Pelancong yang merancang ke Vienna di Austria dan Bandar Iloilo di Filipina akan mempunyai pilihan penerbangan langsung setelah syarikat penerbangan tambang rendah, Scoot, mengumumkan baru-baru ini tentang pelancaran perkhidmatan tersebut.
Penerbangan ke Vienna akan bermula pada 3 Jun sementara penerbangan ke Bandar Iloilo bermula pada 14 April.
Penerbangan antara Singapura dengan Vienna akan dilakukan tiga kali seminggu pada Selasa, Khamis dan Sabtu, menampung 329 orang.
Penerbangan ke Vienna memakan masa 13 jam 10 minit, iaitu waktu penerbangan terpanjang bagi perkhidmatan Scoot.
Penerbangan antara Singapura dengan Bandar Iloilo pula akan dibuat dua kali seminggu pada Isnin dan Rabu; dan akan ditambah pada Jumaat dan Ahad mulai Jun.
Pesawat yang beroperasi bagi laluan itu boleh memuatkan seramai 112 penumpang.
Vienna sering digelar ‘Bandar Muzik’ kerana merupakan tempat kelahiran ahli muzik klasikal seperti Mozart dan Strauss.
Lokasinya di tengah-tengah juga menjadikan ia titik permulaan yang sesuai untuk pelancong meneroka bandar-bandar di bahagian Timur Eropah.
Bandar Iloilo pula, yang terletak di tengah-tengah kepulauan Filipina, terkenal dengan tapak bersejarah yang dipelihara dengan baik sejak zaman Sepanyol.
Tempahan bagi tiket penerbangan ke Vienna dan Bandar Iloilo sudah boleh dibuat menerusi laman web dan aplikasi Scoot.
Tambang bagi kelas ekonomi sehala ke Vienna bermula dari $309 dan tambang ke Ilolio ialah $129.
Tambang sehala bagi ScootPlus ke Vienna bermula dari $659, termasuk cukai.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Scoot, Encik Leslie Thng, berkata:
“Sebagai satu-satunya syarikat penerbangan yang menawarkan penerbangan langsung antara Singapura dengan Vienna, kami amat teruja untuk memperkenalkan perkhidmatan baru ini mulai Jun, tepat pada masa cuti sekolah.
Dalam kenyataannya, Scoot juga mengumumkan penggantungan operasi ke Berlin di Jerman dan Jinan di China setelah penerbangan terakhirnya pada 28 Mac dan 28 Februari.
Menurut Scoot, langkah tersebut adalah untuk memadankan kapasiti berdasarkan permintaan dengan lebih baik serta mengoptimumkan penggunaan pesawat.
Secara bertahap, Scoot akan menghubungi pelanggan terjejas yang mempunyai tempahan sedia ada dan dibuat secara langsung dengan penerbangan itu, bagi menyediakan bantuan yang diperlukan, sama ada dalam membuat tempahan baru atau mendapatkan wang kembali.
Bagi tempahan yang dibuat menerusi ejen pelancongan atau rakan syarikat penerbangan, pelanggan dinasihati menghubungi mereka untuk bantuan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg