SPH Logo mobile
Langgan|

Melancong ke Damsyik pascaperang saudara

Melancong ke Damsyik pascaperang saudara

Jejak semula sejarah dan harapan selepas peperangan
Feb 22, 2026 | 5:30 AM

Melancong ke Damsyik pascaperang saudara

Kaki Jalan, Syria, Damsyik, Ustaz Ahmad Saiful Rijal Hassan
Penulis, Ustaz Ahmad Saiful Rijal Hassan, berkunjung ke Syria bersama isterinya, Sheikha Saidah Mohamad Najeeb Jarhom, dan anak-anaknya, (dari kiri) Nawal Ahmad Saiful Rijal dan Nael Ahmad Saiful Rijal pada Disember 2025. - Foto AHMAD SAIFUL RIJAL HASSAN

“Awak betul nak pergi Syria?”

Soalan isteri saya itu mencerminkan kebimbangan ramai apabila nama Syria disebut.

Seperti sedia maklum, Syria merupakan sebuah negara yang sering dikaitkan dengan peperangan, krisis kemanusiaan dan pelarian.

Bagi kebanyakan orang, Syria bukanlah destinasi percutian.

Lebih-lebih lagi apabila perjalanan ini melibatkan bukan sahaja saya dan isteri, malah dua orang anak serta ibu bapa mentua yang turut bersama.

Namun di sebalik persepsi itu, saya berpendapat bahawa Syria penuh dengan sejarah, tamadun dan warisan keilmuan Islam yang agung.

Damsyik, ibu kotanya, merupakan antara kota tertua di dunia yang masih dihuni hingga hari ini.

Kota ini pernah menjadi persinggahan para nabi, sahabat Rasulullah saw serta ulama besar yang menyumbang kepada pembentukan peradaban manusia.

Lebih bermakna, ketibaan kami ke Syria pada awal Disember 2025 berlangsung dalam suasana rakyat Syria sedang menyambut Hari Pembebasan, setahun selepas kejatuhan rejim Bashar al-Assad pada 8 Disember 2024.

Syria dalam Ingatan

Pengalaman di Syria bukan sesuatu yang asing bagi saya.

Ketika saya menuntut di Universiti al-Azhar, Kahirah, saya pernah mengunjungi rakan-rakan seperjuangan yang menuntut ilmu agama di negara ini pada tahun 2009.

Perjalanan dari Mesir ke Damsyik melalui darat pada waktu itu mengambil masa hampir dua hari.

Kini, ramai antara mereka telah kembali ke Singapura dan berbakti sebagai asatizah yang disegani dalam masyarakat.

Sepanjang berada di Kahirah, saya berinteraksi dengan pelbagai suku Arab dan bertutur dalam dialek yang berbeza.

Berdasarkan pengalaman, masyarakat Syria umumnya bertutur dengan nada yang lembut dan tenang.

Dialek Arab mereka terasa lebih halus dan mudah didengar.

Persepsi inilah yang kekal dalam ingatan saya dan menjadi antara sebab utama saya ingin kembali ke Damsyik.

Saya ingin melihat sendiri bagaimana masyarakat yang pernah saya kenali itu bangkit selepas bertahun-tahun diuji.

Persiapan dan Keyakinan

Hasrat untuk kembali ke Syria timbul selepas membaca kenyataan rasmi Kementerian Dalam Negeri Syria pada akhir Julai 2025 mengenai pembukaan semula sempadan negara itu kepada pelancong.

Kenyataan tersebut disertai jaminan keselamatan asas serta pemulihan kawalan sempadan selepas bertahun-tahun terasing akibat konflik.

Saya turut mendapatkan pandangan daripada pengarah syarikat TM Fouzy Travel & Tours, Ustaz Tengku Muhammad Fauwaz Jumat, yang telah mengunjungi Syria pada Oktober lalu.

Perbualan bersama beliau memberikan gambaran situasi semasa di Syria serta maklumat praktikal berkaitan keselamatan dan urusan perjalanan.

Menjejak Sempadan Syria

Sebelum memasuki Syria, kami menziarahi Baitulmakdis dan berehat selama dua malam di Amman, Jordan.

Dari ibu kota Jordan itu, jarak ke Damsyik hanyalah sekitar 200 kilometer.

Kami meneruskan perjalanan dengan menyewa sebuah kenderaan bersama pemandu tempatan.

Setibanya kami di pintu masuk Syria, persepsi awal kami mula berubah.

Bangunan imigresen kelihatan tersusun dan bersih.

Dewan imigresen dilengkapi kemudahan Wi-Fi percuma dan terdapat taman permainan kecil untuk kanak-kanak.

Melihat kanak-kanak bermain bebas di sempadan sebuah negara yang baru keluar daripada konflik memberikan gambaran Syria sedang memulakan semula kehidupannya.

Dalam perjalanan menuju ke Kota Lama Damsyik, sebuah kereta tempatan yang menyedari nombor pendaftaran Jordan pada kenderaan kami memperlahankan kenderaannya.

Pemandunya menurunkan tingkap dan dengan senyuman mesra, mengundang kami ke rumahnya untuk makan tengah hari.

Walaupun kami terpaksa menolak dengan sopan, undangan itu mencerminkan sifat rakyat Syria yang mesra dan masih berpegang kepada budaya memuliakan tetamu.

Di Kota Lama Damsyik

Kami memilih untuk menginap di Kota Lama, berhampiran Masjid Umayyah. Kawasan ini penuh dengan sejarah Damsyik.

Lorong-lorong sempit yang berbatu, rumah-rumah lama dengan pintu kayu besar serta suasana yang tenang membawa kami seolah-olah merentas masa.

Kami menginap di sebuah hotel yang asalnya rumah tradisional Arab yang berusia hampir 300 tahun dan diubah suai dengan rapi.

Setibanya di Damsyik, kami menziarahi Masjid Umayyah – antara masjid paling agung dan bersejarah dalam dunia Islam.

Masjid Umayyah di Damsyik merupakan antara masjid paling agung dan bersejarah dalam dunia Islam. 
Masjid Umayyah di Damsyik merupakan antara masjid paling agung dan bersejarah dalam dunia Islam.  - Foto AHMAD SAIFUL RIJAL HASSAN

Kami turut menziarahi makam ahli keluarga Rasulullah saw dan para sahabat.

Setiap ziarah mengundang rasa keinsafan dan kekerdilan.

Keselamatan di Kota Lama agak ketat dengan kehadiran pasukan keselamatan di lokasi strategik.

Bagi penduduk tempatan, kawalan ini membawa rasa kestabilan selepas sekian lama hidup dalam ketidakpastian.

Di Sebalik Senyuman Rakyatnya

Daripada pemerhatian saya, Damsyik tidak mengalami kemusnahan besar semasa perang saudara kerana ia kekal sebagai kubu kuat rejim pemerintah Bashar al-Assad ketika itu.

Pertempuran berskala besar dan kemusnahan bandar lebih tertumpu di wilayah utara seperti Aleppo dan Idlib.

Namun ketiadaan runtuhan fizikal tidak bermakna ketiadaan penderitaan.

Sekatan ekonomi, kelemahan infrastruktur dan kesan psikologi peperangan masih jelas dirasai.

Hotel tempat kami menginap menyediakan bekalan elektrik sepanjang hari, meskipun kebanyakan kawasan lain hanya menerima bekalan secara berkala.

Sambungan Internet juga tersedia walaupun agak perlahan, dan keperluan asas tetap berfungsi.

Berhampiran dengan Masjid Umayyah, terletaknya Souq Hamidiyah, pasar tertua di Syria yang dibina di atas laluan Rom kuno pada era pemerintahan Uthmaniyah.

Di sebuah kedai jubah wanita, pemiliknya, Encik Fawwaz, menyapa kami dalam bahasa Melayu.

Peniaga di Souq Hamidiyah, Encik Fawwaz (tengah), memberi layanan mesra kepada penulis, Ustaz Ahmad Saiful Rijal Hassan (kiri) dan bapa mentua penulis, Encik Mohamad Najeeb Jarhom.
Peniaga di Souq Hamidiyah, Encik Fawwaz (tengah), memberi layanan mesra kepada penulis, Ustaz Ahmad Saiful Rijal Hassan (kiri) dan bapa mentua penulis, Encik Mohamad Najeeb Jarhom. - Foto AHMAD SAIFUL RIJAL HASSAN

Beliau menceritakan bagaimana sebelum perang, beliau sering berniaga di Singapura, termasuk di Bazar Geylang dan Singapore Expo.

Perang telah memutuskan bukan sahaja perdagangan, tetapi juga hubungan yang terjalin selama ini.

Peniaga di Souq Hamidiyah melayan mesra ibu bapa mentua penulis, Encik Mohamad Najeeb Jarhom dan Cik Sharifah Rohaiya.
Peniaga di Souq Hamidiyah melayan mesra ibu bapa mentua penulis, Encik Mohamad Najeeb Jarhom dan Cik Sharifah Rohaiya. - Foto AHMAD SAIFUL RIJAL HASSAN

Satu lagi peristiwa yang menyentuh perasaan saya berlaku ketika saya di Masjid Umayyah.

Seorang lelaki Syria telah menyapa saya.

Apabila saya bertanya tentang tempat makan di sekitar kawasan itu, beliau mengaku tidak tahu kerana beliau berasal dari Aleppo dan ini merupakan kali pertamanya menjejakkan kaki ke Damsyik sejak perang bermula.

Bayangkan seorang warga Syria mengunjungi ibu kotanya sendiri buat pertama kali selepas lebih sedekad konflik.

Penulis, Ustaz Ahmad Saiful Rijal Hassan, berkunjung ke Masjid Umayyah bersama isterinya, Sheikha Saidah Mohamad Najeeb Jarhom, dan anak-anaknya, (dari kiri) Nawal Ahmad Saiful Rijal dan Nael Ahmad Saiful Rijal pada Disember 2025.
Penulis, Ustaz Ahmad Saiful Rijal Hassan, berkunjung ke Masjid Umayyah bersama isterinya, Sheikha Saidah Mohamad Najeeb Jarhom, dan anak-anaknya, (dari kiri) Nawal Ahmad Saiful Rijal dan Nael Ahmad Saiful Rijal pada Disember 2025. - Foto AHMAD SAIFUL RIJAL HASSAN

Harapan Pascapembebasan

Dalam suasana pascapembebasan ini, tumpuan ramai beralih kepada kerajaan peralihan yang baru, yang kini memikul tanggungjawab besar untuk mengembalikan keyakinan rakyat, memulihkan asas kehidupan seharian dan menyatukan sebuah masyarakat yang telah lama terpecah ekoran konflik.

Peralihan ini masih rapuh dan penuh cabaran, namun bagi rakyat biasa yang kami temui, harapan tidak lagi bersifat besar atau abstrak.

Ia cukup sekadar peluang untuk hidup tanpa ketakutan dan membesarkan anak-anak dalam suasana yang lebih tenang.

Rakyat Syria telah terlalu lama menderita.

Walaupun Damsyik terselamat daripada kemusnahan berskala besar, kesan peperangan tetap terpahat dalam kehidupan seharian rakyatnya.

Namun rakyat Syria masih berharap untuk kehidupan mereka kembali normal, membina semula masa depan dan memastikan generasi akan datang tidak lagi mewarisi trauma yang sama.

Mudah-mudahan pembebasan ini benar-benar menjadi titik permulaan kepada sebuah Syria yang lebih aman, bermaruah dan berperikemanusiaan.

Penulis Zamil Penyelidik Bersekutu di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Singapura. Beliau memperoleh Sarjana Muda dari Universiti Al-Azhar dalam bidang Syariah dan Sarjana Sains dari RSIS dalam bidang Perhubungan Antarabangsa. Beliau juga adalah kaunselor Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG). Perjalanan yang dikongsikan ini merupakan sebahagian daripada kembara keluarga sewaktu cuti sekolah selama dua minggu merentasi Jordan, Palestin dan Syria.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg