Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nak tinggal mana kalau ke Perth?

Jul 23, 2023 | 5:30 AM
PILIHAN PELANCONG: Perth bandar moden dengan keindahan semula jadi antara destinasi percutian bagi penduduk Singapura.
PILIHAN PELANCONG: Perth bandar moden dengan keindahan semula jadi antara destinasi percutian bagi penduduk Singapura. - Foto BUSINESS EVENTS AUSTRALIA

Australia, dengan cuaca empat musim, merupakan antara pilihan utama rakyat Singapura untuk bercuti, melarikan diri daripada cuaca panas dan hujan sepanjang tahun.

Pada 2022 sahaja, 103,855 rakyat Singapura melancong ke Australia.

Perth, di wilayah Australia Barat, misalnya terkenal dengan galeri seni, kawasan kejiranan bersejarah dan acara menarik sambil menawarkan pengalaman hidupan liar yang unik.

Kaki Jalan minggu ini berkongsi beberapa tempat penginapan yang sesuai untuk pengembara solo dan keluarga.

Penulis berkesempatan berkunjung ke Australia dalam satu lawatan media untuk menginap di beberapa tempat berikut.

Quest Fremantle

DAERAH MARITIM: Quest Fremantle  berhampiran dengan pelbagai restoran dan bangunan ikonik di Fremantle.
DAERAH MARITIM: Quest Fremantle berhampiran dengan pelbagai restoran dan bangunan ikonik di Fremantle. - Foto QUEST FREMANTLE

Fremantle ialah destinasi tepi laut yang dikenali dengan pelabuhan utama bagi Australia Barat. Bandar maritim itu penuh bertenaga, warna dan budaya lantas harus dikunjungi semasa anda ke Perth.

Quest Fremantle menawarkan rumah tamu moden dan pangsapuri pilihan satu dan dua bilik tidur, dilengkapi dengan dapur serba lengkap, ruang tamu yang luas dan akses Internet percuma.

Quest Fremantle berada dalam jarak berjalan kaki ke banyak restoran tempatan, kafe, galeri seni, kedai runcit dan bangunan warisan.

Ia juga terletak berdekatan dengan stesen Kereta Api Fremantle, Pelabuhan Fremantle, Pusat Seni Fremantle. Fremantle juga mempunyai akses mudah ke destinasi popular di Pulau Rottnest, Pulau Garden dan Pulau Carnec.

Harga pangsapuri Quest Fremantle bermula daripada $234.

Alamat: 8 Pakenham Street (corner Short Street), Fremantle

Aqua Resort Busselton

SESUAI BUAT KELUARGA: Aqua Resort Busselton menampilkan percutian rumah pantai Australia berdekatan laut Geographe Bay.
SESUAI BUAT KELUARGA: Aqua Resort Busselton menampilkan percutian rumah pantai Australia berdekatan laut Geographe Bay. - Foto AQUA RESORT BUSSELTON

Busselton terkenal dengan pantai berpasir putih sepanjang 30 kilometer. Geographe Bay ialah taman permainan akuatik luar biasa dengan perairan yang tenang untuk memancing, ski air, selam permukaan, selam skuba dan luncur angin. Busselton juga terkenal dengan Jeti Busselton.

The Aqua Resort Busselton yang mewah merupakan tempat penginapan tepi pantai yang sesuai bagi keluarga. Ia terletak di dalam lapan setengah ekar hutan pudina matang dan taman-taman yang menakjubkan.

Menawarkan semangat asli percutian rumah pantai Australia, resort ini menyediakan privasi dan kehidupan dalaman dan luaran kontemporari yang baik.

Aqua Resort menawarkan pilihan satu hingga lima bilik tidur, kebanyakannya mempunyai kolam renang peribadi.

Harga rumah pantai bermula daripada $1,300, sesuai untuk lapan tamu.

Alamat: 650 Bussell Highway, Busselton WA 6280

Quest East Perth

SESUAI BAGI PENGEMBARA SOLO: Bilik hotel Quest Earth Perth di Perth CBD, selesa buat penginapan jangka pendek atau jangka panjang.
SESUAI BAGI PENGEMBARA SOLO: Bilik hotel Quest Earth Perth di Perth CBD, selesa buat penginapan jangka pendek atau jangka panjang. - Foto QUEST EAST PERTH

Bagi mereka yang menginap di kawasan pusat bandar Perth, atau CBD, Quest East Perth menawarkan bilik hotel gaya pangsapuri yang santai dan selesa untuk penginapan jangka pendek atau jangka panjang. Setiap pangsapuri studio mempunyai dapur kecil.

Pangsapuri satu dan dua bilik tidur dengan harga dari $349 ke atas sesuai untuk keluarga, pengembara solo dan kumpulan lebih besar.

Alamat: 176 Adelaide Terrace, East Perth

Kunjungan penulis ditaja badan penggalak pelancongan Tourism Western Australia

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg