Pengacara dan pelawak terkenal, Nabil Ahmad, buntu apabila wajahnya terus digunakan oleh scammer bagi mengaut keuntungan atas angin.
Jelas pemilik nama sebenar Ahmad Nabil Ahmad, 41 tahun, perkara ini bukanlah baru kerana beliau sudah membuat laporan kepada polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), namun isu berkenaan masih berlarutan tanpa penyelesaian.
“Isu ini sebenarnya sudah berlaku sejak tahun 2023 dan saya pun sudah membuat laporan polis, termasuk siasatan yang melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil di Bukit Aman, tetapi ia masih lagi berlaku.
“Saya tidak nafikan sudah banyak kali wajah saya digunakan untuk menipu orang, dan saya sendiri tidak tahu bagaimana mahu menghentikannya,” ujar Nabil kepada Sinar Harian.
Terdahulu, nama Nabil kembali tular di platform X apabila ada pihak tidak bertanggungjawab menyunting gambarnya dan meletakkan tajuk berita palsu bagi menipu orang awam serta mendapatkan wang.
Bukan itu sahaja, dedah pengacara MeleTOP dan penyampai radio Era FM itu, ada individu yang terpedaya dan telah menyalurkan sejumlah wang kepada scammer terbabit.
“Saya tahu perkara ini kerana ada yang menghantar mesej peribadi (DM) kepada saya di Instagram dan memaklumkan bahawa mereka sudah membuat pembayaran.
“Kemudian saya beritahu bahawa ini adalah penipuan dan tidak ada apa-apa yang boleh saya bantu selanjutnya sekiranya anda sudah menyerahkan sejumlah wang kepada orang yang tidak dikenali,” jelasnya.
Sebelum ini, Nabil pernah membuat laporan susulan gambarnya digunakan pihak tidak bertanggungjawab sebagai bahan promosi untuk satu skim pelaburan palsu.
Nabil mengambil tindakan tersebut kerana ia memberi kesan terhadap kerjayanya sebagai pekerja seni, sekali gus dibimbangi boleh mengakibatkan lebih ramai individu terperdaya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg