermula pada 23 Oktober oleh syarikat penerbangan kos rendah, Scoot – memudahkan lagi ke negeri itu sebagai antara pilihan untuk bercuti bersama keluarga.
Baru-baru ini, saya berpeluang mencuba penerbangan itu. Pesawat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka di Batu Berendam, kira-kira 20 minit dari Bandar Hilir melalui kereta.
Setibanya di Melaka, saya dan rakan media lain disambut mesra oleh kakitangan daripada Tourism Malaysia bagi percutian tiga hari dua malam itu dan kami dibawa ke tempat penginapan di Baba House Melaka.
Dibuka semula pada 2022, hotel yang berhampiran Jonker Street itu terletak di dalam rumah tradisional kaum Peranakan.
Menjejakkan kaki ke dalam hotel itu, saya terpegun melihat bagaimana mereka berjaya mengekalkan ciri-ciri asli sambil menerapkan elemen moden dalam reka bentuk dalamannya.
Ia seakan muzium mini yang kaya dengan pelbagai perabot Peranakan lama daripada tiga generasi keluarga Tan yang pernah menetap di dalam bangunan itu dipamerkan di dalam hotel tersebut.
Hotel itu pernah memenangi pingat gangsa bagi Rekaan Dalaman Hijau dan Penggunaan Semula di anugerah rekaan dalaman REKA Awards pada 2022.
Terdapat juga gim kecil, bilik bacaan, dan restoran yang diberi nama Mari Chiak di mana ia menyajikan sarapan bufet untuk tetamu.
Selepas berehat seketika, kami dibawa ke Encore Melaka yang merupakan teater berputar 360 darjah – yang terbesar di Asia Tenggara.
Ia menawarkan pengalaman unik sambil menonton pementasan yang menceritakan tentang sejarah Melaka.
Selain menggabungkan seni mempertahankan diri, tarian dan lakonan, ia juga bermain dengan audio, kesan visual dan penataan lampu yang menarik.
Saya sangat kagum melihat dedikasi para penghibur yang kebanyakan adalah belia membuat yang terbaik untuk setiap persembahan.
Walaupun ruang auditorium itu tidak penuh dengan penonton, mereka tetap membuat dua hingga tiga persembahan setiap hari.
Mungkin kerana lokasinya yang agak terpencil membuatnya masih kurang dikenali pelancong.
Walaupun bangunan megah yang berlatar-belakangkan Selat Melaka itu telah siap dibina sebelum Covid-19, ia hanya dibuka sepenuhnya kepada pengunjung pada Julai 2024.
Antara tempat yang wajib dikunjungi ialah kawasan Jonker Street yang terdapat pelbagai kedai menjual barangan tempatan seperti dodol, tat nenas Nyonya dan kopi tradisional yang boleh dibawa pulang sebagai oleh-oleh.
Pastinya deretan rumah kedai yang kini meriah dengan pelbagai kedai unik mengingatkan saya kepada Haji Lane di Singapura.
Kami sempat berjalan di lorong-lorong dengan lukisan dinding yang cantik dan sesuai untuk berswafoto seisi keluarga. Saya juga sempat bergambar untuk memuat naik ke akaun media sosial saya!
Semasa berjalan, kami juga sempat berhenti seketika di Masjid Kampung Kling di kawasan Jonker Street yang mempunyai pengaruh kaum Cina dengan kubahnya berbentuk seperti ‘pagoda’.
Masjid itu terletak berdekatan dengan kuil Hindu dan kuil Cina membuat kawasan itu digelar sebagai ‘Harmony Street’ – menunjukkan masyarakat berbilang bangsa dan agama di kota Melaka.
Kami juga disajikan dengan pelbagai hidangan kaum Peranakan yang penuh dengan rasa rempah ratus seperti Ayam Ponteh, Udang Sambal, Kacang Panjang Belacan dan Kueh Pai Tee di restoran Nyonya Lin’s Kitchen.
Pada waktu malam, kami berpeluang menaiki pelayaran di Sungai Melaka yang santai sambil menikmati pemandangan bangunan bersejarah yang dihiasi dengan lampu berwarna-warni.
Terletak hanya satu setengah jam daripada Melaka, Port Dickson adalah satu destinasi yang boleh dikunjungi bersama keluarga lebih-lebih lagi jika mengidamkan percutian di pantai sambil melakukan sukan air.
Pada hari kedua, kami meninggalkan kota Melaka untuk bermalam di Lexis Hibiscus, pusat peranginan mewah yang menawarkan bilik tidur berkonsep ‘vila di atas air’.
Saya sangat teruja dan seronok kerana sering melihat video mengenai vila unik itu tetap belum berkesempatan mencubanya sendiri.
Selepas mendapat kunci bilik, kami perlu menaiki ‘buggy’ untuk ke vila masing-masing. Terdapat kolam renang dan bilik sauna privet dalam setiap vila.
Menariknya, terdapat lantai berkaca yang memberi anda peluang melihat laut di bawah vila ‘terapung’ tersebut.
Pusat peranginan itu turut menawarkan pelbagai kegiatan bagi seisi keluarga termasuk ruang karaoke, ruang permainan kanak-kanak dan sukan seperti memanah dan tenis meja.
Terdapat juga pantai privet yang membolehkan anda melakukan sukan air dan beberapa restoran yang menawarkan sajian berbeza.
Kami mengakhiri lawatan di Port Dickson dengan pelayaran bersama Dickson Dragon Cruise yang menawarkan pengalaman unik melihat matahari terbenam sambil menikmati minuman di atas kapal persiaran dua tingkat.
Saya rasa ia satu pengalaman menarik yang boleh dinikmati bersama keluarga untuk berehat dan menenangkan minda sebelum kembali ke rutin seharian yang sibuk di Singapura.
Pastinya percutian ini antara pengalaman menarik yang tidak dapat saya lupakan.
Kunjungan penulis ditaja syarikat penerbangan Scoot dan Tourism Malaysia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg