Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nai Dinamik tersingkir selepas hilang fokus, lupa lirik

Dec 9, 2024 | 5:55 PM
Nai Dinamik akur rezekinya di dalam program ‘Gegar Vaganza 11’ (GV11) hanya sampai minggu ketiga sahaja selepas mengalami gangguan teknikal pada monitor telinganya sehingga hilang fokus dan lupa lirik.
Nai Dinamik akur rezekinya di dalam program ‘Gegar Vaganza 11’ (GV11) hanya sampai minggu ketiga sahaja selepas mengalami gangguan teknikal pada monitor telinganya sehingga hilang fokus dan lupa lirik. - Foto ASTRO

Apabila peserta Gegar Vaganza 11 (GV11), Nai Dinamik, terbiar diam membatu pada awal persembahan lagu XPDC, Apa Nak Dikata, sebilangan netizen di akaun X, mula tertanya-tanya, “Apakah dia terlupa lirik?”

Ketua Juri, Datuk Ramli MS, terpaksa berteriak dari tempat duduknya untuk memberi isyarat agar persembahan itu dihentikan bagi memberi Nai, atau nama sebenarnya, James Junai Juki, 58 tahun, peluang kedua bagi memulakan lagi persembahannya.

Bagaimanapun, Nai yang merupakan seorang mualaf kelahiran Sibu, Sarawak, masih kelihatan bingung dan tidak fokus sepanjang persembahan.

Pada akhir pertandingan minggu ketiga GV11, beliau merupakan peserta pertama yang tersingkir dengan markah paling rendah sebanyak 40.6 peratus.

Katanya yang menggunakan nama Islam, Mohd Nur Zainal Abdullah, dalam sidang media yang disiarkan di YouTube dari dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada dinihari 9 Disember:

“Saya tidak menyalahkan sesiapa. Mungkin rezeki saya sampai di sini sahaja.

“Sewaktu persembahan, saya tiba-tiba tidak dapat dengar bunyi petikan gitar daripada monitor telinga saya.

“Saya hilang fokus dan minda jadi kosong. Ada kesilapan teknikal.

“Saya hanya ingin meminta maaf kepada penyokong saya yang datang dari jauh. Mereka usahakan bikin kain rentang dan kemeja-T untuk sokong saya.

“Saya dah cuba sehabis baik tetapi begitulah rezeki.”

Pelantun lagu balada rok terkenal sekitar tahun 1990-an, Antara Gadis dan Biar Putih Tulang itu berkata beliau banyak meraih ramai teman baru dalam GV11 yang tidak lokek berkongsi ilmu seni dan persembahan.

“Dengan adanya peraduan ini, saya juga dapat beritahu orang ramai bahawa saya masih aktif menyanyi,” katanya.

Ramli pula simpati dengan apa yang berlaku kepada Nai dan menganggap tidak adil kalau beliau tidak diberi peluang kedua menyanyi lagi selepas kesilapan teknikal itu.

“Saya ucapkan terima kasih kepada penonton sebab mereka beri galakan buat Nai terus menyanyi.

“Saya tahu lagu ini susah. Saya cerita sejarahnya. Semasa arwah Mael XPDC merakam lagu ini di studio pun, dia tercungap-cungap,” jelas Ramli.

Juri tetap, Datuk Syafinaz Selamat, pula berpesan kepada peserta agar tidak lupa lirik yang dilantunkan agar mampu berdiri penuh keyakinan di pentas.

“Saya rasa masalah utama bagi penyanyi khususnya yang sudah berusia matang ialah menghafal lirik.

“Memang penyanyi susah nak fokus kalau tak ingat lirik.

“Saya sarankan agar hafal dahulu sebelum menghadam melodinya,” ujar Syafinaz.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg