Kopi gula aren semakin mendapat perhatian dalam landskap kopi Singapura.
Dengan kemanisan semula jadi daripada gula aren atau gula kabung, digabung dengan kopi Indonesia yang kaya, minuman itu menjadi kegemaran penggemar kopi.
Dahulu, pencinta kopi mencari biji kopi khusus dari Sumatera atau Jawa.
Namun kini, kopi Indonesia tampil dengan jenama baru yang membuka cawangan di Singapura.
Indonesia merupakan pengeluar kopi keempat terbesar dunia, dengan biji kopi yang ditanam di wilayah subur seperti Sumatera, Jawa dan Bali.
Ia menghasilkan kedua-dua biji kopi Arabica dan Robusta, dengan profil rasa unik, termasuk rasa asid (atau masam) buah-buahan dari tanah gunung berapi seperti Bali, serta kemanisan coklat dari Jawa.
Tidak seperti campuran biasa, secawan kopi jenis Aceh Gayo memberi pengalaman rasa berbeza daripada jenis Toraja Sapan.
Aceh Gayo, yang ditanam di tanah tinggi Aceh, terkenal dengan rasa kopi sederhana serta nota coklat.
Sementara Toraja Sapan, dari kawasan pergunungan Sulawesi Selatan, mempunyai rasa lebih pekat (full-bodied coffee) dengan rasa rempah, rasa panggang dan manis.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Singapura menyaksikan kemunculan rangkaian kopi Indonesia, yang membawa identiti dan menu tersendiri, sekali gus menjadikan kopi Indonesia lebih mudah dinikmati.
Jika dahulu landskap minuman kopi di Singapura dikuasai kafe gaya Barat atau kopi kopitiam tradisional, kini, ia merangkumi pilihan kopi Indonesia yang menggabungkan harga mampu milik dengan cita rasa istimewa.
Daripada latte gula aren, kopi berasaskan oat hingga biji kopi berasal daripada sumber tunggal atau single origin, kini pelanggan mempunyai lebih banyak pilihan.
Mereka boleh memilih sama ada untuk menikmati kopi kegemaran atau mencuba pengalaman kopi baru.
Ditubuhkan di Jakarta dan memilih Singapura sebagai pengembangan ke peringkat antarabangsa pertamanya pada 2023, Fore Coffee mengetengahkan idea ‘Grind the Essential’ yang meraikan usaha harian dan seni penyediaan kopi.
Minuman paling popular, Gula Aren Latte, menggabungkan espreso dan gula aren dengan aroma panggang-kemanisan yang cepat memikat peminat di sini.
Fore juga terkenal dengan perisa uniknya, seperti Pandan Oat Latte yang memberi sentuhan tempatan, serta Butterscotch Sea Salt Latte dengan keseimbangan rasa manis dan masin.
Bagi penggemar kopi tulen, Fore menawarkan kopi berasal daripada satu sumber atau single origin seperti Bali Kintamani dengan rasa sitrus segar; Toraja Sapan beraroma coklat; dan Aceh Gayo yang rasanya halus.
Alamat: 200 Victoria Street, #01-14/14A, Singapura 188021
Waktu Operasi: Isnin hingga Jumaat, 7.30 pagi hingga 10 malam; Sabtu dan Ahad, 8.30 pagi hingga 10 malam
Di Indonesia, Kenangan Coffee atau lebih dikenali sebagai Kopi Kenangan merupakan jenama popular dengan lebih 850 cawangan di 45 bandar.
Perkembangan di Singapura juga pesat, dengan cawangan di Jewel Changi, VivoCity, Raffles City dan di pusat beli-belah kejiranan seperti Tampines Mall.
Jenama ini terkenal dengan Kenangan Latte, gabungan espreso dan Black Aren, sirap gula kabung semula jadi seakan berperisa buah, berkaramel dengan nota halus aroma panggang.
Rasanya lembut, wangi, mudah dinikmati dan menjadi hidangan khas jenama ini.
Selain itu, terdapat pilihan seperti Avocado Coffee yang berkrim dan popular di Indonesia, serta Iced Spanish Latte untuk mereka yang sukakan rasa lebih manis.
Jika anda bukan peminum kopi, pilihan teh buah seperti Yuzu Tea dan Passion Fruit Tea turut ditawarkan.
Alamat: 78 Airport Boulevard, #B2-255, Jewel, Lapangan Terbang Changi, Singapura 819666
Waktu Operasi: Isnin hingga Ahad, 9 pagi hingga 10 malam
Tanamera Coffee diasaskan pada 2013 dan memasuki pasaran Singapura pada 2020, menjadikannya antara rangkaian kopi Indonesia terawal di sini.
Mutu menjadi keutamaan Tanamera, daripada pemilihan biji kopi secara teliti sehingga proses panggang dan penyediaan.
Menunya direka untuk memenuhi cita rasa peminum kopi kasual mahupun penggemar kopi tegar.
Antara hidangan khas ialah Cold Brew Black, dengan rasa lembut dan menyegarkan dengan biji kopi diiktiraf, serta Ginger Cafe Latte dihidang hangat dengan sentuhan rempah Indonesia.
Bagi penggemar kopi, pilihan khas brew tangan single origin dari Sumatera atau Jawa menyerlahkan keistimewaan biji kopi tempatan.
Selain itu, terdapat juga pilihan teh, coklat panas dan Red Velvet Latte, menarik pelbagai lapisan pelanggan.
Alamat: 163 Tanglin Road, #02-130, Tanglin Mall, Singapura 247933
Waktu Operasi: Isnin hingga Ahad, 7.30 pagi hingga 8 malam
Jenama terbaru dari Indonesia, Tomoro Coffee, memasuki pasaran di Singapura pada Mac 2024.
Jenama ini berkembang pesat di Indonesia dengan ratusan cawangan, dan kini berhasrat membawa budaya kopi bermutu serta mampu milik ke pentas antarabangsa.
Tomoro menggunakan 100 peratus biji kopi Arabica yang dipanggang setiap hari.
Antara minuman popular ialah, Tomoro Aren Latte, yang mengekalkan kecintaan Indonesia terhadap kopi gula aren.
Untuk kelainan, Manuka Oat Latte, menambah rasa madu bunga pada asas oat berkrim, manakala Matcha Oat Latte, menggabungkan teh hijau tanah dengan susu alternatif.
Pilihan lain termasuk Oat Aren Frappe dan Strawberry Coconut Frappe.
Alamat: 10 Sinaran Drive, #01-49/50, Singapura 307506
Waktu Operasi: Isnin hingga Ahad, 7 pagi hingga 9 malam; Sabtu dan Ahad, 7.30 pagi hingga 9 malam


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg