Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nabila Huda: Pelakon mapan hanya tegur, bukan buli

Nov 19, 2024 | 5:02 PM
Pelakon, Nabila Huda, menganggap komen seorang pelakon baru yang mendakwa ada dalam kalangan mereka dibuli pelakon senior sebagai tidak berasas jika yang dilalui hanya teguran daripada mereka yang lebih berpengalaman.
Pelakon, Nabila Huda, menganggap komen seorang pelakon baru yang mendakwa ada dalam kalangan mereka dibuli pelakon senior sebagai tidak berasas jika yang dilalui hanya teguran daripada mereka yang lebih berpengalaman. - Foto INSTAGRAM NABILA HUDA

Pelakon berpengalaman, Nabila Huda, meminta pelakon baru berhenti mengeluarkan kenyataan yang dikhuatiri memberi kesan negatif kepada industri seni tanah air.

Nabila, 40 tahun, menyifatkan kenyataan yang dibangkitkan seorang bakat baru yang mendakwa pelakon muda turut dibuli pelakon senior, baru-baru ini, sepatutnya tidak dijadikan isu.

“Apabila keluarkan kenyataan begini, ia boleh membuatkan orang luar pandang tidak baik terhadap industri seni. Kami semua bersusah payah dalam bidang ini.

“Ada yang terlalu cinta dan sayang dengan kerjaya ini. Tetapi, dengan kenyataan sebegitu, ia akan merosak dan membuatkan orang pandang buruk terhadap kami yang bekerja keras ini.

“Tolonglah berhenti keluarkan kenyataan begitu. Berhenti didik orang keliling untuk tahu hal peribadi atau buat mereka pandang buruk. Saya bekerja keras untuk faham bagaimana jadi pelakon baik.

“Tetapi, semuanya jadi buruk sekarang. Saya sedih tengok keadaan ini. Saya sedih apabila ada yang cakap pelakon lama membuli,” katanya ketika ditemui Berita Harian Malaysia (BHM) di set penggambaran filem terkini lakonannya, Gayong, di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Sungai Besi, pada 18 November.

Baru-baru ini, seorang pelakon baru mendakwa ada dalam kalangan mereka menjadi mangsa buli segelintir pelakon senior ketika menjalani penggambaran.

Bagaimanapun, pelakon terbabit tidak mendedahkan secara terperinci berhubung isu itu.

Nabila, yang meraih piala Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-28, berkata jika menganggap teguran di set penggambaran sebagai perbuatan membuli, sebaiknya bakat baru disaran mencari pekerjaan lain.

“Perkara itu (membuli) tiada, kami gembira dan macam keluarga di set penggambaran.

“Tetapi, kalau perkara itu dianggap sebagai buli, pelakon baru itu sebenarnya yang tidak bersedia jadi pelakon.

“Lebih baik cari kerja lain seperti pempengaruh yang hanya fokus untuk diri sendiri.

“Apabila cakap sebegitu, maknanya mereka tidak sesuai untuk kerja di set penggambaran sebab mentaliti anda berbeza dan bukan untuk bidang seni,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Nabila membawa watak Che Som menerusi filem Gayong iaitu naskhah biopik berkisar perjalanan awal pengasas seni bela diri Silat Gayong, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman, yang akan ditayangkan pada Mei 2025.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg