Sepanjang dua tahun beliau sibuk membina kerjaya dalam sektor pemasaran dan muzik, satu perkara sentiasa berlegar dalam benak Cik Shaik Syasya.
Patutkah beliau ikut kata hatinya yang teringin sangat berpindah ke luar negara demi memburu pengalaman baru?
Tanpa jaminan pekerjaan di sana, beliau akhirnya mengorak langkah berani mengambil penerbangan sehala ke Sydney, Australia pada Mei 2024.
Keputusan itu kemudian menjadi antara kenangan paling indah yang membuka jalan kepada beliau mencuba pelbagai pekerjaan, antaranya, menjadi ‘pekebun’, membuat penghantaran makanan, bekerja dalam stadium dan memenuhi pesanan pelanggan di kafe.
Hingga Januari 2025, gadis itu bekerja di bawah visa kerja dan cuti yang membolehkan warga Singapura berusia 18 tahun hingga 30 tahun untuk cuti panjang di Australia dan pada masa yang sama bekerja.
Mengimbas pengalamannya bekerja di kebun mengopek bawang putih dan memetik beri biru, Cik Syasya, 30 tahun, berkata:
“Kami memetik beri dan mengopek bawang putih kira-kira enam hingga lapan jam sehari. Ia sangat rutin, mudah dan tentunya terepeutik ... tetapi terdapat juga tekanan daripada petani supaya kami bekerja lebih pantas.
“Pada hari itu, saya hanya terima A$40 (kira-kira $33) sementara yang lain raih A$80 memandangkan saya lembap,” katanya tertawa sambil menambah bahawa beliau serik dengan pekerjaan itu walaupun baru sehari.
Selain itu, beliau mencuba tangan mengopek bawang putih selama beberapa hari.
“Anda perlu potong akar guna pemotong atau gunting, kupas batangnya, lepas itu buang kulit luarnya, bersihkan, dan asingkan yang rosak daripada yang elok. Sampai hujung waktu, jari saya jadi pedih,” kongsinya.
Gadis itu kemudian mencuba pekerjaan rencam lain dan sempat memulakan agensi pemasarannya yang tersendiri secara tidak rasmi.
Walaupun beliau akur bahawa pengalaman kerja fizikal di sana jauh lebih mencabar dan tidak boleh ditandingi berbanding di Singapura, Cik Syasya berkata peluang tersebut sememangnya tidak boleh dicari diganti.
“Tahap stres melakukan pekerjaan itu 80 peratus lebih rendah berbanding bekerja dalam pejabat di Singapura. Ia sangat tenang, anda bangun sebelum subuh dan tidak pernah perlu bawa pulang kerja,” ujarnya yang kini sudah pulang ke Singapura dan sedang mencari pekerjaan dalam sektor pemasaran.
Akui bahawa gaji yang diraih daripada pekerjaan tidak tetap bukanlah sebesar
mana, Cik Syasya dan rakannya giat menjadi pengasuh haiwan peliharaan, yang
dapat meringankan perbelanjaan bulanan mereka sambil memberi mereka peluang meneroka Australia menerusi kaca mata warga tempatan.
Sepanjang di sana, Cik Syasya berkongsi bagaimana beliau dan rakannya hidup bak pengembara – berpindah randah dan pernah bermalam di dalam ‘campervan’ atau van yang mempunyai kemudahan tempat tidur bagi tujuan riadah.
Kenangan indah itu menjadi sesuatu yang mendewasakan dirinya, malah membantu beliau merenung semula hala tuju hidupnya.
“Kami banyak menghabiskan masa di jalan raya, sehinggakan kemahiran memandu saya semakin baik. Tempoh berada di luar negara itu mengajar saya bagaimana untuk menjaga diri sendiri - memasak, memandu di pelbagai jenis jalan dan denai, tidak takut bersendirian di sebuah rumah dalam hutan pada waktu malam, untuk berhenti merokok, cara menjaga haiwan peliharaan, dan paling penting sekali, membuat saya sedar saya lebih gemar suasana perkampungan atau pinggir bandar berbanding bandar,” katanya. - NUR HUMAIRA SAJAT
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg