PUTRAJAYA: Demi memberi tumpuan kepada keluarga dan memperbanyakkan ibadat sepanjang Ramadan, pelakon Mira Filzah memilih mengosongkan jadual seni sehingga selepas Aidilfitri.
Mira mahu menggunakan peluang sebaik mungkin untuk menjalani ibadat puasa, termasuk rutin lain bersama suami dan anak, lapor Berita Harian Malaysia.
“Kalau tahun sebelum ini saya sibuk sebab perlu selesaikan penggambaran, kali ini saya putuskan tidak ambil apa-apa tawaran berlakon. Apatah lagi, anak semakin besar dan lebih faham sekarang.
“Namun, saya masih penuhi jemputan berbuka puasa, sesi ramah mesra, buka reruai dan sebagainya sepanjang Ramadan,” katanya ditemui pada acara ramah mesra sempena ulang tahun ke-20 jenama fesyen Rizman Ruzaini di sini, baru-baru ini.
Mira, atau nama sebenar, Nur Amirah Filzah Badioezaman, 32 tahun, mengakui akibat sibuk menjayakan pelbagai projek tahun lalu, sehingga banyak terlepas solat tarawih.
Justeru, pada Ramadan ini bintang drama Curang Tanpa Niat itu mahu menebus kesilapan lalu dengan memanfaatkan peluang memperbaiki diri.
Mengulas tiga naskhah, iaitu drama dan filem lakonan yang ditayangkan tahun ini, Mira berkata perkara itu adalah di luar jangkaan.
“Sebenarnya, saya fikir drama Gadis Masa dan filem Munajat Kekasih ditayangkan tahun lalu (2024). Tahun ini (2025) pula drama lakonan saya yang akan dipertontonkan adalah Curang Tanpa Niat.
“Namun, aturan Allah tahun ini sahaja ada tiga projek saya. Jadi, mungkin sepanjang 2025, boleh dianggap tahun saya. Setiap projek itu bukan serentak dibikin, sebaliknya sudah lama.” katanya.
Mira yang juga aktif sebagai pengacara percaya setiap perkara dilakukan perlu diiringi dengan usaha jitu.
“Maksudnya, kalau dapat apa-apa peluang, saya perlu buat yang terbaik seperti masuk kelas untuk tambah baik lakonan.
“Selebihnya, saya hanya tawakal. Kumpulan peminat sampai sekarang bersama saya. Ketika saya ambil masa untuk berehat, mereka sentiasa berhubung,” katanya.
Mira yang berkahwin dengan Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar pada 3 September 2020 kini memiliki seorang anak lelaki, Wan Khair Amir, yang dilahirkan pada 10 Mei 2022.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg