Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mulakan perjalanan sihat 2024 dengan 9 pilihan enak

Jan 6, 2024 | 5:30 AM
SIHAT: Tahun baru, azam untuk memupuk diet yang seimbang dan sihat.
SIHAT: Tahun baru, azam untuk memupuk diet yang seimbang dan sihat. - Foto PIXABAY

Dengan bermulanya 2024, ramai yang menyemat azam mengutamakan kesihatan melalui pemakanan lebih berkhasiat. Mulakan ia dengan sembilan pilihan makanan yang menawarkan asas yang lazat dan berfaedah untuk sesiapa sahaja yang berusaha ke arah mendapatkan diet lebih sihat pada 2024.

‘ACAI BOWL’: Hidangan ini diperbuat daripada acai beri yang diadun bersama buah-buahan lain untuk mendapatkan tekstur pekat dan berkrim seperti tekstur aiskrim.
‘ACAI BOWL’: Hidangan ini diperbuat daripada acai beri yang diadun bersama buah-buahan lain untuk mendapatkan tekstur pekat dan berkrim seperti tekstur aiskrim. - Foto PIXABAY

Acai beri

Penuh dengan antioksidan, serat dan vitamin, acai beri adalah antara buah yang dapat memberi tenaga kepada badan kerana ia dianggap sebagai makanan unggul penuh berkhasiat (superfoods).

Buah itu mempunyai nilai zat yang tinggi dan dipercayai dapat menyumbang kepada kesihatan jantung dan membaiki kadar kolesterol.

Perisa acai beri ini seperti gabungan beri hitam dan coklat, tanpa pemanis. 

Untuk menikmati acai beri ini, ia diadunkan bersama buah-buahan lain untuk mendapatkan tekstur yang pekat dan berkrim, seperti tekstur aiskrim.

Ia dihidangkan dalam mangkuk diiringi dengan potongan buah segar lain serta taburan kacang dan bijirin. Hidangan ini kemudian dinamakan acai bowl dan ia dimakan pada suhu sejuk. 

Hidangan ini mudah disangka sebagai pencuci mulut, namun khasiatnya tinggi dan ia boleh menggantikan satu sajian makanan biasa.

YONG TAUFU: Hidangan popular Cina Hakka yang membolehkan pelanggan pilih sayuran dan protein yang diinginkan. Ia juga merangkumi bahan yang disumbatkan daging atau pes ikan dalam tauhu dan sayur-sayuran seperti peria, bendi, lada, terung, cendawan dan sebagainya. 
YONG TAUFU: Hidangan popular Cina Hakka yang membolehkan pelanggan pilih sayuran dan protein yang diinginkan. Ia juga merangkumi bahan yang disumbatkan daging atau pes ikan dalam tauhu dan sayur-sayuran seperti peria, bendi, lada, terung, cendawan dan sebagainya.  - Foto fail

Yong Taufu

Hidangan yong taufu bukan asing lagi dalam kalangan masyarakat Melayu Singapura. Memilih sayuran segar dan bahan yang kaya dengan protein, pelanggan dapat mengawal khasiat yang diinginkan dalam sajian masing-masing. 

Yong taufu adalah salah satu hidangan Cina Hakka yang popular yang dibuat dengan menyumbatkan daging atau pes ikan dalam tauhu dan sayur-sayuran seperti peria, bendi, lada, terung, cendawan, dan sebagainya.

Ia boleh dihidangkan bersama sup ataupun secara kering dengan sos kacang manis.

Hidangan ini boleh dikatakan rendah kalori, tinggi nutrien dan mengandungi sajian yang seimbang jika anda memilih bahan yang lebih berkhasiat.

Misalnya, lebihkan sayur-sayuran segar berbanding makanan yang diproses seperti kek ikan ataupun bahan yang telah digoreng.

Lebihkan juga bahan seperti tauhu, sayuran hijau dan protein untuk menyokong pemakanan yang lebih sihat!

KEBAB: Bermakna ‘daging panggang’ dalam bahasa Arab, hidangan ini menawarkan sumber protein yang tinggi.
KEBAB: Bermakna ‘daging panggang’ dalam bahasa Arab, hidangan ini menawarkan sumber protein yang tinggi. - Foto oleh PIXABAY

Kebab

Kebab adalah sumber protein yang baik dan mudah disediakan.

Perkataan kebab, asalnya daripada bahasa Arab yang bermakna daging panggang, telah menjadi hidangan popular di serata dunia.

Hidangan timur tengah ini lebih popular dengan daging kambing, namun ia juga menawarkan pilihan ayam dan lembu.

Kebab dicampurkan bersama sayur-sayuran panggang dan kemudian dibungkus dengan roti pita.

Sajian ini juga ditambah dengan sos putih, aioli (campuran minyak zaitun dan bawang putih) dan sos cili.

Untuk memastikan hidangan ini sihat, sos-sos tambahan itu tidak perlu dicampur bersama daging kebab atau ditambah secara minimum. 

Yang penting, hidangan ini penuh berzat dan kandungannya padat dengan sajian daging dan sayur, menjadikannya antara pilihan berkhasiat untuk makanan segera. 

‘POKE BOWL’: Disebut poh-kay, hidangan ini menyajikan ikan mentah bersama sayur-sayuran.
‘POKE BOWL’: Disebut poh-kay, hidangan ini menyajikan ikan mentah bersama sayur-sayuran. - Foto PIXABAY

‘Poke Bowl’

Antara hidangan yang baik untuk dinikmati ialah sajian makanan laut segar – poke bowl. 

Disebut sebagai poh-kay, hidangan salad dan ikan mentah disajikan sebagai pembuka selera dalam sajian Hawaii. 

Poke yang bermakna ‘potong’ merujuk kepada potongan segar ikan tuna atau sotong gurita. 

Hidangan ini dicampur dengan kicap, daun bawang, dan minyak bijan. Ia juga boleh mengandungi bahan lain seperti rumpai laut dan serbuk cili. 

Memesan poke bowl yang sihat bermakna memilih bahan berdasarkan pilihan anda.

Sebagai contoh, jika anda inginkan diet rendah karbohidrat, anda boleh memesan lebih sayuran berbanding nasi.

Nasi Kerabu

NASI KERABU: Hidangan ini sarat serat, vitamin dan antioksidan.
NASI KERABU: Hidangan ini sarat serat, vitamin dan antioksidan. - Foto ST

Hidangan lazat dan berwarna-warni, nasi kerabu yang diiringi pelbagai herba dan dihidangkan dengan bermacam jenis lauk, juga mempunyai khasiat kesihatan yang tersendiri.

Komponen utama nasi kerabu ialah nasi yang diperbuat daripada bunga kembang telang yang memberikannya warna biru.

Herba dan rempah-ratus lain seperti serai, kunyit dan halia juga digunakan untuk menyedapkan nasi.

Lauk-pauk yang mengiringi nasi kerabu termasuk beberapa lauk-pauk biasa seperti ayam goreng, keropok ikan atau udang, sayur jeruk dan ulam (sayur mentah).

Hidangan ini selalunya mengandungi pelbagai jenis sayur-sayuran, seperti timun, lobak merah dan kubis.

Oleh kerana sayur-sayuran dimakan mentah dan segar, ia sangat berkhasiat dengan serat, vitamin dan antioksidan.

Bunga kembang telang mengandungi antioksidan yang tinggi. Ia boleh membantu untuk melindungi tubuh daripada kerosakan disebabkan radikal bebas.

Herba dan rempah-ratus yang digunakan dalam hidangan ini juga mempunyai ciri antiradang, yang boleh membantu mengurangkan keradangan dalam badan.

Untuk memastikan hidangan itu seimbang, hadkan pengambilan budu atau sambal dan hanya ambil satu perempat daripada telur masin, kerana ia tinggi natrium.

‘Tau Huay’

KAYA PROTEIN: ‘Tau huay’ tinggi dengan protein dan rendah lemak. Ia juga merupakan sumber kalsium yang baik.
KAYA PROTEIN: ‘Tau huay’ tinggi dengan protein dan rendah lemak. Ia juga merupakan sumber kalsium yang baik. - Foto PIXABAY

’Tau huay’ ialah pencuci mulut tradisional Singapura yang sangat digemari ramai.

Pencuci mulut ini licin atau silky yang mengandungi puding kacang soya yang tinggi protein dan rendah lemak. Ia juga merupakan sumber kalsium yang baik.

Hidangan ini sering disiram dengan sirap gula dan selalunya dihidangkan bersama ‘you tiao’, sejenis doh yang digoreng.

Apabila membuat pesanan, minta kurangkan sirap gula untuk meningkatkan ketumpatan nutrien.

Jamu

JAMU: Meminum jamu secara kerap dikatakan dapat meningkatkan imuniti di dalam badan.
JAMU: Meminum jamu secara kerap dikatakan dapat meningkatkan imuniti di dalam badan. - Foto PIXABAY

Meminum jamu yang diperbuat daripada pelbagai herba tempatan, adalah salah satu amalan paling popular di Indonesia.

Minuman herba diketahui dapat meningkatkan imuniti, menambah antioksidan dalam badan dan membantu dalam memberi tubuh rangsangan semula jadi.

Hampir semua resipi jamu mengandungi beberapa bahan asas yang sama, termasuk halia, kunyit segar, jus limau nipis, madu untuk pemanis dan asam jawa yang digunakan untuk memberi kesan tambahan.

Asam jawa, kunyit dan halia khususnya terkenal dengan pelbagai manfaat kesihatannya.

Asam jawa dikatakan bertindak sebagai antioksidan yang baik untuk sakit perut dan isu sembelit serta dapat membantu dalam penurunan berat badan dan mengurangkan paras gula.

Kunyit pula dipercayai adalah sumber antiradang dan antioksidan yang boleh membantu masalah penyakit jantung serta artritis.

Halia pula dikenali sebagai antibakteria, membantu dalam menangani kuman dan keradangan dalam badan serta membantu kesihatan penghadaman dan senggugut.

Terdapat pelbagai jenis jamu yang mempunyai pelbagai khasiat kesihatan seperti beras kencur, kunyit asam, Jamu Pahitan dan Jamu Empon-Empon.

Tose

RINGAN DAN ENAK: Tose pengganti sarapan yang lebih berkhasiat berbanding perata.
RINGAN DAN ENAK: Tose pengganti sarapan yang lebih berkhasiat berbanding perata. - Foto ST

Jika perata sering menjadi pilihan semasa sarapan atau makan malam, tose boleh dijadikan sebagai penggantinya.

Tose selalunya diperbuat daripada tepung beras, kacang kuda, yis dan rempah-ratus yang kaya dengan karbohidrat, protein dan serat.

Tose juga dimasak dengan cara yang lebih sihat, di atas plat panas dengan diletakkan sedikit minyak untuk mengelakkan doh daripada melekat.

Nikmati hidangan ini dengan dal dan bukannya cutni (chutney), yang kaya dengan santan dan lemak tepu.

Roti Bakar bersama Avokado

BERLEMAK: Roti bakar bersama avokado yang sangat versatil mempunyai khasiat.
BERLEMAK: Roti bakar bersama avokado yang sangat versatil mempunyai khasiat. - Foto PIXABAY

Avokado berkrim yang dimakan bersama roti yang dibakar adalah antara makanan ruji sarapan yang sering kita lihat dinikmati semasa sarapan pagi, yang sangat Instagrammable (menarik secara visual dan sesuai untuk diambil gambar untuk disiarkan di Instagram).

Roti bakar avokado berkrim, rangup dan sangat memuaskan. Ia adalah sarapan pagi yang lazat dan ringkas, paling baik dimakan segera.

Roti bakar yang lazat namun ringkas ini adalah sumber vitamin B, folat, vitamin K, vitamin E dan juga magnesium, kalium dan vitamin C yang sangat baik.

Roti bakar avokado mempunyai pilihan yang pelbagai dan akan mengubah nilai nutrien roti bakar anda.

Hiasan di atas roti seperti telur, salmon salai akan meningkatkan protein dan kandungan lemak yang sihat.

Untuk menyerlahkan roti bakar avokado, tambah telur goreng, telur rebus atau telur hancur yang merupakan sumber protein tambahan yang baik.

Hiasan tambahan lain termasuk hirisan tomato ceri, lobak dan biji delima.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg