KUALA LUMPUR: Video muzik (MV) Serumpun, nyanyian Mimi Fly yang dikatakan hilang di YouTube, kelmarin sudah dimuat naik semula jam 11.11 pagi pada 19 Mac dalam versi suntingan semula.
Tinjauan mendapati dalam tempoh tidak sampai setengah jam, video muzik berkenaan mendapat lebih 3,000 jumlah tontonan dan hampir seribu tanda suka.
Untuk versi baru, Mimi atau nama sebenarnya, Shamimi Amalina Norhisham, kelihatan lebih sopan, sekali gus membuktikan dirinya menerima teguran berhubung penampilannya yang dikatakan tidak sesuai dengan konsep Hari Raya.
Akur dengan teguran diberi, Mimi menerusi hantaran berbentuk video di Instagram mengakui, apa yang dilakukan adalah satu kekhilafan.
“Sejak video muzik dilancarkan, saya terima banyak maklum balas peminat dan pendengar muzik Malaysia termasuk Mufti Wilayah Persekutuan.
“Ada komen baik dan dan ada juga yang bimbang pendekatan seni saya ditafsir berlainan dan menyimpang daripada niat sebenar.
“Saya ambil maklum dan akur dengan kekhilafan diri. Video muzik Serumpun sebelum ini sudah pun diturunkan. Terima kasih kerana memberi teguran, saya mohon jutaan kemaafan.
“Saya sangat bersyukur kerana berpeluang untuk mohon maaf awal sebelum raya,” ungkapnya.
Sementara itu, melihat dalam ruangan komen, rata-rata peminat bekas anggota kumpulan One Nation Emcees itu memuji inisiatif Mimi menyunting semula video muzik demi memuaskan hati semua pihak.
Antara memuji usaha itu adalah seorang pelayar YouTube yang menyifatkan Mimi sebagai seorang yang kaya dengan adab.
“Bila ditegur, lalu beliau mengubah, inilah insan yang punyai nilai adab yang tinggi. Teruskan berkarya Mimi... Love your karya.”
Seorang lagi pengguna mengagumi sifat merendah diri Mini.
“Beliau sangat menghormati orang. Beliau juga seorang penghibur sejati. Syabas Mimi.”
Terdahulu, netizen menyatakan rasa sedih dan kecewa dalam media sosial, termasuk di platform X, susulan video muzik Serumpun tidak boleh lagi ditonton.
Netizen mula membuat spekulasi video muzik mungkin sudah set ‘mode privasi’ susulan kecaman terhadap penampilan berkemban Mimi dalam video muzik berkenaan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg