Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

KAKI JALAN

Tarikan Sarawak yang kaya dengan warisan, budaya

Jul 02, 2023 | 05:30 AM



Sarawak dikenali dengan taman negara dan hutan simpanannya yang kaya dengan spesies flora dan fauna.

Lantas, semasa diajak oleh ibu dan makcik saya untuk melancong bersama ke Sarawak, saya berasa teragak-agak. 

Maklumlah, saya tidak gemarkan kegiatan luar dan alam semula jadi.

Tetapi, selepas membuat kajian yang menyeluruh untuk percutian itu, saya sedar yang Sarawak juga kaya dengan budaya, sejarah dan makanan yang unik. Ini sesuatu yang menarik minat saya!

Setibanya di Lapangan Terbang Kuching, kami dibawa ke hotel di kawasan Kuching Waterfront – berhadapan Main Bazaar yang terdapat banyak kedai-kedai menarik dan berdekatan dengan tarikan pelancong. 

KAMPUNG BUDAYA SARAWAK

Tarikan pertama yang saya kunjungi ialah Kampung Budaya Sarawak terletak kira-kira 40 minit dari bandar Kuching dengan menaiki kereta.

Ia seakan muzium hidup yang memaparkan rumah-rumah replika daripada suku kaum yang ada di Sarawak – Bidayuh, Iban, Orang Ulu, Penan dan Melanau. 







Di situ, saya diperkenalkan kepada gaya hidup dan adat resam mereka. Struktur rumah-rumah yang dibina dengan menggunakan hanya buluh dan kayu menunjukkan kepintaran dan kebolehan mereka. 

Saya berkesempatan mengunjungi rumah panjang suku kaum Iban yang dikenali dengan kemahiran menenun tekstil yang dikenali sebagai ‘tenun karap’.

Motif tenunan menunjukkan tahap kemahiran si penenun dan seni ini diajar kepada anak perempuan mereka sejak kecil. 

Sejujurnya, saya agak kecewa tidak semua rumah replika itu ada pekerja kampung budaya itu untuk menerangkan lebih lanjut kepada para pelancong.

Kurangnya unsur interaktif mungkin menghambat pengalaman para pelancong.

Tetapi, jangan lepas peluang untuk menyaksikan persembahan budaya di kampung itu kerana tarian-tarian tradisional yang dipersembahan sungguh mempesonakan. 







MENCUBA MAKANAN ASLI

Saya tidak melepaskan peluang untuk mencuba makanan tempatan di Sarawak.

Di antaranya ialah laksa Sarawak, mi kolo dan ayam pansuh.







Sagu merupakan antara bahan yang sering digunakan dalam masakan mereka dan dijadikan sebagai makanan utama dan pencuci mulut.

Saya berkesempatan mencuba linut – serbuk sagu yang dimasak dengan air panas, seakan ambuyat dari Brunei.


Teksturnya sangat kenyal dan melekit. Ia tidak mempunyai sebarang rasa dan dimakan bersama sambal belacan yang agak masam sebagai penambah rasa. 

Makanan baru yang saya gemari merupakan umai, makanan asli kaum Melanau.


Ia merupakan ikan mentah yang telah ‘dimasak’ menerusi proses penjerukan yang mengguna jus limau, cuka, garam dan cili – sungguh menyegarkan! 

MUZIUM BUDAYA BORNEO

Muzium Budaya Borneo merupakan antara muzium terbaru di Sarawak.

Dibuka pada 2022, ia meliputi lima tingkat dan merupakan muzium kedua terbesar di Asia Tenggara. 

Muzium ini mempamerkan tentang sejarah, warisan dan seni bukan hanya di Sarawak tetapi seluruh Borneo menerusi pameran-pameran yang interaktif dan sangat menarik.

Terdapat galeri di aras tiga yang meneroka hubungan masyarakat tempatan dengan persekitaran semula jadi menerusi sebuah replika sungai dan gua yang ada di kawasan Borneo. 

Ada juga galeri khusus untuk kanak-kanak belajar tentang mencintai alam sekitar menerusi alam sekitar yang ada di seluruh Borneo. 

Galeri yang menarik minat saya pastinya galeri yang mempamerkan seni kraf tangan anyaman trandisional yang diwarisi oleh suku kaum di Sarawak.

Teknik anyaman ini bukan hanya digunakan untuk membuat topi dan bakul tetapi boleh digunakan untuk menghasil tekstil juga. 

Mereka menggunakan pelbagai bahan seperti daun nipah, daun pokok sagu atau rotan.

Terdapat juga makna dan simbol yang tersirat dalam setiap motif yang dianyam. 







Saya sarankan supaya memulakan pengalaman di muzium ini dari tingkat teratas. Saya dan keluarga meluangkan masa hampir lima jam di situ.

Kunjungan ke muzium ini tidak membosankan langsung dan boleh membuat mereka yang tidak meminati mengunjungi muzium menjadi tertarik. 

Tempat bersejarah lain yang sempat saya kunjungi termasuk Rumah Mahkamah Lama, Galeri Brooke di Fort Margherita dan Galeri Ranee.

Tempat-tempat ini terletak di kawasan bandar Kuching dan tidak begitu jauh dari satu lokasi ke yang seterusnya. 

KEK LAPIS SARAWAK

Pastinya saya tidak boleh tinggalkan Sarawak tanpa mencuba dan membeli kuih yang turut membuat negeri itu terkenal iaitu kek lapis Sarawak.

Saya berkesempatan ke kilang tempat ia dihasilkan segar setiap hari untuk para pelancong yang datang mendapatkan ole-ole enak itu untuk dibawa pulang.







Saya sangat bangga melihat usaha para usahawan kek lapis Sarawak kerana telah melestarikan kuih tradisi itu sehingga dikenali oleh para pelancong sejauh Eropah. 

Saya diberitahu oleh pekerja di kilang itu bahawa satu loyang kek lapis Sarawak boleh mengambil masa sehingga dua jam untuk selesai dibakar. Saya juga pelajari bahawa ada versi yang dikukus. 

Terdapat juga deretan kedai yang menjual kek lapis ini di kawasan Main Bazaar. Saya dan keluarga seperti ‘kek lapis hopping’ kerana setiap kedai menjual jenis kek lapis yang berbeza.

Rambang mata dibuatnya dengan pelbagai perisa, corak dan warna yang menarik tetapi yang memikat hati saya adalah perisa ‘masam manis’. 

Perasaan saya mengunjungi negeri bumi kenyalang itu ternyata berubah daripada rasa teragak-agak kepada pengalaman percutian yang tidak dapat dilupakan. Terima kasih Sarawak!  




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >