KUALA LUMPUR: Ibu usahawan, Aliff Syukri, iaitu Rozita Ibrahim, 61 tahun, umpama mengesahkan status perkahwinannya dengan suami baru apabila berkongsi beberapa gambar mereka di Instagram.
Pasangan bahagia ini sekarang berada di Makkah mengerjakan umrah dan ia sudah diselesaikan mereka jam 6.30 pagi waktu Arab Saudi.
Berkongsi doa diharapkannya, Rozita berdoa agar Allah memberi keampunan di atas segala dosa yang dilakukan dan melindungi seluruh ahli keluarganya, lapor Berita Harian Malaysia.
“Bulan Ramadan ini penuh rahmat, kami datang kepada-Mu dengan hati penuh harapan dan tangan yang menadah keampunan.
“Kami hamba-Mu yang lemah, penuh dosa dan kekurangan, namun kasih sayang-Mu tidak pernah bertepi.
“Ampunkanlah kami, Ya Allah, atas segala khilaf kami yang sengaja mahu pun tidak. Ya Allah, di bulan yang suci ini bersihkanlah hati kami daripada segala noda,” tulisnya.
Rozita, yang mesra dipanggil Bonda, turut menitip doa buat perkahwinan baru itu, sekali gus menjawab spekulasi dalam kalangan pengikutnya yang tertanya-tanya mengenai status dirinya selama ini.
“Ya Allah, kurniakanlah kami keberkatan di dunia dan kebahagiaan di akhirat. Satukanlah hati kami dengan kasih sayang dan reda.
“Temukanlah kami dalam syurga yang abadi. Kami sayang anak-anak kami, berikan mereka kekuatan untuk solat dan beramal kebaikan,” tulisnya dalam titipan doa.
Rozita juga sebelumnya di awal kapsyen itu menulis ‘menjawab persoalan ‘followers’ atau pengikut, yang umpama mengesahkan desas-desus mengenai perkahwinan terbarunya, adalah benar.
Terdahulu, timbul tanda tanya dalam kalangan netizen apabila terlihat kelibat seorang lelaki muncul dalam sesi siaran langsung dibuat Rozita di TikTok ketika berada di bilik hotel.
Bagaimanapun, anak perempuan Rozita, Nur Ain Sufiah atau dikenali sebagai Ain, mendedahkan ibu bapanya sudah bercerai dan ibunya kini mempunyai pasangan baru.
Menurut Ain, beliau tampil mendedahkan mengenai status terkini ibunya kerana tidak mahu adik-beradik yang lain menerima serangan negatif daripada orang luar yang sering bertanya mengenai hal perkahwinan itu.
Ain berkata mereka sekeluarga juga menerima takdir perpisahan ibu bapanya itu dengan terbuka dan menjelaskan hubungan dalaman keluarga tetap masih baik.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg