Kita sering memberi perhatian kepada rambut – mengawal keriting, mewarnakan, mengeritingkan atau memotongnya, tetapi lupa bahawa segala kekuatan rambut bermula dari kulit kepala.
Kulit kepala ibarat ‘tanah’ yang menjadi tempat tumbuhnya rambut.
Pakar dermatologi yang juga pengarah perubatan di Dr. U Hair & Skin Clinic, Dr Sanusi Umar, yang berpangkalan di Los Angeles, Amerika Syarikat, dalam laman web, Healthline, berkata:
“Kulit kepala yang sihat bebas daripada rasa gatal, kemerahan, pengelupasan, kerengsaan, sakit, jerawat, sista, kerosakan akibat matahari, atau keguguran rambut yang berlebihan.”
Bagi mereka yang mengalami masalah kulit kepala, rasa ingin menggaru berterusan boleh mengganggu, serpihan kelemumur yang jatuh ke baju menimbulkan rasa malu, manakala ketulan atau bintik yang timbul pula membimbangkan.
Pakar dermatologi bertauliah di Washington D.C., Dr Sharleen St. Surin-Lord, mengingatkan bahawa benjolan, kudis dan kemerahan adalah tanda keradangan yang jika dibiarkan, boleh menyebabkan keguguran rambut kekal.
Bayangkan kulit kepala seperti tanah ladang.
Jika tanahnya kering, tercemar atau kurang nutrien, tanaman yang tumbuh tidak akan subur. Begitu juga dengan rambut.
Menurut Dr Umar, sebarang keradangan pada kulit kepala boleh menjejas kewujudan dan kesihatan rambut.
Kulit kepala mengandungi kira-kira 100,000 folikel rambut – setiap satu umpama benih yang menumbuhkan sehelai rambut.
Folikel itu turut menghasilkan sebum, minyak semula jadi yang melembapkan kulit kepala dan melindunginya daripada jangkitan.
Namun, keseimbangan mikrobiom kulit kepala mudah terganggu.
Ini boleh menyebabkan masalah seperti kelemumur, dermatitis seborrheic, ekzema atopik dan psoriasis.
Keadaan itu bukan sahaja menjejas kesihatan rambut – menjadikannya kasar, mudah patah dan kurang bersinar – malah boleh membawa kepada keguguran rambut pramatang.
Perunding di Pusat Kulit Nasional (NSC), Dr Chuah Sai Yee, di laman majalah Her World, menegaskan bahawa kulit kepala memerlukan cukup nutrien untuk membolehkan batang rambut baru tumbuh.
Sementara itu, Pengasas Leonica K Trichology, Cik Leonica Kei, menambah bahawa kotoran dan pencemaran yang menyumbat liang pori pada muka juga berlaku pada kulit kepala.
Ini sekali gus membawa kepada pengelupasan dan rasa gatal. Jika diabaikan, ia boleh menjadi dermatitis.
Menurut Pendidik Kanan di L’Oreal Kerastase, Cik Kate Lim, kulit kepala berpotensi ‘menua’ enam kali lebih cepat daripada muka.
Inilah sebabnya mengapa penipisan rambut dan keguguran boleh berlaku lebih awal jika penjagaan diabaikan.
Penjagaan asas bermula dengan membersihkan kulit kepala secara teliti.
Pilih syampu mengikut keadaan kulit kepala, bukan jenis rambut, sama seperti kita memilih pencuci muka mengikut jenis kulit.
Bagi kulit kepala normal, gunakan syampu yang tidak menyebabkan reaksi; kulit kepala berminyak perlu dicuci setiap hari; kulit kepala sensitif cenderung gatal dan mengelupas; manakala kulit kepala yang mudah berkelemumur memerlukan syampu khusus.
Urutan harian dengan gerakan membulat yang lembut dapat meningkatkan peredaran darah dan membolehkan nutrien sampai ke folikel rambut.
Bahan aktif seperti minyak botani berkepekatan tinggi – termasuk ylang-ylang dan davana – juga dipercayai dapat membantu memberi nutrisi pada kulit kepala dan menguatkan lapisan perlindungannya.
Selain itu, penggunaan masker kulit kepala dua hingga tiga kali seminggu boleh membersih secara mendalam sambil melembapkan.
Berbeza daripada masker rambut, masker kulit kepala lebih ringan, mudah disapu dan dibilas, serta dikhususkan untuk menguatkan kulit kepala, bukan sekadar memberi kilauan pada rambut.
Rawatan bulanan di salun pula disarankan bagi mengeluarkan sisa pencemaran yang degil, terutama dalam iklim lembap seperti Singapura yang menyebabkan kelenjar sebum lebih aktif.
Dr Umar mengesyorkan penggunaan produk rambut yang lembut dan bebas sulfat, alkohol atau wangian tiruan, kerana bahan itu boleh mengeringkan kulit kepala dan menyebabkan kerengsaan.
Elakkan rawatan kimia keras seperti pelunturan atau pewarnaan berulang, yang merosakkan kulit kepala dan batang rambut.
Mencuci terlalu kerap juga boleh memberi kesan sebaliknya – menanggalkan minyak semula jadi sehingga kulit kepala menghasilkan lebih banyak sebum untuk mengimbanginya.
Secara umum, mencuci rambut tiga hingga empat kali seminggu sudah memadai.
Pemakanan yang kaya dengan antioksidan – daripada pelbagai jenis buah-buahan dan sayuran – boleh membantu melawan tekanan oksidatif yang dipercayai menyumbang kepada keguguran rambut.
Suplemen omega-3 turut berpotensi menggalakkan pertumbuhan rambut dan mengurangkan keradangan, namun berbincanglah dengan doktor sebelum mengambilnya.
Probiotik turut memberi manfaat, kerana kesihatan usus berkait rapat dengan kesihatan kulit, termasuk kulit kepala.
Menurut Dr St. Surin-Lord, probiotik yang mengandungi strain seperti Lactobacillus dan Bifidobacterium boleh membantu memperbaiki mikrobiom kulit kepala.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg