Selepas tempoh yang agak panjang sehingga membuatkan mereka sendiri ternanti-nanti, kumpulan K-pop wanita, NewJeans, akhirnya mencipta sejarah muzik dengan album EP mereka, Get Up, berjaya ditempatkan di tangga pertama Carta Billboard 200.
Pencapaian ini bukan sahaja menandakan era baru bagi kumpulan Korea Selatan ini tetapi menempatkan mereka dalam liga eksklusif bintang K-pop yang menakluki kedudukan pertama dalam carta Amerika, lapor laman Lifestyle Asia.
Dengan album sulung Get Up ini berada dalam carta Billboard 200, NewJeans juga telah mencipta nama dalam dunia muzik antarabangsa sebagai kumpulan wanita Korea Selatan kedua yang mencapai tangga pertama sepertimana Blackpink yang mencatat kejayaan cemerlang tidak kurang setahun lalu.
Pencapaian band ini menjadi lebih menakjubkan memandangkan mereka baru muncul dalam industri, sesuatu yang payah dicapai artis lain di peringkat dunia khususnya di luar Amerika.
Kumpulan yang terdiri daripada Minji, Hanni, Danielle, Haerin dan Hyein ini diperkenalkan menerusi lagu Attention. Kerana prestasi cemerlang mereka, mereka bahkan diikat dengan kontrak jenama mewah. Beberapa anggota sudah pun muncul pada papan tanda ‘billboard’ dan iklan.
Meskipun tiada laporan yang memberikan penjelasan mengenai pendapatan khusus kumpulan ini, NewJeans mewakili banyak jenama di Korea Selatan dan di peringkat antarabangsa. Salah satu jenama ini adalah butik fesyen Musinsa, di mana kerapkali kelihatan NewJeans terlibat dalam kempennya.
Shinhan Bank, yang merupakan pusat kewangan terulung, juga menjadikan mereka duta jenama. Pinkfong, saluran YouTube yang menjana lagu tular Baby Shark juga mengambil kumpulan ini bagi lagu baru, Ninimo Song.
Selain itu, mereka juga muncul dalam iklan SK Telecom untuk iPhone 14. Senarainya tidak berkesudahan termasuk menjadi wajah bagi kempen MEGASTUDY, syarikat khidmat persiapan untuk pendidikan selepas tamat pengajian maktab yang terkenal.
Meskipun mereka baru, mereka juga menarik perhatian restoran makanan segera McDonald’s untuk sajian hidangan ‘NewJeans x McDonald’s’ tahun depan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg