Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nak buat apa di Vienna selama 5 hari?

Pengalaman teroka ibu kota Austria boleh dijadikan panduan
Jul 6, 2025 | 5:30 AM
Penulis, Cik Kaiyishah Ayuni, berkunjung ke Istana Belvedere, menikmati seni barok.
Penulis, Cik Kaiyishah Ayuni, berkunjung ke Istana Belvedere, menikmati seni barok. - Foto-foto BM oleh KAIYISHAH AYUNI

Sejujurnya, harapan saya terhadap Vienna tidaklah setinggi mana.

Manakan tidak, setiap kali orang Singapura sebut tentang Eropah, yang sering menjadi perbualan ialah London, Paris, Jerman atau Switzerland.

Vienna atau Austria?

Tidak pernah terlintas pun dalam fikiran saya.

Namun, pengalaman saya meneroka Vienna baru-baru ini selama lima hari serta-merta mengubah pandangan saya terhadap negara Austria.

Vienna ternyata jauh lebih indah daripada apa yang disangka.

Perjalanan saya menaiki pesawat juga menjadi lebih mudah dengan penerbangan langsung dari Singapura menerusi Scoot.

Hari Pertama: Mengenali Vienna di ‘District-9’

Penulis, Cik Kaiyishah Ayuni, berkunjung ke Gereja Servite, Daerah ke-9 di Vienna.
Penulis, Cik Kaiyishah Ayuni, berkunjung ke Gereja Servite, Daerah ke-9 di Vienna. - Foto BM oleh KAIYISHAH AYUNI

Perjalanan saya bermula dengan lawatan berpandu meninjau kawasan Servitenviertel yang terletak di daerah ke-9 Vienna.

Vienna terbahagi kepada 23 daerah, dengan setiap satu memiliki personaliti serta daya tarikan tersendiri.

Daerah ke-9 terkenal dengan pengaruh intelektualnya kerana ia pernah menjadi tempat tinggal tokoh seperti pakar saraf yang juga pengasas psikoanalisis, Sigmund Freud; dan pemuzik kelahiran Jerman, Ludwig van Beethoven.

Sepanjang lawatan, saya singgah ke Gereja Servite, tangga ikonik Strudelhofstiege, Muzium Sigmund Freud, serta Istana Liechtenstein, yang mudah untuk dikunjung dengan berjalan kaki sahaja.

Istana Liechtenstein, Daerah ke-9 di Vienna.
Istana Liechtenstein, Daerah ke-9 di Vienna. - Foto BM oleh KAIYISHAH AYUNI

Walaupun di tengah bandar, suasananya senyap dan santai.

Ini pertama kali saya rasa ketenangan dalam sebuah bandar.

Malah laluan berjalan semuanya bersih dan terjaga, tidak ramai orang, dan jiwa saya rasa lapang.

Keadaan yang saya lihat bukan sekadar ciri kawasan itu, malah memang sudah menjadi gaya hidup warga Vienna.

Daerah itu sesuai untuk menikmati Vienna daripada perspektif penduduk tempatan, dan bagi mengelak lokasi pelancongan yang sesak.

Sesuai terutamanya buat peminat sejarah, penggemar kafe atau yang ingin memetik gambar estetik.

Kawasan Servitenviertel yang sepi, Daerah ke-9 di Vienna.
Kawasan Servitenviertel yang sepi, Daerah ke-9 di Vienna. - Foto BM oleh KAIYISHAH AYUNI

Hari Kedua: Muzium Wien, Istana Hofburg & Monumen Mozart

Untuk memahami Vienna, kita harus faham sejarahnya yang panjang.

Melambangkan sejarahnya yang kaya, Vienna menempatkan ratusan muzium.

Penulis, Cik Kaiyishah Ayuni, di Muzium Wien, berlatarbelakangkan Gereja St. Charles.
Penulis, Cik Kaiyishah Ayuni, di Muzium Wien, berlatarbelakangkan Gereja St. Charles. - Foto BM oleh KAIYISHAH AYUNI

Namun, Muzium Wien merupakan permulaan yang baik pada pandangan saya.

Muzium ini menyusun sejarah Vienna secara kronologi dan mudah diikuti.

Paling penting, ia percuma! 

Baju zirah di Muzium Wien.
Baju zirah di Muzium Wien. - Foto BM oleh KAIYISHAH AYUNI

Apa yang menarik perhatian saya ialah pengaruh Timur Tengah dan Islam dalam sejarah Vienna, yang jarang diketengahkan.

Contohnya, kopi dibawa oleh delegasi diplomatik Uthmaniyah pada 1683.

Terdapat banyak elemen ‘Middle Ages’ juga yang saya tidak pernah lihat sebelum ini seperti baju zirah, arca diraja, dan seni klasik.

Semuanya membantu merungkaikan kisah Vienna secara menyeluruh.

Apabila kita sebut ‘royal family’ kita sering dengar tentang keluarga diraja British, tetapi Austria mempunyai keluarga diraja mereka sendiri iaitu Dinasti Habsburg, yang pernah memerintah sebahagian besar Eropah termasuk Empayar Rom Suci atau ‘Holy Roman Empire’.

Warisan mereka jelas di serata kota Vienna, namun paling terasa di Istana Hofburg.

Berkunjung ke Istana Hofburg.
Berkunjung ke Istana Hofburg. - Foto BM oleh KAIYISHAH AYUNI

Istana ini memang luar biasa.

Besar, gah, dan membuatkan saya terasa bak dalam zaman purba.

Megah berdiri di taman berdekatan ialah Monumen Mozart, menambahkan lagi aura klasik yang membuatkan saya benar-benar rasa, “saya kini berada di Vienna.”

Pilihan Makanan & Pilihan Mesra Muslim

Satu perkara yang saya sangat hargai ialah Vienna sebenarnya mesra Muslim. Terdapat banyak pilihan bagi golongan vegetarian.

Malah kawasan seperti Nestroyplatz mempunyai lebih banyak pilihan halal. Masjid Al Hidaya Wien juga terletak dalam kawasan ini.

Masjid Al Hidaya Wien di Vienna.
Masjid Al Hidaya Wien di Vienna. - Foto BM oleh KAIYISHAH AYUNI

Saya juga menemui restoran vegan seperti, Wrenkh Classics, yang menyediakan schnitzel versi berasaskan tumbuh-tumbuhan.

Hidangan, schnitzel, versi berasaskan tumbuh-tumbuhan berbanding kepingan daging yang biasa.
Hidangan, schnitzel, versi berasaskan tumbuh-tumbuhan berbanding kepingan daging yang biasa. - Foto BM oleh KAIYISHAH AYUNI

Tidak pernah sekali pun saya terasa ‘sayangnya tak dapat cuba makanan tempatan’, kerana tetap banyak pilihan yang membolehkan saya rasa sajian khas Austria.

Hari Ketiga: Istana Belvedere & Perpustakaan Negara Austria

Jika saya perlu memilih satu hari yang paling indah sepanjang percutian ini, jawapannya ialah Istana Belvedere.

Penulis, Cik Kaiyishah Ayuni, berkunjung ke Istana Belvedere, menikmati seni barok.
Penulis, Cik Kaiyishah Ayuni, berkunjung ke Istana Belvedere, menikmati seni barok. - Foto BM oleh KAIYISHAH AYUNI

Sukar percaya bahawa istana ini siap dibina pada 1723 kerana kemegahannya masih terserlah hingga ke hari ini.

Direka oleh arkitek, Johann Lukas von Hildebrandt, sebagai tempat percutian musim panas untuk Putera Eugene of Savoy, istana ini membawa saya kembali ke abad ke-16. 

Apabila saya melangkah masuk istana, saya terus disambut seni barok dan hiasan dalaman yang indah – memang banyak peluang untuk bergambar.

Sebagai seorang yang sudah terbiasa melihat bangunan moden, saya benar-benar terpegun.

Antara karya seni yang paling ikonik dipamerkan ialah ‘The Kiss’ oleh Gustav Klimt.

Selain Klimt, saya juga kagum apabila mendapat tahu ramai artis berpengaruh berasal dari Austria seperti Carl Moll, Ferdinand Georg Waldmüller, dan Hans Makart.

Mereka bukan sekadar pelukis bahkan memainkan peranan membentuk sejarah seni, sastera dan budaya Vienna.

Bahagian luar dihiasi taman juga penuh dengan tanaman yang dipotong rapi.

Pancutan air dan arca mitologi menambahkan keindahan keseluruhan kompleks ini.

Taman Istana Belvedere, Vienna.
Taman Istana Belvedere, Vienna. - Foto BM oleh KAIYISHAH AYUNI

Anda boleh menghabiskan sehari suntuk meneroka Upper Belvedere ke Lower Belvedere serta taman-tamannya tanpa rasa penat.

Satu lagi lokasi yang patut diberi perhatian ialah Perpustakaan Nasional Austria – perpustakaan paling indah yang pernah saya jejaki.

Sebanyak 200,000 karya dari tahun 1501 hingga 1850 boleh ditemui di Perpustakaan Nasional Austria.
Sebanyak 200,000 karya dari tahun 1501 hingga 1850 boleh ditemui di Perpustakaan Nasional Austria. - Foto BM oleh KAIYISHAH AYUNI

Sebaik sahaja melangkah masuk, fresco di siling tengah mencuri perhatian saya sehingga diri ini tergamam.

Lebih 200,000 karya dari tahun 1501 hingga 1850 dipamerkan di sini – ruang ini terasa seolah-olah menyimpan rahsia berabad lamanya.

Saya ambil masa untuk duduk dan menghayati kecantikannya.

Istana Belvedere dan perpustakaan ini memberi saya pengalaman terbaik untuk mengenali Vienna melalui seni, sejarah dan budaya Eropah.

Hari Keempat: Daki ke Ladang Anggur & Naik Sistem Pengangkutan Awam

Sebagai seseorang yang datang dari kota sibuk seperti Singapura, saya tidak sangka di Vienna, anda boleh menikmati keindahan istana bersejarah dan ketenangan alam semula jadi – tanpa perlu menyimpang jauh dari bandar.

Pemandangan dari ladang anggur Wieninger am Nussberg.
Pemandangan dari ladang anggur Wieninger am Nussberg. - Foto BM oleh KAIYISHAH AYUNI

Selepas tiga hari, saya ke ladang anggur, Wieninger am Nussberg, yang terletak hanya 20 minit dari pusat bandar jika menggunakan pengangkutan awam – yang sangat mudah dan cekap di Vienna.

Ia beroperasi atas dasar kejujuran: tiada gantri atau imbasan kad.

Anda hanya perlu membeli pas dalam talian dan terus naik tram atau kereta api seperti biasa. 

Yang buat pengalaman ke ladang anggur ini unik adalah anda boleh mendaki sambil menikmati pemandangan bandar dari atas bukit.

Pendakiannya mudah dan santai dan pemandangannya luar biasa. 

Tempat ini bukan destinasi yang dipenuhi pelancong dan anda dapat lihat penduduk tempatan datang berkelah, berbaring atas rumput, menikmati minuman dan makanan ringan sambil berbual.

Suasananya benar-benar aman dan tenang.

Jika anda berada di Vienna dan mahukan pengalaman yang berbeza sikit, datanglah ke sini sebab ia membuat anda melihat bandar ini daripada perspektif baru.

Beberapa lagi kegiatan yang boleh dipertimbang dalam jadual perjalanan anda:

Katedral St Stephen: Gereja Katolik bergaya Gothic yang ikonik adalah monumen yang wajib dikunjungi.

Konsert Muzik Klasik: Saksikan sekurang-kurangnya satu persembahan muzik klasik. Pengalaman rasa tidak lengkap tanpanya.

Saya tiba di Vienna tanpa sebarang harapan malah tidak terfikir bahawa perjalanan ini akan memberi kesan yang begitu mendalam.

Saya sendiri tidak menyangka akan berkata begini.

Tetapi saya akui Vienna mungkin bandar Eropah impian bagi orang Singapura seperti saya – penuh dengan sejarah, keindahan, selamat dan bersih, dan yang paling penting, memberi ruang untuk benar-benar bersantai atau ikut istilah terkini, ‘healing’.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg