Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Muzikal 'Copa Cabana' teroka era kelab malam di SG

Pementasan di WGS susur sejarah hiburan malam di Geylang menerusi kisah hidup 'perempuan joget' bernama Ainun; lagu Melayu, Inggeris, Mandarin
Dec 16, 2022 | 05:30 AM



LIMA tahun lalu, aktivis seni, Awal'liyah Ja'afar, pernah mementaskan dan melakonkan kisah jerih payah dan percintaan 'perempuan joget' bernama Ainun yang bertugas di Kelab Bunga Tanjong.



Segala yang diimpikan Ainun dalam pementasan Kenangan di Wisma Geylang Serai (WGS) itu untuk hidup bahagia selepas mencari rezeki buat ibunya menjadi lara apabila dia ditinggal pergi dan kematian kekasih hati dan 'Nyonya Besar' di kelab hiburan tersebut.



Ainun bakal kembali lagi pada 3 petang dan 8 malam esok di Project Studio, tingkat empat, WGS menerusi pementasan muzikal pertama dalam bahasa Inggeris yang diusahakan WGS dengan kerjasama A'Arts Repertoire.



Muzikal Copa Cabana ini diarah Awal'liyah yang juga menulis naskhah pentas berkenaan serta membawakan watak utama sebagai Ainun.



Pengarah muzik adalah Hardi Aris dan Danial Ariffin Azman dengan pemain dram Hyatt selaku penasihat El Copa Big Band.



Olynn Saleh pula bertindak selaku vokalis yang perlu menyanyikan lagu nostalgik Melayu, Inggeris dan Mandarin.



Pelakon lain adalah Drake Lim, Munirah Rosli, Ruhaini Su'aidi, Syakira Sahmawi, Nur Shafiqah, Ahmad Irfan, Nur Syafiq, Ubaid Yaccob, Vishnucharan Naidu dan Nur Adrianz.



Ketika dihubungi Berita Harian menerusi Zoom, Awal'liyah berkata beliau bersyukur dapat meneruskan perjalanan kisah Ainun dalam Copa Cabana.



"Saya sering tekankan tentang pemerkasaan wanita dalam naskhah pentas yang saya hasilkan untuk memberi semangat dan cetusan inspirasi buat penonton.



"Ainun adalah wanita yang diuji dengan bermacam jerih payah kehidupan sehingga tidak percayakan cinta lagi. Semua orang yang bermakna dalam hidupnya meninggalkannya.



"Melalui Copa Cabana, anda dibawa ke era 1967 di mana kelab lama pun terpaksa ditukar namanya dengan kemunculan genre muzik baru seperti disko yang melenyapkan kehadiran perempuan joget.



"Kita dapat lihat kemodenan dengan pelanggan yang buat hal. Ada tiga bahagian muzikal ini. Ada sisipan nostalgia tentang Kelab Bunga Tanjong pada bahagian pertama.



"Kemudian kita bawa penonton menghayati era muzik moden. Lagu Cina seperti Cha Cham Bo dan Carmen serta lagu Inggeris Let's Twist Again dan lagu Melayu Jelingan Manja dan Tiru Macam Saya. Ada juga medley lagu Moulin Rouge yang diberi sentuhan baru dan lebih sesuai dengan konteks masyarakat kita yang berbatas.



"Pada penghujungnya, ada kisah Ainun kena buang susuli kelab hiburan yang dibelenggu masalah hutang serta perubahan yang perlu dibuat untuk bangkitkan semula dunia hiburan malam ini," cerita Awal'liyah.



Beliau mendapat inspirasi daripada meninjau dan mengkaji kisah sejarah pusat hiburan kabaret di Singapura termasuk yang bertempat di Geylang mahupun Neptune Theatre Restaurant yang dikenali ramai.



Copa Cabana, jelasnya, akan juga menampilkan cebisan kisah The Happy School yang dibangunkan pada 1946 serta Singapore Happy Musical Society yang dikhususkan buat kanak-kanak sekitar Geylang yang keciciran.



Sekolah ini menawarkan pendidikan percuma buat anak daripada keluarga miskin bahkan menerima sokongan daripada pekerja di pusat hiburan Happy World.



Sesuatu yang menarik adalah pada 1947, satu persembahan amal besar-besaran diadakan di Happy World bagi mengumpul dana untuk membina sekolah dua tingkat di Lorong 14 Geylang. Pada 1955, sekolah itu ditukar menjadi sekolah bantuan pemerintah.



Olynn pula teruja dilamar bagi muzikal ini dan mengharapkan ini adalah titik tolak untuk acara seperti ini dilanjutkan pada tempoh lebih panjang dan bukan sehari sahaja pada masa akan datang.



"Banyak persiapan dan kerja keras diperlukan untuk muzikal. Bagi saya sendiri, memastikan sebutan lirik Mandarin saya tidak 'lari' dari makna asal menjadi satu cabaran.



"WGS telah banyak memberi peluang kepada anak seni seperti saya menyalur bakat kami untuk masyarakat. Saya juga terlibat dalam menerbitkan program digital untuk ketengahkan bakat baru sebelum ini.



"Muzikal ini adalah satu lagi projek yang saya syukuri untuk kembalikan nostalgia dan menyampaikan kisah tentang perjuangan seni seorang wanita. Lagu lama ada identiti sendiri dan tarikan semberaninya," jelasnya.



Hyatt pula menjelaskan projek muzikal sebesar ini memerlukan dua pengarah muzik yang masing-masing mahir dalam bidang tersendiri.



"Apabila Hardi mengkhabarkan saya tentang projek Copa Cabana ini, saya rasa ia memang 'wow'.



"Saya justeru itu perlu menggandingkan Hardi yang memang mahir dalam muzik 'retro' serta Danial yang pakar tentang susunan muzik jaz,'big band' dan 'Broadway'.



"Pemuziknya pula bukanlah nama besar tetapi mereka sering ada dalam persembahan di Esplanade bagi muzik nostalgia serta sering ada di kaca televisyen bagi rakaman Sinar Lebaran.



"Dalam menyempurnakan projek ini, kita perlu yang berpengalaman dan dapat bersatu hati. Tidak perlu jadi sauh untuk ke depan sebaliknya jadi jambatan semua pemuzik," katanya.



Hardi pula yakin penonton akan dibuai dengan lagu yang berbeza bunyiannya daripada irama sekarang dan jarang berkumandang di corong radio.



"Orang lama akan terkenang kisah silam. Yang muda akan mendapatinya seronok didengar serta mampu menghayati 'mood' nostalgia ini," jelasnya.



Copa Cabana akan disiarkan di YouTube WGS selepas tempoh persembahan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >