Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pelbagai bantuan dalam meniti usia senja

Apr 19, 2020 | 12:00 AM



Warga emas akan menerima pelbagai bentuk sokongan, termasuk yang diumumkan dalam tiga kenyataan Belanjawan tahun ini, dan menikmati langkah yang diperkenal sejak beberapa tahun lalu. Bantuan seperti pemberian wang tunai, subsidi bagi kos penjagaan kesihatan serta skim simpanan persaraan bertujuan meringankan beban warga emas sedang mereka menempuhi usia persaraan. Penulis sambilan, NURMAYA ALIAS (bhnews@sph.com.sg) mewawancara warga emas yang berpeluang meraih manfaat daripada pelbagai sokongan itu.



SEBAGAI anggota Generasi Merdeka, Cik Norlian Johari, 69 tahun, layak menerima pelbagai sokongan sedang beliau meniti usia senja.\



Sokongan itu, yang termasuk subsidi kos penjagaan kesihatan dan tokokan Medisave bertujuan meringankan beban warga seperti Cik Norlian, seorang balu tidak bekerja yang menjaga seorang anak angkat cacat daya intelek berusia 33 tahun.



Suaminya telah meninggal dunia pada 2011 akibat penyakit barah prostat. Bagi menampung diri dan anak angkatnya, beliau bekerja di jabatan pentadbiran Pusat Barah Kebangsaan Singapura (SCS) seminggu selepas kematian suaminya tetapi berhenti kerja pada 2013.



Kini, Cik Norlian tidak lagi bekerja dan mendapat wang setiap bulan sebagai pencarum Tabung Simpanan Pekerja (CPF) di bawah Skim Jumlah Persaraan serta bantuan dari skim bantuan sosial pemerintah ComCare dalam bentuk baucar makanan.



Rakyat Singapura berusia 21 tahun dan ke atas akan menerima sejumlah wang tunai daripada pemerintah bergantung pada gaji masingmasing untuk mengurangkan beban mereka.



Cik Norlian dan anak angkatnya masing-masing layak menerima bayaran wang tunai sebanyak $600 pada bulan ini (April) dan $600 pada Jun kelak.



Selain itu, warga Singapura berusia 50 tahun dan ke atas, seperti Cik Norlian, akan turut menerima tokokan $100 Kad PAssion yang diberikan dalam bentuk wang tunai ke dalam akaun bank warga ini supaya mereka tidak perlu membuat penebusan secara fizikal dalam keadaan wabak koronavirus ini.



Ia boleh digunakan untuk membeli barangan dapur dan kegiatan-kegiatan yang menggunakan kemudahan di kelab-kelab masyarakat, antara lain.



Dalam pada itu, warga emas berpeluang memanfaatkan pelbagai skim sedang mereka melalui tempoh persaraan.



Antaranya ialah Skim Beli Balik Pajakan (LBS) dan Bonus Perumahan Warga Emas.



LBS membolehkan pemilik flat warga emas menjana pendapatan daripada flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) mereka, sedang mereka terus mendiaminya setelah menjual sekurang-kurangnya 20 tahun daripada baki tempoh pajakan flat mereka kepada HDB.



Bagi mereka di bawah LBS, bonus tunai mereka akan naik sebanyak 50 peratus bagi semua jenis flat.



Pemilik flat tiga bilik kini akan menerima bonus maksimum S$30,000, naik daripada $20,000 sebelum ini.



Pemilik flat empat bilik kini akan menerima $15,000 manakala pemilik lima bilik akan menerima $7,500.



Skim yang diperkenalkan pada 2009 itu bertujuan memberi mereka pendapatan tetap dan meliputi semua flat HDB, termasuk flat lima bilik dan yang lebih besar.



Cik Norlian pernah membuat pertanyaan tentang skim LBS itu di pejabat HDB tatkala flat empat biliknya sedang menjalani Program Peningkatan Lif (LEP).



''Saya telah ke pejabat HDB satu ketika dahulu kerana hendak tahu bagaimana saya boleh bayar LEP kerana saya tidak boleh bayar melalui CPF. Semasa di sana, saya mendapat tahu tentang skim LBS dan turut membuat pertanyaan,'' kata Cik Norlian.



Beliau, bagaimanapun, masih mempertimbangkan tentang pajakan flatnya.



Satu lagi pilihan yang boleh dipertimbangkan warga emas seperti Cik Norlian ialah pembelian flat lebih kecil.



Skim Bonus Perumahan Warga Emas, yang memberi warga emas bonus tunai apabila mereka membeli flat lebih kecil, telah dipermudahkan dan ditingkatkan.



Bonus itu telah dinaikkan daripada $20,000 kepada $30,000 pada Mac lalu.



Sebelum ini, warga emas hanya boleh menerima bonus itu jika mereka menokok Akaun Persaraan CPF dengan sebahagian wang yang diterima daripada pemindahan ke flat lebih kecil, yang mungkin berjumlah lebih $60,000.



Kini, warga emas hanya perlu menokok $60,000 pertama daripada hasil penjualan flat mereka.



Wang yang disalurkan ke dalam akaun persaraan itu kemudian akan diterima warga emas itu setiap bulan di bawah CPF Life.



Tambahan lagi, HDB akan memansuhkan keperluan bagi warga emas untuk berpindah dari flat besar kepada yang lebih kecil.



Tanpa mengira jenis flat apa yang dijual, warga emas boleh memohon bagi Bonus Perumahan Warga Emas asalkan mereka membeli flat tiga bilik atau lebih kecil.



Nisbah bonus itu kemudian akan menjadi $1 bagi setiap $2 yang ditokok ke dalam Akaun Persaraan CPF mereka, berbanding bonus $1 bagi setiap $3 yang ditokok.



Sedang pelbagai skim itu menyediakan pilihan bagi Cik Norlian, beliau juga mengisi masa persaraan dengan membuat kerja kemasyarakatan.



Cik Norlian aktif menjadi sukarelawan, antaranya bersama Befrienders Masjid Assyafaah selama hampir 11 tahun dan di Hospital Khoo Teck Puat pada tahun lalu.




''Saya telah ke pejabat HDB satu ketika dahulu kerana hendak tahu bagaimana saya boleh bayar LEP kerana saya tidak boleh bayar melalui CPF. Semasa di sana, saya mendapat tahu tentang skim LBS (Skim Beli Balik Pajakan) dan turut membuat pertanyaan.''
- Ibu tunggal Cik Norlian Johari, 69 tahun, yang menjaga anak angkat cacat daya intelek.




BANTUAN BUAT KELUARGA



  • Di bawah Pakej Jagaan dan Sokongan, rakyat Singapura berusia 21 dan ke atas akan menerima sejumlah wang tunai bergantung pada gaji masing-masing

    Sebanyak $600 akan diberikan pada bulan ini

    Baki $300 atau $600 untuk warga Singapura yang layak akan dibayar pada Jun 2020

  • Ibu bapa yang ada sekurang-kurangnya seorang anak berusia 20 tahun dan ke bawah menerima wang tunai tambahan $300

  • Warga Singapura berusia 50 tahun dan ke atas menerima $100 tokokan kad PAssion, kini diberi secara tunai

  • Warga Singapura menghuni flat satu bilik dan dua bilik HDB menerima baucar $300 untuk membeli barang keperluan dapur tahun ini. Terima lagi $100 tahun depan

  • Warga Singapura yang menerima bayaran Daya Kerja tahun lalu layak terima bayaran khas Daya Kerja dipertingkat menjadi $3,000

  • Baucar GST U-Save tahun ini antara $480 dengan $1,000 bagi keluarga tinggal di flat HDB

  • Rebat S&CC antara 1.5 dengan 3.5 bulan untuk isi rumah Singapura tinggal di flat HDB, yang layak

  • Bayaran sekali $500 Dana Bantuan Kewangan Sementara (TRF) bagi yang hilang mata pencarian kerana Covid-19, atau gaji merosot sekurang-kurangnya 30%

  • Kunjungi laman talkofthetown.sg bagi mendapatkan maklumat lanjut tentang pelbagai skim bantuan, atau imbas kod QR di bawah ini




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >