Meskipun filem Mission: Impossible - Dead Reckoning Part One adalah yang ketujuh dihasilkan dalam francais filem Mission: Impossible, anda tidak sedikit pun terasa jemu dengan babak-babak aksi yang boleh dijangka ataupun dialog meleret yang membosankan.
Pihak penerbitan filem ini malahan tidak ketandusan idea bagi menjadikan filem yang mula diperkenalkan pada 1996 ini satu lagi filem yang dijangka pecah panggung dan meraih kutipan ‘box-office’ yang memecah rekod.
Anda yang sukakan aksi tanpa henti akan rasa bagaikan dibawa menaiki bot laju yang memecut tanpa had apabila mengekori watak ejen Impossible Mission Force (IMF), Ethan Hunt, memandu di lorong-lorong sempit, berlari atas bumbung kereta api, melepaskan diri daripada musuh dengan meloncat dari cenuram dan menggunakan payung terjun ataupun keluar masuk terowong gelap.
Walaupun si wira Tom Cruise sudah mencecah usia 61 tahun, beliau masih lagi kelihatan tangkas dan segak seperti 27 tahun lalu ketika baru-baru menggalas amanah penting dalam filem yang dipadankan daripada siri televisyen Mission: Impossible yang asalnya diterbitkan pada 1967.
Kali ini, misi Ethan adalah mendapatkan semula separuh bahagian kunci daripada ejen sekutunya Ilsa Faust yang dibayar banyak sebagai utusan.
Ethan mengembara ke padang pasir Namib, bertemu Ilsa seketika dan berpesan kepada wanita itu agar berjaga-jaga dengan musuh yang ada di mana-mana.
Di Amerika, Ethan berjaya mencerobohi satu mesyuarat pelbagai agensi risikan termasuk mantan majikannya dari IMF, Eugene Kittridge, yang rancak berbincang tentang kecerdasan buatan eksperimental yang dipanggil ‘Entity’.
‘Entity’ awalnya direka untuk mengganggu dan mensabotaj sistem digital. Namun, akhirnya ia mengganas sehingga kesemua rangkaian sistem pertahanan dan ketenteraan menjadi huru-hara.
Demi mengawal situasi, kesemua pihak berkuasa yang bertelagah perlu mendapatkan kedua bahagian kunci yang terasing.
Ethan berasakan ‘Entity’ terlalu kuat kuasanya dan payah dikawal pemerintah. Lantas, dengan bantuan rakan sekumpulan Benji Dunn dan Luther Stickell, beliau bergegas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai untuk masuk campur dan mendapatkan kunci yang dicari-cari.
Beliau bergelut dengan Gabriel, ejen yang menjadi sumber komunikasi dan orang tengah ‘Entity’. Namun, separuh kunci itu pula dirampas oleh perompak profesional bernama Grace.
Ethan kini perlu menjejak Grace seorang diri sedang rakan-rakannya menangani beg berisi bom nuklear.
Apa yang menarik adalah aksi dan kemunculan penjahat bertali arus. Ia tidak lagi semudah Ethan perlu menangani dua tiga musuh yang muncul secara serentak untuk memusnahkan misinya.
Penonton akan dibiarkan bermain dengan teka-teki apabila satu-persatu watak antagonis tiba-tiba hadir hanya untuk menjejak kunci yang menjadi sumber keamanan dan kestabilan situasi.
Watak antagonis bukan lagi setakat lelaki dengan lirikan mata tajam atau ketawa sinisnya.
Sebaliknya, anda ketemu Alanna Mitsopolis, penjual senjata pasaran gelap yang juga dipanggil White Widow.
Beliau adalah anak Max, watak yang diperkenalkan dalam filem pertama.
Kemudian ada pembunuh upahan Perancis bernama Paris yang ditugaskan menjejak Ethan dan Grace untuk bosnya Gabriel.
Wajar dipuji pelakon Perancis, Pom Alexandra Klementieff, yang begitu ekspresif dalam lakonannya.
Dari pandangan mata, ketawa sinis dan wajahnya yang penuh muslihat, penonton dapat merasakan muslihat yang dipendam dalam hati.
Walaupun Paris berbahasa Perancis dan tidak banyak dialog, wataknya menjadi.
Dua jam 40 minit berlalu pergi tanpa anda rasa rimas dan resah dalam pawagam.
Keserasian Cruise dan Hayley Atwell yang membawa watak Grace, perompak yang dapat dipujuk untuk menyertai IMF dan membantu Ethan menjadikan filem ini lebih mampu dihadam dengan persoalan tentang musuh menjadi rakan, kepercayaan antara individu dan pembelotan demi kebenaran begitu lancar dikupas.
Ada banyak kaitan antara filem ketujuh ini dengan filem-filem terdahulu dengan watak lama disisipkan sebagai jalinan pada watak baru.
Tiada ketika di mana filem dengan bajet AS$291 juta ($389.2 juta) itu membuatkan anda ingin menatap telefon bimbit kerana bosan atau meleret.
Detik-detik cemas dan lucu juga ketika Grace dan Ethan memandu kereta dalam keadaan tangan mereka digari bersama adalah antara adegan yang warganet anggap mendebarkan tetapi membuatkan ramai tergelak.
Banyak kegenjotan ekoran pandemik Covid-19 yang menjejas penggambaran filem ini rasanya boleh dilupakan sebab hasilnya memang memuaskan dengan ramai tidak sabar menyaksikan susulan filem ini, Mission: Impossible - Dead Reckoning Part 2, tahun depan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg