Terkenal dengan keindahan landskapnya yang luar biasa – dari pantai berpasir putih, gunung dilitupi salji, tasik biru jernih, hingga ladang hijau yang luas – New Zealand tentu sekali menjadi destinasi idaman ramai pengunjung mahupun pencinta alam.
New Zealand, atau dalam bahasa Maori disebut Aotearoa (yang membawa maksud tanah awan putih panjang), adalah sebuah negara kepulauan yang terletak di Lautan Pasifik Selatan, bahagian barat daya Polynesia.
Negara kiwi tersebut terdiri dari dua pulau utama iaitu Pulau Utara (North Island) dan Pulau Selatan (South Island).
Dengan landskapnya yang menakjubkan, filem terkenal seperti The Lord of the Rings dan The Hobbit pernah menjalani penggambaran di sana.
Kedua-dua North Island dan South Island membawa pengalaman berbeza bagi pengunjung, dengan South Island lebih besar dari segi saiz dan menawarkan lebih banyak keindahan alam, termasuk gunung-ganang yang menghiasi landskapnya.
Berikut beberapa kegiatan, penginapan, dan tempat makan mesra Muslim bagi anda yang merancang untuk ke sana.
Luncur guna ‘zipline’ sambil nikmati keajaiban alam
Terletak dalam hutan yang tidak tercemar, pengembaraan ini bukan sahaja tentang keseronokan, malah mengenai pemuliharaan dan pendidikan.
Dengan memastikan ia beroperasi tanpa terlalu menjejas alam sekitar serta mengambil bahagian dalam usaha penghutanan semula, Ziptrek Ecotours, membolehkan anda menghayati alam semula jadi tinggi di atas semasa meluncur menggunakan ‘zipline’ merentasi Tasik Wakatipu.
Tedapat pelbagai ‘zipline’ yang bersesuaian dengan tahap keselesaan berbeza, menjadikan ia kegiatan lasak yang bukan sahaja boleh disertai keluarga bahkan pencinta pecutan adrenalina.
Lokasi: Ziptrek Ecotours, Queenstown
Temui burung kebangsaan NZ, burung kiwi
Willowbank Wildlife Reserve merupakan salah satu taman kehidupan liar di New Zealand yang memberi paling banyak peluang mendekati haiwan di sana.
Ia membolehkan pengunjung mengintai kehidupan spesies asli unik negara itu dari jarak dekat.
Taman itu menempatkan rumah burung kiwi nokturnal tanpa kaca yang pertama di negara tersebut.
Dengan kandang semula jadi dan paparan interaktif, ia menyediakan pengalaman menyeronokkan dan penuh pendidikan buat keluarga, sesuai untuk kanak-kanak belajar tentang kehidupan liar New Zealand secara amali dan menarik.
Lokasi: Willowbank Wildlife Reserve, Christchurch
Saksi burung penguin terkedek-kedek
Langkah masuk dunia Pohatu Penguins, yang menawarkan pengalaman pemuliharaan kendalian keluarga yang membawa anda bersemuka dengan Korora (penguin kecil) yang mempesonakan.
Pasang tali pinggang sebelum memulakan pengembaraan safari mendebarkan menggunakan kenderaan pacuan empat roda melalui kawasan pemuliharaan Wildside, dan setiap selekoh membuka tirai kepada kehidupan liar asli, landskap menakjubkan, dan nadi tugas pemuliharaan yang sebenar-benarnya.
Lokasi: Pohatu Penguins, Akaroa
Erik’s Fish and Chips
Anda boleh menjamu selera di dalam kedai atau bungkus ikan dan kentang goreng atau ‘fish and chips’ anda untuk menikmatinya di tepi tasik indah di Queenstown.
Bahan makanan tersebut didapati daripada sumber tempatan menggunakan kentang yang tumbuh di Canterbury dan ikan dari Dunedin.
Jika ingin cuba sesuatu yang baru, anda boleh pesan buah kiwi goreng yang terkenal di dunia!
Status halal: Mempunyai sijil halal
Lokasi: Queenstown
Arjee Bhajee
Jika tekak teringin sajian India, Arjee Bhajee, menawarkan makanan yang bukan sahaja enak, malah sihat.
Restoran itu menggunakan ayam halal dan menawarkan pilihan tanpa tenusu bagi kari mereka, menjadikan makanannya rasa ‘ringan’ di lidah.
Ia juga tidak menggunakan pewarna tiruan, pengawet, atau gluten dalam karinya.
Status halal: Mempunyai sijil halal
Lokasi: Christchurch
High Country Salmon
Jika anda ingin ‘melencong’ sewaktu memandu antara Christchurch dengan Queenstown, High Country Salmon wajib menjadi persinggahan bagi penggemar makanan laut.
Ladang milik keluarga ini menyediakan antara salmon Chinook (King) yang paling segar di negara tersebut.
Di Logan’s Floating Cafe, anda boleh menjamu sashimi dan susyi gulung yang dibuat segar, selain hidangan salmon yang lain.
Selain memuaskan tekak, High Country Salmon, menjemput anda memberi makan kepada ikan, melawat ladang, ataupun menangkap salmon sendiri.
Status halal: Walaupun restoran tidak mempunyai sijil halal, semua hidangan sama ada berasaskan vegetarian atau makanan laut
Lokasi: Mackenzie
Driftaway Queenstown
Terletak di pinggir Tasik Wakatipu, tetamu boleh menghayati pemandangan menakjubkan pergunungan Remarkables, sambil menikmati keselesaan penginapan moden dan mesra keluarga.
Lokasi: Queenstown
Wanaka TOP 10 Holiday Park
Penginapan ini menawarkan pelbagai pilhan sesuai bergantung bajet dan keperluan berbeza-beza.
Terletak dalam sebuah taman, ia menawarkan unit motel satu hingga tiga bilik, dan kebanyakannya dilengkapi dapur.
Lokasi: Wanaka
Hotel The Hermitage
Terletak di tengah-tengah Taman Nasional Mount Cook/Aoraki, The Hermitage, merupakan penginapan impian buat keluarga yang mendambakan pengalaman pergunungan.
Dengan bilik luas dan akses mudah kepada laluan hiking, kunjungan glasier dan kegiatan memerhati bintang, ia menggabungkan keselesaan dan keindahan alam semula jadi.
Lokasi: Mount Cook
Kerjasama dengan Tourism New Zealand
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg