Setelah bergelar seorang isteri dan ibu dua cahaya mata, pelakon kelahiran Gombak, Selangor, Nadiyatul (Nadiya) Nisaa Kamarudin, pernah tergerak hati untuk mengundurkan diri daripada dunia lakonan kerana keutamaan hidup yang bertukar berbanding zaman anak daranya dahulu.
Bagaimanapun, keyakinan bahawa kerjaya lakonan dapat memperkasa dirinya sebagai wanita dengan peluang menjayakan filem yang penting serta bertemu orang penting bagi berkongsi motivasi mampu menaiktarafkan dirinya, membuatkan Nadiya, 38 tahun, betah dalam bidang ini selama 19 tahun.
Beliau malahan rasa bertuah dapat bekerjasama dengan pengarah Singapura, M. Raihan Halim, daripada Papahan Films, untuk filem komedi sosial, La Luna, yang kini ditayangkan di pawagam Singapura dan Malaysia.
La Luna yang diterbitkan bersama Clover Films (Singapura), Papahan Films (Singapura) dan ACT 2 Pictures (Malaysia) ini mengisahkan tentang Hanie yang membuka kedai pakaian dalam ala Victoria’s Secret yang diberi nama La Luna di kampung yang sepi, malas lagi tidak bermaya, Kampong Bras Basah.
Nadiya membawa watak sebagai Yam yang awalnya bahagia hidup bersama suaminya Pa’at (lakonan Hisyam Hamid). Namun, kehidupan mereka berubah setelah Pa’at, seorang pegawai polis, terlibat dalam satu kemalangan yang meragut kerjayanya.
Pa’at mula bertindak kasar dan menyekat pergerakan Yam serta tidak senang apabila mendapat tahu si isteri berkunjung ke kedai Hanie untuk mengadu nasib.
Nadiya merupakan pemilik ijazah Sarjana Muda Penyiaran di Universiti Teknologi Mara (UITM) kampus Shah Alam yang memulakan kerjaya hiburannya dengan muncul dalam iklan Hotlink Siti Nurhaliza Fantasia Tour (2004) bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Selepas itu, beliau menjayakan filem Karaoke dan Cun! sebelum namanya naik serta lebih dikenali sebagai Ain Hawani dalam drama Adam & Hawa yang turut dibintangi Datuk Aaron Aziz.
Secara kebetulan, beliau pernah juga terlibat dalam filem Netflix, Sa Balik Baju, yang mempunyai tema pakaian dalam sebagaimana La Luna.
Dalam filem itu, dirinya adalah Dahlia, seorang penulis majalah wanita yang terasa kehilangan apabila firma majalah itu tutup kedai. Dahlia beralih memulakan perniagaan yang menjual pakaian dalam seksi untuk menghangatkan hubungan suami isteri setelah mendengar pertengkaran antara seorang suami dan isteri.
Ketika ditemui Berita Minggu (BM) pada sidang media La Luna di pawagam GV Bugis+ baru-baru ini, Nadiya menjelaskan bahawa filem atau drama adalah wadah yang sangat berkuasa dalam mempengaruhi pemikiran atau menyampaikan pesanan buat penonton.
“Keseimbangan sesebuah karya itu perlu. Daripada kerjaya lakonan saya ini, saya menyedari bahawa manusia saling bergantung pada satu sama lain. Saya bukan feminis tetapi saya berasakan lelaki juga perlu berikan sokongan buat wanita. Kita saling memerlukan.
“Kadangkala saya tertanya-tanya mengapa pengarah lelaki yang bikin cerita tentang wanita tak nak dengar apa kata wanita? Kebiasaannya, sebagai pelakon yang memiliki nyala rasa yang tinggi pada dunia lakonan, saya pasti ingin sisipkan takrifan peribadi saya terhadap sesuatu isu dalam watak yang diberi. Saya tidak setakat kata ‘ya’ pada pengarah. Saya cuba selitkan diri saya di dalam sesebuah karya.
“Sebab filem atau drama ada pengaruh, maka kita harus fikir cara kita mendidik masyarakat melaluinya. Macam dalam hal La Luna, kita tahu kes penderaan dalam rumah tangga kian meningkat. Melalui filem, kita nak sebarkan pesanan agar masyarakat hidup dengan lebih harmoni lagi.
“Sebagai pelakon, setiap hari saya terima pesanan daripada orang yang tidak dikenali. Mereka tengok drama dan mereka dapat rasa apa yang watak saya rasakan. Isu sosial sampai ke hati mereka sebab itulah realiti yang anak seni cuba sampaikan,” ujar Nadiya.
Seperti pelakon utama La Luna, Sharifah Amani, Nadiya juga pentingkan nawaitu atau niat dalam melakukan sesuatu babak lakonan.
“Saya suka pengarah yang datang ke set dengan segalanya sudah siap serta tahu apa yang beliau sebenarnya nakkan daripada pelakon dan urutan jalan cerita filem atau drama. Saya lihat Raihan macam tu. Beliau tahu apa yang dirinya mahu.
“Lakonan bagi saya sangat kaya unsur spiritualnya. Saya biasanya akan doa tatkala mengalami sesuatu dalam kehidupan agar saya boleh masukkan perasaan yang dirasakan dalam mana-mana projek filem. Saya doa bagi mendapatkan watak yang sesuai dan memberi makna bagi saya dalam kehidupan nyata.
“Pada suatu masa, saya sedang mencari cara membangun dan memekarkan alam rumah tangga saya. Setiap masa kita belajar tentang pasangan kita. Perkara baru tak pernah berkurangan. Tapi setiap kali ada masalah, takkan asyik nak tanya orang lain cara huraian. Jadi kita perlu tanganinya sendiri.
“Kebetulan, selepas saya berdoa, satu projek datang kena dengan masa. Ia memudahkan saya memahami dan menghadam serta menghurai masalah saya. Saya banyak belajar. Dalam membawakan watak Yam ini pun, saya sempat selitkan diri saya dalam karakter ini,” katanya.
Selaku Yam, Nadiya senang apabila tidak perlu berdandan di set dan setakat menggunakan bedak asas. Menurutnya, itu antara doanya agar diberi watak yang nampak biasa-biasa sahaja. Cabaran membawa watak Yam yang kebanyakan masanya berdiam adalah memastikan emosinya dapat dirakam daripada setiap pergerakan tubuh. Babak Yam dipukul yang tidak ditunjukkan kepada penonton juga mencabar dari segi tindak-tanduknya selepas peristiwa itu.
“Watak ini memang banyak lapisannya. Pada lapisan pertama, Yam masuk kedai Hanie sebab nak tahu juga apa yang membuatkan wanita lain teruja ke situ. Lapisan selanjutnya, Yam sebenarnya nakkan ruang selamat untuk dirinya, bebas daripada Pa’at. Dia nak kongsi dengan Hanie perkara sebenar. Dialog penuh impak adalah apabila Yam memberitahu Pa’at yang berang, ‘Tembak...tembaklah...’” ujar Nadiya.
Buat masa ini, Nadiya sedang berehat seketika daripada dunia lakonan dan kembali pada amanahnya sebagai ibu buat dua anaknya.
“Sebagai pelakon, saya lain. Selaku ibu dan sahabat pun saya lain. Saya suka kehidupan seperti ini. Kita buat sebaik mungkin dan kita serahkan pada Tuhan. Banyak kali cakap tak mahu berlakon lagi tetapi pada akhirnya, saya memang memerlukan kerjaya lakonan sebab menerusinyalah, saya lihat diri saya berkembang,” jelasnya.
Nadiya pernah memenangi Anugerah Pelakon Harapan Terbaik bagi Cun! dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik bagi Terbaik Dari Langit pada Festival Filem Malaysia (FFM).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg