Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nama tauke ‘kunafa’, pempengaruh Ojenn Aiwahhh, kian hangat

Usahawan percaya pada rezeki, ingin bawa perniagaan tembusi pasaran luar negara
Sep 1, 2024 | 5:30 AM
Pempengaruh dan usahawan Malaysia, Ojenn Aiwahhh, mendapat inspirasi menjual pencuci mulut ‘kunafa’ selepas jatuh cinta dengan hidangan itu sewaktu menuntut di Mesir.
Pempengaruh dan usahawan Malaysia, Ojenn Aiwahhh, mendapat inspirasi menjual pencuci mulut ‘kunafa’ selepas jatuh cinta dengan hidangan itu sewaktu menuntut di Mesir. - Foto INSTAGRAM OJENN AIWAHHH

Nama pempengaruh media sosial dan usahawan, Ojenn Aiwahhh, mendapat perhatian baru-baru ini selepas membuka reruai menjual pencuci mulut kunafa semasa acara, Absolut Food Fest, buat kali pertama di Singapura pada 16 hingga 18 Ogos.

Ojenn atau nama sebenarnya, Mohd Ruzain Ahza Mohd Rosli, 28 tahun, adalah pemilik jenama Kunafa Aiwahhh yang menjadi tular di media sosial sehingga terdapat deretan pelanggan beratur panjang untuk membeli kunafa setiap kali beliau membuka reruai di serata Malaysia dan juga di Singapura. 

Jenama itu mengetengahkan konsep, Jelajah Kunafa Aiwahhh. Beliau membuka reruai di setiap negeri di Malaysia semasa ada pesta makanan supaya dapat menembusi permintaan pelanggan di seluruh Malaysia kerana belum memiliki kedai tetap.

Meskipun ‘Kunafa Aiwahhh’ yang dijual semasa acara ‘Absolut Food Fest’ di Singapura berharga sekitar $25 atau $35 setiap satu, ramai pelanggan sanggup beratur panjang sehingga ada yang sampai 10 jam, di tempat meletak kereta terbuka di Kallang, berhampiran Stadium Negara, semata-mata untuk mendapatkan ‘kunafa’ yang viral itu.
Meskipun ‘Kunafa Aiwahhh’ yang dijual semasa acara ‘Absolut Food Fest’ di Singapura berharga sekitar $25 atau $35 setiap satu, ramai pelanggan sanggup beratur panjang sehingga ada yang sampai 10 jam, di tempat meletak kereta terbuka di Kallang, berhampiran Stadium Negara, semata-mata untuk mendapatkan ‘kunafa’ yang viral itu. - Foto NURUL IFFAH HAMAD

Ditanya bagaimana beliau mendapat inspirasi untuk menjual kunafa, Ojenn berkongsi dengan Berita Minggu (BM) dalam satu temu bual di acara Absolut Food Fest bahawa beliau mula meminati pencuci mulut itu semasa menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir, dalam jurusan Bahasa dan Sastera Arab.

“Semasa mengikuti kursus ijazah di Mesir, saya mula meminati kunafa. Setiap hari selepas kelas, saya akan cuba mencari pelbagai kunafa yang terdapat di sana.

“Selepas pulang ke Malaysia dan nama Ojenn Aiwahhh sudah semakin dikenali di media sosial, saya mendapat idea untuk membuka perniagaan kunafa kerana ingin berkongsi dengan peminat,” kata beliau yang mengambil keputusan untuk tidak menamatkan pengajiannya. 

Sebelum membuka perniagaan, Ojenn mula memuat naik video di TikTok, mengulas pelbagai produk secara aktif sejak 2021. 

Beliau turut membuat video parodi, lip-sync (gerakan bibir), dan nyanyian yang mendapat banyak tontonan.

Personalitinya yang ceria dan candi menambat hati warga siber dan beliau kini mempunyai 1.5 juta pengikut di TikTok. 

Antara langkah yang beliau ambil sebelum memulakan perniagaannya adalah untuk memperbaiki resipinya hampir setahun dan mencari bahan-bahan yang sesuai bagi menghasilkan kunafa dengan tekstur yang diinginkan. 

“Selain mencari peralatan yang sesuai, saya juga harus membawa masuk doh pastri kataifi yang digunakan bagi menghasilkan kunafa dari luar negara. 

“Saya turut membuat ulasan tentang pelbagai kunafa yang terdapat di Malaysia secara percuma sebelum memulakan perniagaan saya,” kongsi Ojenn yang memulakan perniagaannya itu pada 2022. 

Ditanya siapakah tulang belakang di sebalik kejayaannya, Ojenn berkata selain ibunya yang sentiasa mendoakannya, beliau bersyukur mendapat sokongan daripada 31 kakitangannya yang mengikutinya ke setiap reruai yang dibuka.

Mengulas tentang kehadirannya buat kali pertama di Singapura sempena Jelajah Kunafa Aiwahhh, Ojenn berkata beliau bersyukur diterima dengan baik peminat sajian itu di sini.

“Saya sangat bersyukur dengan peminat yang sentiasa menyokong kerjaya dan perniagaan saya. Pada mulanya saya sedikit gementar untuk memasuki pasaran di Singapura kerana takut tidak dapat sambutan. 

“Saya juga perlu keluarkan modal yang agak tinggi kerana perlu membawa peralatan ke Singapura.

“Namun, kehadiran mereka yang sanggup beratur sebelum saya buka kedai pada hari pertama membuat saya sangat bersyukur. Saya tidak sangka punyai ramai pengikut di Singapura,” tambah Ojenn. 

Ternyata mereka sanggup beratur panjang, ada yang sampai 10 jam, ada yang malah bermandi hujan, semasa acara Absolut Food Fest yang diadakan di tempat meletak kereta terbuka di Kallang, berhampiran Stadium Negara.

Semua itu dilakukan semata-mata untuk mendapatkan kunafa tersebut.

Terdapat pelbagai jenis kunafa yang ditawarkan termasuk versi asli dengan harga $15 setiap satu, Biscoff ($25), Nutella ($25), Oreo ($25), Red Velvet ($30), Dark Indulgence ($30) dan Lumut Cheese ($35).

Terdahulu, kehadiran jenama Kunafa Aiwahhh di Singapura menjadi tular di media sosial apabila Ojenn mengongsi video beliau bakal membuka tujuh reruai dan menempah penjana elektriknya sendiri kerana ingin menampung bilangan kunafa yang dihasilkan.

Ojenn juga telah membawa kontena ‘bilik sejuk’ bagi menyimpan bahan-bahannya.

Ditanya tentang adanya jenama lain yang turut menjual kunafa, Ojenn terbuka kepada adanya persaingan sihat kerana tidak dapat memenuhi permintaan semua pelanggan. 

“Saya tidak kisah kalau ada yang nak ambil inspirasi daripada kunafa yang saya jual seperti perisa Red Velvet dan Lumut Cheese (menggunakan kacang pistasio). Sememangnya saya tidak dapat memenuhi permintaan semua pelanggan di luar sana, lebih baik kita sebagai peniaga turut kongsi rezeki dengan peniaga lain.

“Cuma saya berharap pelanggan dan warganet tidak melaga-lagakan jenama kunafa berbeza kerana setiap jenama ada rasa yang tersendiri,” tambah beliau. 

Memandang ke hadapan, Ojenn berharap dapat membawa jenamanya itu ke pasaran yang lebih besar dengan kemungkinan untuk membuka reruai di Brunei dan Indonesia.

Pempengaruh dan usahawan Malaysia, Ojenn Aiwahhh, semasa penggambaran bagi muzik video lagu, ‘Hubb’, yang dinyanyikannya.
Pempengaruh dan usahawan Malaysia, Ojenn Aiwahhh, semasa penggambaran bagi muzik video lagu, ‘Hubb’, yang dinyanyikannya. - Foto INSTAGRAM OJENN AIWAHHH

Selain bidang perniagaan, Ojenn juga telah menceburi bidang nyanyian dengan mengeluarkan lagu rancak berunsur Arab, Hubb, yang bermaksud ‘cinta’ dalam bahasa Arab pada 17 Julai.

Video lagu itu telah mendapat lebih 662,000 tontonan di YouTube.

Ojenn turut menulis bagi lirik bahasa Arab lagu tersebut manakala lirik bahasa Melayu ditulis oleh Achoi daripada kumpulan Floor88.

Walaupun menerima komen negatif daripada segelintir warga siber, Ojenn berkata beliau hanya ingin berkongsi bakat nyanyiannya dan bukan berniat untuk merosakkan industri seni.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg