Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bhutan bertatah budaya

Banyak yang boleh dipelajari dan dihargai di negara yang terletak di pergunungan Himalaya itu, terutama suasana dan budaya
Aug 31, 2025 | 5:30 AM
Bhutan, Lapangan Terbang Antarabangsa Paro, percutian
Penulis di Lapangan Terbang Antarabangsa Paro, Bhutan. - Foto BM oleh DIAN A’QIDAH AHMAD YATIM

Bhutan adalah sebuah negara di Asia yang saya tak pernah terfikir untuk kunjungi.

Lagipun, jika lihat di media sosial, video berkenaan Bhutan selalu menyerlahkan betapa mahalnya untuk mengunjungi negara itu.

Sebab itulah saya teruja apabila diberi peluang menjejakkan kaki ke negara tersebut, yang sering digelar ‘The Last Shangri-La’.

Saya mula mencari maklumat tentang negara itu, termasuk bahasa, keunikan budaya dan makanannya.

Saya mengikuti lawatan bersama Chan Brothers dan menaiki pesawat Drukair yang menawarkan penerbangan terus dari Singapura ke Bhutan.

Setibanya saya di Lapangan Terbang Antarabangsa Paro, saya disambut oleh penduduk tempatan yang sangat ramah.

Malah, para pegawai di bahagian kastam juga sangat mesra dan mengalu-alukan kedatangan kami ke negara mereka.

Menurut budaya mereka, sehelai kain putih diberikan sebagai selendang kepada para tetamu.

Selendang ini diberikan oleh pemandu pelancong kami yang menjemput kami di lapangan terbang.

Tidak ada bangunan tinggi atau pusat beli-belah yang gah, hanya gunung-ganang yang menjulang tinggi di mana-mana.

Daerah beli-belah terkenal di Thimphu, Bhutan.
Daerah beli-belah terkenal di Thimphu, Bhutan. - Foto BM oleh DIAN A’QIDAH AHMAD YATIM

Udaranya juga segar dan suasananya dingin.

Tidak terasa bahang atau peluh.

Kami kunjungi beberapa tarikan pelancong, dan kebanyakannya adalah kuil dengan saiz yang menakjubkan.

Perkara yang unik pada saya adalah jumlah tangga yang banyak dan curam.

Sebuah kuil di Bhutan, Punakha Dzong, yang mempunyai banyak tangga.
Sebuah kuil di Bhutan, Punakha Dzong, yang mempunyai banyak tangga. - Foto BM oleh DIAN A’QIDAH AHMAD YATIM

Sudah tentu saya tidak biasa memanjat tangga yang begitu banyak apabila sedang bercuti.

Bhutan mempunyai banyak kuil kerana kebanyakan penduduk mereka merupakan penganut agama Buddha.

Agama tersemat kukuh dalam budaya mereka.

Semasa mendaki ke puncak Tiger’s Nest – sebuah biara yang terletak di cenuram Lembah paro – yang mengambil masa tiga jam kerana ketinggiannya, saya terkejut melihat penduduk Bhutan mendaki dengan pakaian tradisional dan kasut yang ringkas.

Biara agama Bhudda, ‘Tiger’s Nest’, atau ‘Paro Taktsang’ yang menjadi tempat terkenal untuk didaki.
Biara agama Bhudda, ‘Tiger’s Nest’, atau ‘Paro Taktsang’ yang menjadi tempat terkenal untuk didaki. - Foto BM oleh DIAN A’QIDAH AHMAD YATIM

Orang tua dan kanak-kanak memanjatnya tanpa masalah, sedangkan saya terpaksa mengerahkan setiap otot dalam badan untuk menamatkan pendakian itu.

Sebagai seseorang yang tidak biasa dengan kegiatan fizikal yang memenatkan, pendakian itu sungguh mencabar.

Namun, saya amat kagum melihat penduduk tempatan yang kelihatan begitu berpengalaman dengan pendakian tersebut.

Maklumlah, Tiger’s Nest dianggap sebagai tapak ziarah yang suci bagi rakyat Bhutan.

Budaya Bhutan begitu terpelihara dan terjaga.

Rakyatnya juga kelihatan bangga dengan budaya mereka.

Ini dapat dilihat daripada pakaian tradisional yang dipakai di mana-mana, kisah-kisah yang mereka kongsi dan bahasa yang mereka tuturkan.

Pakaian tradisional Bhutan. ‘Gho’ dipakai oleh kaum lelaki dan ‘kira’ dipakai oleh kaum wanita.
Pakaian tradisional Bhutan. ‘Gho’ dipakai oleh kaum lelaki dan ‘kira’ dipakai oleh kaum wanita. - Foto BM oleh DIAN A’QIDAH AHMAD YATIM

Namun, mereka tidak terbatas untuk hanya bertutur dalam bahasa ibunda mereka.

Kebanyakan rakyat Bhutan fasih berbahasa Inggeris, yang diajar di sekolah pada usia muda agar mereka tidak kehilangan hubungan dengan seluruh dunia.

Selepas berbual dengan penduduknya dan mempelajari sedikit tentang budaya mereka, perkara yang paling saya mahu cuba ialah makanan mereka.

Hidangan nasional Bhutan ialah gabungan cili dan keju.

Hidangan tempatan Bhutan, cili dan keju, atau dikenali sebagai ‘Ema Datshi’ (kanan) yang dimakan dengan nasi.
Hidangan tempatan Bhutan, cili dan keju, atau dikenali sebagai ‘Ema Datshi’ (kanan) yang dimakan dengan nasi. - Foto BM oleh DIAN A’QIDAH AHMAD YATIM

Saya kagum kerana ramuannya begitu ringkas tapi rasanya sungguh lazat.

Saya juga dapat mencuba minuman khas mereka iaitu teh yang dicampur mentega.

Rasanya lemak dan pastinya bukan satu perisa yang saya pernah rasa.

Hari demi hari, saya mula mengetahui lebih banyak tentang negara itu.

Semasa membuat kajian, saya terbaca banyak yang mengatakan Bhutan sebuah negara terpencil atau terpisah daripada negara-negara lain.

Dakwaan ini, sebenarnya, tidak begitu tepat. Bhutan ialah sebuah negara yang mementingkan pelancongan “bernilai tinggi, berimpak rendah”.

Mereka bekerja keras untuk memelihara budaya dan tanah mereka, yang lebih 70 peratus daripadanya terdiri daripada kawasan hutan.

Inilah juga sebabnya mereka tidak mempunyai restoran makanan segera yang besar di Bhutan.

Mereka lebih mengutamakan hidangan organik dan hasil tempatan berbanding makanan segera.

Mereka menjalani kehidupan yang ringkas dan santai.

Tiada kesibukan pada awal pagi.

Tiada kesesakan lalu lintas.

Sebaliknya, mereka meluangkan banyak masa untuk bersembahyang dan bersama keluarga.

Ia memaksa saya untuk memikirkan semula perkara-perkara yang sudah biasa saya nikmati di Singapura. Terdapat perbezaan yang amat ketara.

Bhutan mempunyai jalan raya berliku yang dibina di sisi bukit, manakala Singapura mempunyai jalan dua hala yang besar.

Bhutan mempunyai landskap alam semula jadi yang indah dengan gunung-ganang, bukit-bukau dan kehijauan, sedangkan Singapura adalah sebuah bandar raya kosmopolitan dengan bangunan tinggi di mana-mana.

Pemandangan alam semula jadi di Bhutan.
Pemandangan alam semula jadi di Bhutan. - Foto BM oleh DIAN A’QIDAH AHMAD YATIM

Dengan usaha kerajaan negara itu untuk menarik lebih ramai pelancong ke Bhutan, saya yakin bahawa negara itu akan dihargai oleh golongan yang tepat.

Rakyat Bhutan dijaga dengan baik. Bayaran Kemampanan (Sustainable Development Fee) yang dibayar oleh pelancong sebenarnya disalurkan untuk membiayai projek pembangunan negara, bertujuan meningkatkan kemudahan, perkhidmatan dan prasarana di sana.

Pendidikan dan penjagaan kesihatan percuma disediakan untuk rakyat Bhutan.

Semua ini menyumbang kepada pendekatan Kebahagiaan Kasar Negara (Gross National Happiness), berbeza dengan seluruh dunia yang menggunakan Hasil Dalam Negeri Kasar (Gross Domestic Product).

Walaupun bukan pilihan utama ramai orang, budaya, alam semula jadi serta penduduk Bhutan mempunyai potensi besar untuk menjadi tumpuan pelancong.

Negara ini menawarkan begitu banyak kegiatan, seperti mendaki gunung, meredah hutan, berbasikal dan juga berkhemah.

Saya berasa kagum betapa pelbagai dan uniknya negara-negara di Asia.

Bhutan hanyalah permulaan bagi saya, kerana saya yakin ada banyak lagi negara lain yang menarik untuk diterokai.

Sesungguhnya, pengalaman di Bhutan bukan sekadar percutian, tetapi satu pelajaran hidup yang mengubah perspektif saya.

Saya berharap negara ini akan terus makmur, sambil kekal memelihara jiwa dan budayanya yang unik untuk generasi akan datang.

Saya berasa kagum betapa pelbagai dan uniknya negara-negara di Asia. Bhutan hanyalah permulaan bagi saya, kerana saya yakin ada banyak lagi negara lain yang menarik untuk diterokai. Sesungguhnya, pengalaman di Bhutan bukan sekadar percutian, tetapi satu pelajaran hidup yang mengubah perspektif saya.
Penulis.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg