Buat julung kali, Tasmania mengundang penduduk Singapura menikmati pengalaman hidup dalam suasana musim sejuk di Australia selama seminggu pada Ogos ini.
Pertandingan digelar ‘Winternship’ itu memberi peluang kepada seorang warga Singapura ‘merasai dan seterusnya jatuh cinta’ pada musim sejuk, jauh beza daripada suasana Singapura yang panas dan lembap.
Pengembaraan selama enam malam itu termasuk harga tiket penerbangan, penginapan, dan jadual ‘winternship’ yang menarik.
Pemenang akan berkunjung ke tiga tempat di negeri paling selatan di Australia itu – ladang Curringa Farm, sauna Kuuma Nature Sauna, dan kilang wain Devil’s Corner Cellar Door – yang memberi beliau peluang kepada mereka melakukan kegiatan amali yang menjadi tarikan di situ.
Contohnya, di Curringa Farm, pemenang berpeluang menjaga dan memberi makan kepada kambing biri-biri di ladang seluas 750 eka.
Di Kuuma Nature Sauna pula, pemenang akan belajar memanaskan sauna dalam kapal sebelum menuju ke Lautan Selatan.
Kapal itu yang dilengkapi sauna membolehkan penumpang menikmati sauna sebelum menyelam dalam lautan sejuk, di mana suhunya mencecah 9 darjah Celsius pada musim sejuk dan 17 darjah Celsius pada musim panas.
Di Devil’s Corner Cellar Door, dua jam memandu dari Hobart, pemenang akan mengupas tiram segar.
Selain itu, pemenang dapat melawat tempat popular lain di Tasmania, seperti Pulau Bruny, Cradle Mountain dan Bonorong Wildlife Sanctuary.
Mereka yang ingin mengambil bahagian perlu merupakan penduduk Singapura berusia 18 tahun dan ke atas, dan menyatakan mengapa mereka ingin menjadi ‘wintern’ pertama dari Singapura tidak melebihi 50 perkataan.
Pemenang dibolehkan membawa seorang teman bersama, dan perlu memastikan jadual mereka lapang dalam tempoh 1 Ogos hingga 31 Ogos.
Peserta juga perlu mendapatkan visa perjalanan ke Australia dan mengatur insurans perjalanan sendiri.
Peraduan akan tutup pada 17 Jun, 9.59 malam.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg