Di sebalik rintihan mengenai kos sewa yang meningkat, kesukaran mencari tenaga kerja dan tekanan mengurus kos bahan mentah, industri makanan dan minuman (F&B) tempatan masih bertahan meskipun berhadapan cabaran agak berat pada masa ini.
Lebih daripada sekadar menjual makanan dan minuman, para pengusaha ini menimba pengalaman, memelihara warisan, mencipta inovasi, dan mencorak ruang agar pelanggan berasa seperti berada di rumah sendiri.
Salah satu kisah usahawan F&B yang mencuri perhatian pada 2025 ialah pencapaian anak muda, Encik Haris Ahmad, pengasas jenama Kulon dan Ono Ramen, yang tersenarai dalam Forbes 30 Under 30 Asia.
Pada usia 30 tahun, kejayaan itu dianggapnya satu detik yang merendahkan hati, mengingatkan sejauh mana perjalanan yang ditempuh sejak membuka gerai kecil di Politeknik Singapura (SP) ketika berusia 24 tahun.
Restoran Kulon di Bali Lane, yang dibuka bersama ibunya, Cik Wati Abdul Khamid, pada 2020, menempa nama sebagai salah satu tempat mi sajian Indonesia atau bakmi terbaik dengan lebih 1,000 ulasan dan menerima purata 4.7 bintang.
Empat tahun kemudian, Encik Haris memperkenalkan Ono Ramen, gabungan unik masakan Indonesia dan Jepun yang melahirkan hidangan seperti Gulai Ramen dan Jamur Miso Ramen.
Baginya, kejayaan bukan sekadar anugerah, tetapi ketabahan dan kegigihan untuk terus bereksperimen.
“Ramai individu berbakat dalam industri ini,” jelas Encik Haris.
“Tetapi kalau saya perlu nyatakan apa yang membezakan saya, ia adalah kegigihan, ketabahan dan daya tahan. Tiga perkara ini penting dalam dunia F&B yang sentiasa mencabar.”
Seiring semangat itu, perjalanan Chix Hot Chicken pula membuktikan kejayaan tidak lahir daripada sikap tergesa-gesa.
Pengasasnya, juara Singapore Idol pertama yang juga usahawan setempat, Taufik Batisah, bersama dua sahabatnya, Encik Ismail Rawi Bober, dan Encik Shehzad Hussain, memulakan jenama itu selepas jatuh cinta dengan ayam goreng pedas dari Amerika Syarikat.
“Masa itu semua orang gilakan ayam goreng Korea. Tapi kami fikir, mengapa nak ikut trend kalau kita boleh cipta makanan baru?” kata Taufik.
Hasil proses penyelidikan dan pengembangan (R&D) selama dua tahun, mereka berjaya menampilkan sajian ayam versi dry-rub yang lebih sesuai dengan selera tempatan.
Namun apa yang membuat Chix Hot Chicken terus berkembang bukan sekadar rasa ayamnya, tetapi falsafah mereka.
Mereka menolak pembukaan cawangan lain secara tergesa-gesa, memilih untuk mengukuhkan asas perniagaan, menjaga mutu, dan mengutamakan pengalaman pelanggan.
Cawangan baru mereka di Prinsep Street hanya dibuka pada Februari, sekitar tujuh tahun selepas cawangan pertama di Jalan Pisang beroperasi.
Di cawangan baru mereka, pengunjung bukan sekadar datang untuk menikmati burger Miss Alabama atau Milkshake Milo.
Mereka turut datang untuk bersantai atau ‘melepak’ sambil berbual dan mencipta kenangan indah.
“Yang kami jual bukan hanya makanan, tetapi pengalaman,” ujar Taufik.
Di Seng Poh Lane, kafe Binge pula merai keberanian untuk bermula semula.
Pemiliknya, Encik Arfian Ishak, pernah gagal dalam percubaan membuka kedai makan hampir sedekad lalu kerana terlalu yakin dan terbeban kos sewa.
Namun kegagalan itu turut mengajarnya untuk bangkit semula.
“Tapi daripada kegagalan itu, saya belajar. Kali ini, saya tahu apa nak buat dan apa yang perlu dielakkan,” katanya.
Binge menjadi ruang kecil yang penuh imaginasi, daripada sandwic, Benny’s Cheesesteak ke Grand Poobah, hidangan dijual mengambil inspirasi daripada gabungan budaya dan perjalanan hidup.
Ia menjadi tempat untuk semua lapisan masyarakat berkumpul sebagai satu masyarakat.
Bagi Encik Arfian, sandwic yang dihasilkan di Binge memberinya peluang menjadi lebih kreatif dalam menunya.
Di daerah Bali Lane pula, berdirinya Yaksok, restoran yang lahir daripada tekad pasangan Cik Raudhah Osman dan Encik Ryan Sufiyan.
Mereka pernah membuka sebuah kedai di Tanjong Pagar, namun, ia ditutup tiga bulan kemudian.
Ia juga pernah beroperasi selama setahun di Amoy Street.
Pengalaman pahit itu tidak memadamkan impian mereka.
“Rasa ingin cuba lagi memang kuat walaupun tetap ada rasa takut,” ujar Cik Raudhah.
Apabila ditawarkan unit kosong di Bali Lane, mereka mengambil masa beberapa hari sebelum membuat keputusan.
Kini, Yaksok menjadi ruang santai ala gerai jalanan Korea yang mesra keluarga dan digemari golongan muda.
Bagi Ryan, membuka kedai di Arab Street sebelum ini dianggap mustahil.
“Tapi bila sudah berada di sini, rasa macam mimpi,” katanya.
Menyentuh tentang aspek warisan, Cahaya Timur yang terletak di Blok 5, Changi Village Road, berkembang daripada sebuah kedai dengan 20 tempat duduk menjadi restoran yang mampu menempatkan 250 pelanggan.
Meskipun begitu, rasa nostalgia tidak diabaikan dengan rempah asli digunakan dalam masakan.
Pelanggan sanggup datang dari hujung Singapura, sejauh Woodlands dan Jurong demi beriani yang dihasilkan dengan penuh kasih.
Tambahan itu, Warung Selera Masakan Kampung di 60 Changi Road pula mengekalkan rencah Melayu asli selama lebih tiga dekad.
Pemilik generasi kedua, Cik Nashibah Tahar, menganggap warung itu sebagai warisan dan amanah ibunya.
Menurut beliau ada pelanggan yang datang ke situ untuk menikmati hidangan yang mampu mengembalikan memori.
Walaupun industri F&B diuji, ia juga dipenuhi harapan, keberanian dan kreativiti.
Industri ini terus kekal kerana mereka yang memilih untuk terus mempertahankannya.
“
“Ramai individu berbakat dalam industri ini. Tetapi kalau saya perlu nyatakan apa yang membezakan saya, ia adalah kegigihan, ketabahan dan daya tahan. Tiga perkara ini penting dalam dunia F&B yang sentiasa mencabar.”“
“Masa itu semua orang gilakan ayam goreng Korea. Tapi kami fikir, mengapa nak ikut trend kalau kita boleh cipta makanan baru? Yang kami jual bukan hanya makanan, tetapi pengalaman.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg