Muzium Kanak-Kanak S’pura lancar watak digital interaktif baru
Muzium Kanak-Kanak S’pura lancar watak digital interaktif baru
Kanak-kanak yang mengunjungi Muzium Kanak-Kanak Singapura (CMSG) kini boleh mengikuti pembelajaran warisan dengan cara lebih menyeronokkan dan interaktif menerusi WonderBot 2.0, watak digital terkini muzium itu.
Dibangunkan bersama Tencent Singapura, WonderBot 2.0 mampu mendengar, menjawab soalan dan berbual mengikut masa nyata dengan pengunjung muda.
Ia sekali gus berupaya membimbing mereka menerusi permainan interaktif yang memaparkan sejarah dan budaya Singapura.
Pelancaran WonderBot 2.0 dirasmikan Pengerusi HeritageSG dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Warisan Negara (NHB), Cik Chang Hwee Nee, serta Pengurus Negara untuk Tencent Singapura, Encik Murphy Zhao, di CMSG pada 4 Februari.
Seramai 30 murid prasekolah PCF Sparkletots dari cawangan Marymount Blok 231 dan 219 turut hadir semasa pelancaran itu.
WonderBot 2.0 terletak di aras satu CMSG dan memainkan peranan sebagai teman pintar yang membimbing kanak-kanak menerusi pameran dan kegiatan interaktif di muzium tersebut.
Menurut pihak CMSG, kanak-kanak secara lumrah mempunyai sifat ingin tahu dan suka bertanya soalan, namun panduan digital biasanya tidak dapat membalas pertanyaan kanak-kanak secara semula jadi.
Justeru, WonderBot 2.0 bertujuan mengisi jurang itu dengan kebolehannya untuk mendengar, membalas dan berbual dengan kanak-kanak.
Dalam ucapannya semasa acara pelancaran WonderBot 2.0, Pengarah CMSG, Cik Asmah Alias, berkata:
“Setiap kanak-kanak berhak mendapat peluang untuk mengalami warisan dengan cara yang membangkitkan rasa kagum, sifat ingin tahu dan keyakinan diri.”
Mengulas lebih lanjut tentang watak digital terbaru itu, Cik Asmah berkata ia bukan sahaja dapat mendengar, malah dapat menyahut, melibatkan kanak-kanak dalam perbualan melalui penceritaan dan permainan interaktif.
“Lebih penting lagi, WonderBot 2.0 menyesuaikan interaksi mengikut tahap rasa ingin tahu setiap kanak-kanak,” tambahnya.
WonderBot 2.0 dikuasakan oleh teknologi watak digital, pemodelan 3D, dan pemahaman semantik Tencent, yang membolehkan interaksi responsif terhadap suara.
Sebelum berinteraksi dengan WonderBot 2.0, kanak-kanak diminta memilih julat umur mereka, membolehkannya menyesuaikan aliran perbualan, soalan dan kegiatan untuk mewujudkan pengalaman yang lebih diperibadikan mengikut umur dan tahap pembelajaran setiap kanak-kanak.
Menurut Encik Zhao, pelancaran WonderBot 2.0 menandakan projek sosial pertama Tencent di Singapura.
“Dengan memanfaatkan kepakaran digital kami, Tencent berhasrat mewujudkan nilai sebenar kepada masyarakat, khususnya bagi generasi akan datang,” ujarnya.
Pada 2025, Tencent menyumbang lebih $750,000 dalam bentuk sokongan teknologi dan sumbangan tunai bagi memperkasa inisiatif digital dalam sektor muzium dan warisan Singapura, termasuk pembangunan WonderBot 2.0.

