Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Michael Learns to Rock tetap ‘rok’ dengan lagu jiwa-jiwa

Band Denmark isi konsert satu setengah jam dengan nostalgia irama patah hati, cinta penuh harapan
Nov 19, 2024 | 5:30 AM
Michael Learns To Rock (MLTR) yang terdiri (dari kiri, diri di atas pentas kecil) Mikkel Lentz, Jascha Richter dan Kare Wanscher serta ‘sessionist’ yang bermain bes dari Denmark (dua dari kiri), Troels Skjærbæk, kekal bertenaga hampir empat dekad lamanya kerana semangat persaudaraan yang mereka bina serta cinta pada usaha menghasilkan lagu yang dapat dikaitkan dengan kehidupan peminat.
Michael Learns To Rock (MLTR) yang terdiri (dari kiri, diri di atas pentas kecil) Mikkel Lentz, Jascha Richter dan Kare Wanscher serta ‘sessionist’ yang bermain bes dari Denmark (dua dari kiri), Troels Skjærbæk, kekal bertenaga hampir empat dekad lamanya kerana semangat persaudaraan yang mereka bina serta cinta pada usaha menghasilkan lagu yang dapat dikaitkan dengan kehidupan peminat. - Foto UNUSUAL ENTERTAINMENT

Dengan senarai lagu patah hati dan putus cinta yang mereka sajikan sejak lebih 30 tahun lalu, ramai teman saya yang sangsi lantas tertanya-tanya apa yang ‘rok sangat’ tentang band dari Aarhus, Denmark, Michael Learns to Rock (MLTR)?

Sememangnya jawapan ini tidak saya peroleh meskipun sudah banyak kali menonton konsert mereka bahkan pernah sekali berpeluang mewawancara pemain dram MLTR, Kare Wanscher, kini 55 tahun, menerusi panggilan jauh.

Bagaimanapun, pada 16 November, vokalis MLTR, Jascha Richter, 61 tahun, dan gitaris, Mikkel Lentz, 55 tahun, sendiri yang bersuara mengenai apakah yang rok tentang MLTR.

Trio itu berada di Resorts World Ballroom, Pusat Konvensyen Resorts World Singapore (RWS) untuk konsert jelajah, Take Me To Your Heart.

“Anda semua nak lagu perlahan atau lagu rancak dan lebih rok?” tanya Lentz sebelum lagu, Wild Women, berkumandang.

Richter secara berseloroh pula berkongsi cerita ‘sedih’ impian yang tidak menjadi kenyataan.

Katanya: “Sewaktu kami mula-mula menubuhkan MLTR pada 1988, jangkanya nak jadi bintang rok.

“Tapi lama-kelamaan, melihat lagu-lagu yang kami bawakan lebih condong pada lagu perlahan, terfikir, apa dah jadi dengan muzik rok yang kami ingin perjuangkan?”

Yang pasti, MLTR tidak pernah mengecewakan peminat tegarnya. Tukarlah lokasi konsert (baik Teater The Star, Singapore Expo atau Resorts World Ballroom).

Lautan peminatnya akan tetap membanjiri lokasi untuk membuai jiwa yang kecewa, dambakan untuk susuri jalan kenangan kali pertama jatuh cinta ataupun yang setakat sukakan lagu-lagu sarat emosi.

Konsert bermula di kala ramai penonton sudah duduk di tempat duduk masing-masing.

Ada yang bertemankan bendera kecil Denmark (mungkin orang kampung MLTR) yang dikibarkan di udara sambil mereka bernyanyi sama setiap bait lirik yang dipancarkan ke skrin raksasa.

Someday, lagu rancak yang terpahat di ingatan saya kerana klip videonya dirakam di Pantai Padang Padang di Bali, membuka tirai konsert sambil membakar semangat penonton untuk benar-benar rasakan hiburan lebih 100 peratus daripada band ini.

Ia disusuli dengan lagu, Sleeping Child, yang dimuatkan dalam album 1993 MLTR, Colours.

Lagu itu melambangkan amanah dan tanggungjawab serta kasih sayang yang perlu ditebar buat anak-anak dunia.

Semakin bahang malam kian terasa, hadirin dihiburkan dengan lagu, Complicated Heart, I Still Carry On (lagu hit pertama mereka) dan Blue Night.

Sempat juga MLTR yang bertahan dalam industri kerana akrab macam adik-beradik memperkenalkan lagu baru mereka yang masih belum ‘melekat’ di telinga ramai, A Life to Remember. Ia memiliki ‘trademark’ lagu MLTR sebelum ini.

Memberi rumusan ringkas mengenai lagu itu, Richter berkata:

“Lagu ini tentang meningkat usia. Apabila masuk usia 40 tahun, terasa macam dunia dah kiamat.

“Masuk usia 50 tahun, anda tatap cermin dan mula terlihat wajah yang berkedut.

“Bayangkan masuk usia 60 tahun, barulah anda menyedari inilah tempoh kehidupan yang patut dihargai.

“Ini lagu nostalgia untuk kita mengenang peristiwa silam dan saling mengingatkan tentang perjalanan yang mendewasakan.”

Seramai 5,000 hadirin terbuai dan bagaikan menyanyi dalam dewan karaoke raksasa.

Saya terdengar dua teman sekolah bercerita bagaimana lagu itu menjadi irama ‘wajib’ yang berkumandang dalam alat pemain cakera padat mereka atau ‘Discman’ (sebelum muncul wadah penstriman Spotify) yang dibawa ke sekolah.

Segmen akustik dengan lagu, I’m Gonna Be Around, Out of the Blue dan Nothing to Lose, pula adalah yang paling saya gemari kerana ketenangan yang dirasakan, hanya dengan suara Richter dan petikan gitar Lentz.

Kalau anda peminat ilustrasi seni pop, anda pasti tertarik pada paparan skrin raksasa yang menunjukkan grafik berwarna-warni silih-berganti.

Kisah jejaka yang terlambat selama 25 minit untuk merebut hati wanita yang bakal berumah tangga dalam 25 Minutes serta luahan jujur si jejaka yang tidak mampu membeli kereta mewah, The Actor, menyusuli.

Tidak terasa jenuh dan saya tak sempat pun melihat pesanan WhatsApp yang bertalu-talu masuk kerana terlalu asyik menonton MLTR membawa saya ke zon cinta menerusi lagu, Love Will Never Lie, Breaking My Heart, You Took My Heart Away dan Paint My Love.

Lampu pentas mula dimatikan. Sebelum puas peminat bersorak ‘Encore’ untuk MLTR kembali ke pentas bagi menyanyikan beberapa lagu ‘wajib’ yang belum kedengaran, mereka tidak membuang masa dan terus kembali menghiburkan penonton yang rela menanti.

Lagu Take Me To Your Heart dengan sentuhan irama Cina kerana merupakan adaptasi pada lagu Mandopop Jacky Cheung dan Andy Lau, Goodbye Kiss, benar-benar membawa anda belayar dalam satu perjalanan berbunga-bunga cinta.

Penutup tirai konsert itu merupakan lagu paling saya gemari iaitu, That’s Why (You Go Away), yang sebenarnya mempunyai lirik sedih tentang pemuda yang tertanya-tanya mengapa kekasihnya ingin beredar pergi tiba-tiba,

Sebab ia memiliki irama rancak pada pertengahan lagu dan disisipkan dengan suara Richter yang menampakkan rasa bingit, ia tepat memberi gambaran seseorang yangfrustketika ditinggalkan.

Walaupun konsert MLTR ini ‘ngam ngam’ selesai dalam sejam setengah dan tidak meleret seperti sesetengah konsert yang saya hadiri, rumusannya konsert jelajah, Take Me To Your Heart, benar-benar memuaskan hati semua generasi penonton, dari 20-an hingga 80-an tahun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg