Mutiara Seafood sambut Tahun Baru Cina pertama
Jika anda masih mencari tempat untuk makan masakan Cina yang halal, terutama menjelang Tahun Baru Cina ini, Kaki Makan Berita Harian menyenaraikan enam tempat yang anda boleh kunjung untuk menikmati jamuan perayaan tersebut. Selami tradisi, rasa ramuan unik dan tingkatkan perayaan anda dengan juadah Tahun Baru Cina. Pastikan anda segera tempah restoran untuk elak sebarang kekecewaan semasa perayaan hujung minggu panjang ini.
Menyajikan menu Tahun Baru Cina yang pertama sebagai restoran baru, Mutiara Seafood sudah hampir penuh ditempah pada malam Tahun Baru Cina, yang jatuh 9 Februari.
Mutiara Seafood, anak syarikat halal kedai makan popular Jumbo Seafood, menerima sambutan yang memberangsangkan menjelang perayaan Tahun Baru Cina.
Ketua pegawai eksekutif (CEO) Mutiara Seafood, Cik Novie Djayayanti Tjoa, memberitahu Berita Harian (BH) baru-baru ini bahawa mereka akan berusaha untuk memenuhi permintaan tinggi pada malam Tahun Baru Cina dengan menambah lebih ruang.
“Sambutan daripada syarikat korporat sangat baik. Kini mereka boleh beraya bersama di restoran Cina (yang halal), dan menjamu hidangan serta meraikan perayaan dan tradisi Tahun Baru Cina seperti biasa,” kata Cik Novie, yang juga merupakan pengasas Eatz Catering.

