Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nikmati keindahan alam dengan penuh selesa di Kuching, Sarawak

‘Ku-ching’ bermaksud ‘perigi lama’ dalam Mandarin, sumber air bagi penduduk tempatan
Oct 19, 2025 | 5:30 AM
Chinatown, carpenter street, harmony arch, sarawak
Pintu masuk ke daerah Chinatown ialah ‘Harmony Arch’ di Carpenter Street. - Foto BM oleh SHARLIN NASYIROH AZMI

Jika anda sedang mencari percutian ringkas yang membolehkan anda menikmati keindahan alam semula jadi tanpa mengorbankan keselesaan, izinkan saya berkongsi pengalaman saya ke Kuching, Sarawak!

Saya begitu teruja diberi peluang melawat Kuching dan membayangkan sebuah bandar yang penuh dengan kucing.

Namun, sepanjang lawatan saya, meskipun terdapat pelbagai patung kucing, saya hanya terlihat seekor kucing jalanan sahaja. 

Apabila saya bertemu dengan pemandu pelancong, beliau memberitahu saya bahawa sebenarnya, terdapat banyak kisah di sebalik nama “Kuching” itu, yang bukan sahaja berkaitan dengan kucing. 

Istilah ‘Ku-ching’ bermaksud ‘perigi lama’ dalam bahasa Mandarin dan menurut cerita setempat, terdapat deretan perigi di sepanjang Sungai Sarawak yang menjadi sumber air bagi penduduk tempatan.

Pengunjung boleh bersantai di tepi sungai yang indah, atau menaiki sampan atau perahu tambang untuk menyeberangi sungai.

Pemandangan Sungai Sarawak dari bilik hotel penulis di Hilton Kuching.
Pemandangan Sungai Sarawak dari bilik hotel penulis di Hilton Kuching. - Foto BM oleh SHARLIN NASYIROH AZMI
Perahu tambang ini ibarat teksi air yang digunakan oleh penduduk dan juga pelancong.
Perahu tambang ini ibarat teksi air yang digunakan oleh penduduk dan juga pelancong. - Foto BM oleh SHARLIN NASYIROH AZMI

Untuk menikmati panorama Sungai Kuching dari sudut lebih tinggi, pelawat boleh mengunjungi jambatan ikonik Darul Hana, sebuah jambatan berbentuk huruf ‘S’ yang merentasi Sungai Sarawak.

Jambatan Darul Hana yang berbentuk huruf ‘S’  merupakan salah satu tarikan yang terletak di Sungai Sarawak di Kuching.
Jambatan Darul Hana yang berbentuk huruf ‘S’ merupakan salah satu tarikan yang terletak di Sungai Sarawak di Kuching. - Foto BM oleh SHARLIN NASYIROH AZMI

Di sini, anda boleh berjalan sambil menyaksikan pemandangan sungai yang memukau.

Ia juga menjadi lokasi idaman untuk berkelah kerana dilengkapi pondok berbumbung yang dilindungi daripada hujan.

Sekitar Sungai Sarawak juga menempatkan banyak tarikan budaya.

Berdekatan kawasan sungai, khususnya sepanjang Jalan Main Bazaar, terdapat pelbagai kedai menjual kek lapis Sarawak serta pakaian tradisional.

Kek lapis Sarawak cukup terkenal dengan pelbagai perisa unik, antaranya coklat keju, keju red velvet dan tiramisu.

Antara pencuci mulut yang terdapat di Jalan Gambier.
Antara pencuci mulut yang terdapat di Jalan Gambier. - Foto BM oleh SHARLIN NASYIROH AZMI

Di kawasan sama, saya juga membeli cenderamata seperti alas cawan bercorak kucing, selain barangan kecil comel seperti magnet.

Di Jalan Carpenter pula, terdapat kedai kraftangan yang menjual hasil kerja tangan unik oleh tukang seni tempatan.

Kedai vintaj di Jalan Carpenter yang menjual barangan lama.
Kedai vintaj di Jalan Carpenter yang menjual barangan lama. - Foto BM oleh SHARLIN NASYIROH AZMI

Selepas penat membeli-belah, anda boleh menjamu selera di The Lamin, sebuah restoran yang menyajikan hidangan tradisional Kuching dengan suasana seakan makan di rumah.

Antara menu terbaik mereka ialah terung asam pedas menggunakan terung dayak (atau terung asam), hidangan resipi istimewa masyarakat pribumi Sarawak.

Bagi pencinta alam, destinasi wajib ialah Pusat Hidupan Liar Semenggoh, di mana anda berpeluang melihat dan memberi makan kepada orang utan liar yang hidup bebas.

Penulis semasa di Pusat Hidupan Liar Semenggoh di Kuching, di mana pengunjung berpeluang memberi makan kepada orang utan.
Penulis semasa di Pusat Hidupan Liar Semenggoh di Kuching, di mana pengunjung berpeluang memberi makan kepada orang utan. - Foto BM oleh SHARLIN NASYIROH AZMI

Pusat ini terletak kira-kira 24 kilometer dari Bandaraya Kuching dan boleh dikunjungi dalam masa sekitar 15 hingga 20 minit.

Oleh kerana tiada perkhidmatan bas langsung ke pusat itu, pengunjung disarankan menggunakan teksi atau khidmat e-panggilan atau ‘e-hailing’.

Jarak dari pintu masuk itu ke tempat memberi makan kepada orang utan sejauh kira-kira 1.6 kilometer.

Pengunjung boleh menaiki kereta ‘buggy’ elektrik selama lima minit dengan tiket yang boleh dibeli di pintu masuk, atau memilih untuk berjalan kaki yang mengambil masa sekitar 30 minit.

Terdapat juga laluan untuk memberi makan orang utan sepanjang kira-kira 200 meter.

Waktu lawatan adalah dari 8 hingga 10 pagi, serta dari 2 hingga 4 petang, setiap Isnin hingga Ahad.

Masa untuk memberi makan pula berlangsung dari 9 hingga 10 pagi, serta dari 3 hingga 4 petang.

Di sini juga terdapat kafe dan kedai cenderamata dan saya sendiri membeli beberapa kemeja-T bercetak orang utan sebagai buah tangan.

Selain tarikan seperti Pusat Hidupan Liar Semenggoh, Kuching juga menjadi tuan rumah kepada pelbagai acara dan festival sepanjang tahun, seperti Rainforest World Music Festival (RWMF) dan What About Kuching Festival.

Antara pengalaman paling menyeronokkan ialah penginapan saya di Hilton Kuching.

Setiap hari, saya disambut dengan pelbagai snek dan pencuci mulut termasuk coklat dan kek yang disediakan pihak hotel.

Bilik suite premium dengan pemandangan Sungai Sarawak di hotel Hilton Kuching.
Bilik suite premium dengan pemandangan Sungai Sarawak di hotel Hilton Kuching. - Foto HILTON

Pernah sekali saya pulang ke bilik dan menemui enam coklat mewah yang dihidang dalam kotak kayu, dengan perisa seperti kacang hazel, Inpaxion (buah markisa dalam coklat putih), Lacey Sesame (ganache susu dengan feuilletine, atau krep rangup yang dihancurkan, berperisa bijan manis), tofi, oren dan Niko-bean (ganache matcha bersama kacang merah).

Hilton Kuching juga terletak berhadapan Sungai Sarawak dan menawarkan pemandangan indah dari bilik penginapan.

Setiap pagi, saya bangun dengan panorama sungai yang berkilauan.

Antara manisan yang disediakan oleh pihak hotel Kuching Hilton buat penulis.
Antara manisan yang disediakan oleh pihak hotel Kuching Hilton buat penulis. - Foto BM oleh SHARLIN NASYIROH AZMI
Beg cenderahati yang disediakan oleh Hilton Kuching bagi lawatan sehari di sekitar Kuching pada keesokan harinya. Ia merangkumi kipas mudah alih, pelindung matahari, ubat pencegah serangga, coklat, air minuman, topi untuk melindungi daripada panas matahari, tuala serta  sepucuk surat daripada Hilton Kuching.
Beg cenderahati yang disediakan oleh Hilton Kuching bagi lawatan sehari di sekitar Kuching pada keesokan harinya. Ia merangkumi kipas mudah alih, pelindung matahari, ubat pencegah serangga, coklat, air minuman, topi untuk melindungi daripada panas matahari, tuala serta sepucuk surat daripada Hilton Kuching. - Foto BM oleh SHARLIN NASYIROH AZMI

Berita Minggu (BM) turut diberi peluang mengikuti lawatan eksklusif ke Hilton Kuching, termasuk melihat bilik suite mewah dan luas, gimnasium dengan kelengkapan bagi senaman pilates, bilik sauna, serta kemudahan mesra keluarga.

Terdapat juga Kid’s Club yang mana terdapat sebuah perpustakaan kanak-kanak, permainan dan kegiatan yang dikendali kakitangan terlatih, membolehkan ibu bapa berehat di kolam renang yang terletak di sebelah Kid’s Club tersebut.

Antara kemudahan bilik yang disediakan di bilik ‘King Deluxe Family Room’ di Hilton Kuching.
Antara kemudahan bilik yang disediakan di bilik ‘King Deluxe Family Room’ di Hilton Kuching. - Foto BM oleh SHARLIN NASYIROH AZMI

Satu acara makan malam istimewa diadakan bagi mengakhiri lawatan media ini, sambil dihiburkan dengan tarian tradisional Sarawak.

Watch on YouTube
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg