Bayangkan bangun dengan pemandangan baru setiap pagi, bebas daripada jadual hotel yang kaku.

Itulah janji percutian menggunakan kenderaan rekreasi (RV), sebuah gaya pengembaraan yang kian menawan hati rakyat Malaysia, meskipun masih dianggap baru.

Menurut Encik Shamsul Kamar daripada RV Motorhome Malaysia, minat terhadap ‘campervan’ melonjak naik dalam kalangan pelbagai peringkat usia.

RV menawarkan keselesaan sebuah rumah – ruang luas, katil, dapur, air dan juga tandas.

Ini menjadikannya penyelesaian praktikal, terutama saat berdepan kesesakan lalu lintas ketika perjalanan jauh atau musim perayaan.

Namun, pembangunan industri ini terhambat oleh prasarana yang belum lengkap.

Meskipun ada lebih 250 tapak perkhemahan, tidak semua menyediakan kemudahan asas seperti elektrik, air, atau sistem pelupusan sisa.

Langkah kerajaan meluluskan pelesenan ‘campervan’ komersial dilihat sebagai dorongan positif, meningkatkan keyakinan pengguna.

Bagi pengembara, pengalaman ‘campervan’ menjanjikan kepuasan mendalam.

Encik Muhammad Asyraf Baduri Hisham, 29 tahun, yang sering mengembara, menyifatkan konsep itu sebagai santai.

“Kita bukan sekadar melawat, tetapi benar-benar ‘hidup’ di tempat itu,” katanya, mengimbas kembali jelajah Semenanjung Malaysia.

Encik Johnfy Lew, 47 tahun, pula terpikat dengan fleksibiliti yang ditawarkan.

Beliau memiliki kedua-dua ‘campervan’ dan karavan.

‘Campervan’ ialah van yang diubah suai menjadi ruang tinggal dan boleh dipandu sendiri, menjadikannya pilihan fleksibel untuk perjalanan spontan.

Karavan pula ialah treler tanpa enjin yang perlu ditarik oleh kereta, biasanya lebih luas dan selesa, sesuai untuk berhenti dan menetap lebih lama di satu lokasi.

Menurut Encik Lew, beliau gemar menjelajah pantai Johor seperti Desaru dan Pengerang, bermalam tanpa tergesa-gesa pulang.

Baginya, memasak di luar sambil dijamu pemandangan indah adalah detik yang paling bermakna.

“Saya boleh berhenti bila-bila masa, bermalam dan benar-benar menghargai suasana – sesuatu yang sukar dicapai dengan percutian biasa,” jelasnya.

Namun, beliau sedar cabaran kenderaan yang lebih besar, khususnya berkaitan ruang letak kereta dan pergerakan, yang menuntut perancangan teliti.

Sementara itu, Dr Wan Nur Sabrina Wan Manshol, 41 tahun, mula menggilai gaya hidup ini setelah bercuti di New Zealand.

Pengalaman berkongsi ruang kecil dalam ‘campervan’ bersama teman-teman telah menjadikan perjalanan itu sarat makna dan mengukuhkan ikatan.

“Ia mendidik kami untuk lebih anjal dan bersepakat, daripada menguruskan tempat tidur hinggalah mengendalikan urusan harian,” kongsinya dalam laporan The Star.

Terkesan dengan pengalaman itu, beliau mengidamkan keseronokan serupa di Malaysia, menyingkap sendiri keindahan landskap tempatan dengan lebih dekat.

Walaupun RV sering dianggap lebih sesuai di luar negara, para pengguna percaya ia boleh dinikmati di Malaysia dengan perancangan rapi.

Cabaran cuaca panas dan hujan tidak menentu wujud, namun tidak sedikit pun melunturkan tarikan pengalaman ini.

Kini, RV bukan sekadar trend, tetapi menawarkan cara baru mengembara – lebih bebas, menyatu dengan alam dan menghadirkan pengalaman yang mendalam buat setiap pengembara.