Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nikmati santapan salai sambil santai tepi Pantai Siloso

Tiga jenama milik usahawan Muslim di acara ‘Sentosa GrillFest’ papar sajian pembuka selera
Jul 25, 2025 | 4:13 PM
la birria tacos, sentosa grillfest, shakir zufayri mohammad
Pemilik La Birria Tacos, Encik Shakir Zufayri Mohammad, menyertai acara ‘Sentosa GrillFest’ buat kali pertama pada 2025. - Foto BH oleh KHALID BABA

Bagi pencinta makanan salai dan suasana santai di tepi laut, Sentosa GrillFest, merupakan acara yang wajib dikunjungi.

Bertempat di Pantai Siloso hingga 10 Ogos, acara ini berlangsung setiap Jumaat hingga Ahad, dari 4 petang hingga 10.30 malam.

Tiada bayaran dikenakan.

Sentosa GrillFest bukan sekadar pesta makanan, malah ia menjadi wadah bagi peniaga Muslim mengetengahkan inovasi dalam sajian makanan dan daging salai mereka.

Kaki Makan menyarankan agar pengunjung datang beramai-ramai, sama ada bersama keluarga atau rakan, untuk menikmati hidangan yang enak dalam suasana santai.

Ayuh, ikuti Kaki Makan ke tiga gerai halal milik usahawan Muslim, yang menawarkan rasa unik dan yang mencuri perhatian.

Mereka terdiri daripada jenama La Birria Tacos, The Smok Hous dan Oud Restaurant.

Alamat: 60 Siloso Beach Walk, Singapura 098997

La Birria Tacos

La Birria Tacos dikenali sejak penyertaan pertama mereka di Bazar Ramadan Kampong Gelam pada 2023.

Jenama ini terkenal dengan sajian Mexico, Quesa Birria Tacos.

Daging lembu direneh dalam kuah rebusan berempah atau ‘birria’ yang dimasak dalam periuk tekanan demi mencapai kelembutan daging, yang mudah dikunyah.

Ia kemudian disajikan dalam taco yang dipanggang hingga rangup bersama keju cair, bawang cencang, limau nipis dan ketumbar segar.

“Kami reneh daging dalam periuk tekanan sebab ia menjimatkan masa dan menjadikan tekstur daging sangat lembut.

Kuah rebusan kami dijadikan sebagai consomme, iaitu sup pekat yang diperbuat daripada air rebusan daging dan rempah, untuk dicecah dan dinikmati bersama taco itu.

Setiap bahan dalam hidangan itu digunakan sepenuhnya,” jelas pemilik La Birria Tacos, Encik Shakir Zufayri Mohammad.

Menurut Encik Shakir, Sambal Belacan Fish Tacos pula mempunyai unsur kemelayuan dengan penggunaan sambal belacan pada sos hidangan tersebut.

‘Sambal Belacan Fish Tacos’ ($12), disalut dengan sambal belacan ‘crema’ yang pedas dan berkrim.
‘Sambal Belacan Fish Tacos’ ($12), disalut dengan sambal belacan ‘crema’ yang pedas dan berkrim. - Foto BH oleh KHALID BABA

“Saya mahu rasa pedas lagi ‘kick’ apabila menyiapkan hidangan Fish Tacos, jadi saya campurkan sambal belacan dalam produk tenusu Mexico, iaitu crema, dan ternyata ia menjadi.

“Saya berikan kawan-kawan rasa dulu dan mereka semua ingin hidangan itu disertakan ke dalam menu,” jelasnya.

Crema merupakan sos berasaskan krim masam yang digunakan dalam masakan Mexico.

Ulasan Kaki Makan:

Bagi Quesa Birria Tacos, $15, dagingnya lembut dan kaya dengan rempah yang memberikan rasa pedas berpanjangan.

Kuah dalam consomme itu membangkitkan lagi rasa lemak, pedas dan kewangian rempah-ratus yang digunakan.

Kulit taco pula rangup dan hangus sedikit di tepi, memberikan tekstur yang berbeza dengan isi dalamannya.

Sambal Belacan Fish Tacos, $12, menjadi kejutan paling menyeronokkan bagi Kaki Makan.

Ikan digoreng dua kali dan ia masih rangup di luar dan lembap di dalam.

Ia disalut dengan sambal belacan crema yang mempunyai rasa pedas dan lemak yang menggiurkan.

Sos dibuat dengan campuran seperti sambal belacan dan krim masam.

Rasa masam, berlemak dan pedas sajian itu membuka selera pada setiap gigitan.

‘Chicken Quesadilla’ ($18) untuk tiga keping tebal berinti ayam berempah, keju dan cili ‘jalapeno’, disertakan sos celup berkrim.
‘Chicken Quesadilla’ ($18) untuk tiga keping tebal berinti ayam berempah, keju dan cili ‘jalapeno’, disertakan sos celup berkrim. - Foto BH oleh KHALID BABA

Bagi Chicken Quesadilla, $18, pula ia antara hidangan paling mengenyangkan dengan tiga keping besar disajikan bersama inti ayam berempah, keju dan jalapeno, disertakan sos celup berkrim yang ringan dan tidak memuakkan.

Ia menghasilkan gabungan rasa yang kaya dan tekstur yang membuka selera.

Dengan hidangan yang besar, muai untuk dikongsi dengan rakan-rakan atau keluarga.

Oud

Pemilik Oud, Encik Muhd Shah Indra Jasni (kiri), bersama Cef Khairul Afandi.
Pemilik Oud, Encik Muhd Shah Indra Jasni (kiri), bersama Cef Khairul Afandi. - Foto BH oleh KHALID BABA

Buat julung-julung kalinya, restoran Oud menyertai GrillFest, membawa hidangan bersalai dengan teknik memasak moden.

Semua daging disalai sendiri memberikan sentuhan berbilang dimensi dan bermutu.

“Kami salai daging brisket sendiri menggunakan kayu oak dan ceri.

“Ini peluang pertama kami di GrillFest untuk perkenalkan jenama Oud dan hidangan kami pada orang ramai,” ujar pemilik Oud, Encik Muhd Shah Indra Jasni.

Ulasan Kaki Makan:

Hidangan ‘Burnt Ends Rice’($19) (dari kiri), ‘Loaded Spuds dengan Brisket Salai’ ($15) dan ‘Smoked Reuben Sandwich’ ($22).
Hidangan ‘Burnt Ends Rice’($19) (dari kiri), ‘Loaded Spuds dengan Brisket Salai’ ($15) dan ‘Smoked Reuben Sandwich’ ($22). - Foto BH oleh KHALID BABA

Loaded Spuds bersama Brisket Salai, $15 menggabungkan daging brisket yang disalai hingga lembut, dipotong dadu dan digaul bersama sos keju, sos putih dan daun bawang di atas kentang yang dilecek.

Bagi Kaki Makan rasanya cukup harmoni dengan rasa lemak, masin dan berasap yang sebati.

Hidangan ini juga mengenyangkan.

Smoked Reuben Sandwich, $22, pula hidangan yang unik dengan lapisan brisket, keju cair dan sos reuben yang masam dan berlemak.

Walaupun saya berharap roti sourdough dipanggang demi mencapai tekstur rangup, isi sandwic ini tetap memuaskan.

Hidangan Burnt Ends Rice, $19, pula menyerlah dengan menggunakan beras basmati yang gebu dan ringan, disertakan dengan daging burnt ends iaitu potongan hujung daging salai yang dimasak lama sehingga garing dan disalut karamel di luar tetapi lembut di dalam.

Dagingnya cukup rasa salainya, empuk dan sesuai untuk mereka yang suka rasa salai yang tidak terlalu kuat.

Minuman Mint Mojito, $8, pula menjadi penyegar dan pelepas dahaga selepas semua hidangan berat, disajikan untuk Kaki Makan.

Ia sejuk, segar dan berfungsi seperti palate cleanser, atau peneutral perisa, menghilangkan rasa yang berlarutan dalam mulut, untuk hidangan seterusnya.

The Smok Hous

Pemilik The Smok Hous, Encik Isrudy Shaik.
Pemilik The Smok Hous, Encik Isrudy Shaik. - Foto BH oleh KHALID BABA

The Smok Hous pula merupakan jenama yang diperkenalkan cef berpengalaman dalam dunia daging salai halal tempatan.

Pemilik, The Smok Hous, Encik Isrudy Shaik, berbekalkan latar belakang mengusahakan ASAP & Co.

Beliau kini membawa teknik salai selama 12 jam ke acara GrillFest.

“Daging disalai dengan kayu ceri dan oak. Apabila sudah siap, kami gaul dengan sos dan salutinya dengan karamel pada permukaan daging, dengan hasilnya rasa yang kompleks dan sebati,” kongsi beliau kepada Kaki Makan.

Ulasan Kaki Makan:

‘Wagyu Brisket Roll’ ($18) sajian mewah dengan dagingnya yang lembut bersama roti ‘brioche’.
‘Wagyu Brisket Roll’ ($18) sajian mewah dengan dagingnya yang lembut bersama roti ‘brioche’. - Foto BH oleh KHALID BABA

Wagyu Brisket Roll, $18, ialah sajian mewah dengan dagingnya lembut hingga mudah diasingkan dan apabila dimakan bersama roti brioche mentega serta sos barbeku yang manis bersalai, ia menghasilkan keseimbangan rasa yang sangat memuaskan.

‘Burnt Ends’ ($19) hidangan perut lembu yang digandingkan dengan ‘jalapeno’ jeruk dan ‘slaw’.
‘Burnt Ends’ ($19) hidangan perut lembu yang digandingkan dengan ‘jalapeno’ jeruk dan ‘slaw’. - Foto BH oleh KHALID BABA

Burnt Ends, $19, menggunakan perut lembu yang berlemak dengan tekstur lemaknya cair di dalam mulut.

Ia digandingkan dengan jalapeno jeruk dan slaw (hirisan kubis berkrim) yang menambah rasa masam dan segar.

Bagi Kaki Makan, gabungan ini sangat seimbang dan salai daripada daging menambah lagi keenakan rasa asli yang jarang ditemui.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg