Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

‘No more Hari Raya’: Ramli MS ingin peserta mapan pertingkat prestasi nyanyian

Ketua juri ingin peserta contohi Naqiu yang kawal pentas, miliki KPI tinggi untuk persembahan
Sep 26, 2023 | 05:30 AM



Apabila semua 16 peserta yang memasuki gelanggang pertandingan All Stars Gegar Vaganza adalah peserta mapan yang berpengalaman dengan 10 daripadanya merupakan juara Gegar Vaganza (GV) sebelum ini, pastinya mutu piawaian yang diharap-harapkan dalam persembahan adalah tinggi.


“Apabila dah masuk All Stars Gegar Vaganza atau GV10, no more Hari Raya! Lainlah baru masuk. Semasa masuk GV8, GV9, itu baru sahaja masuk peraduan. Lainlah (penilaian juri). Sebab dah pernah masuk, mestilah jangkaan juri berbeza dan lebih tinggi.


“Kami akur pada kehendak penerbit program. Markah yang paling rendah seperti biasa perlulah diminta berundur nanti. Kena keluar,” jelas Datuk Ramli MS, ketua juri program realiti tersebut pada sidang media yang diadakan di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada dinihari Isnin.

Sidang media itu disiarkan secara ‘live’ di YouTube.


Dalam pertandingan minggu pertama, Naqiu, Liza Hanim dan Jaclyn Victor berada di tiga tangga teratas pertandingan. Naqiu yang menyanyikan lagu Jaclyn, Di Bawah Pohon Asmara, dengan versi tersendiri, rancak dan mantap, mendapat 80.75 peratus.


Liza yang menyanyikan lagu ‘hit’ Datuk Aishah, Janji Manismu, pula berada di tangga kedua dengan 79 peratus manakala Jaclyn berada di tangga ketiga dengan 71.75 peratus. Semua lagu pada konsert minggu pertama diberi Ramli mengikut kesesuaian suara dan ujian sejauh mana mereka boleh menjulang mahakarya tersebut ke skala lebih tinggi.


Dalam ulasannya, Ramli menganggap Naqiu sebagai memberikan kesegaran pada lagu Jaclyn malahan telah menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang baik dan tinggi untuk dicapai peserta lain.

“Saya sudah beritahu dengan Jaclyn. Beliau tak guna nyanyian cara ‘method’. Saya okay bila Jaclyn tak keluarkan ‘kuku’ dahulu pada awal pertandingan tetapi KPI-nya yang saya tahu harus dikekalkan. Saya minta mereka asah lagi persembahan dan suara mereka. Gilap mana-mana yang perlu. Jangan mereka dah bergelar juara sebelum ini tapi tak perhatikan KPI dan nyanyi macam ni... biasa-biasa sahaja.

“Mereka perlu tekan enjin lebih. Pemandu adalah mereka, bukan kita sebagai juri. Pandai-pandailah bawa kereta tu. Saya tak kata persembahan sesetengahnya teruk tetapi belum sampai KPI maksimum yang saya tahu mereka boleh buat.

“Mereka perlu kerja keras, fikir lebih lagi apa yang ingin disuntik dalam persembahan. Seperti yang saya nyatakan tadi. Naqiu awasi seluruh gerak-geri dan mengawal pentas dengan baik. Dia seorang sahaja, tetapi dialah yang kawal segalanya sampai jadi menarik dan baik. Sepatutnya, peserta jadi macam tu sebab mereka yang bertanding,” tambahnya lagi yang mengharapkan semua peserta akan beri saingan sengit berdasarkan keupayaan dan pengalaman panjang mereka dalam dunia hiburan dan di pentas GV.

Pertandingan kali ini yang menghimpunkan 10 juara GV dan enam finalis GV yang diundi peminat untuk bersaing dalam kategori ‘Hot Seat’ dijangkakan amat sengit dan lebih menghiburkan, kerana yang menyertai bukan calang-calang penghibur.

Peserta kelahiran Singapura, Hady Mirza, menunjukkan kebolehannya membuat persembahan dan berada di tangga kelima dengan 70 peratus manakala Aliff Aziz pula tampil penuh karisma dengan 64 peratus.

Tiga peserta di tangga terbawah adalah Siti Nordiana dengan 54 peratus, Datuk Aishah dengan 51.25 peratus dan Cliff Umar dengan 50.5 peratus.

“Minggu pertama sudah selesai dan saya tidak buat sebaiknya langsung. Saya tidak akan memberi beberapa alasan mengapa keadaannya begitu. Ada beberapa perkara yang saya perlu teliti. Saya bukannya orang yang teknikal jadi saya perlu rujuk kepada yang lebih arif.

“Mana tahu saya boleh memperbaiki persembahan saya? Kalau tak jadi juga, mungkin masanya saya menggantung mikrofon saya. Kena tingkatkan usaha.. .itu sahaja yang saya boleh buat. Terima kasih kepada semua pasukan saya,” tulis Aishah di Instagram.

Beberapa warganet pula memberi kata-kata galakan buat peserta di tiga tangga terbawah.

Serojasalju menulis di Instagram Aishah:

“Dicadangkan kakak pilih nada lebih selesa untuk dinyanyikan. Tak perlu paksa diri untuk bawa ikut nada lama 30 tahun lalu. Pemilihan lagu pun rasanya kena lebih mesra penonton muda. Selebihnya, banyakkan buat latihan dan senaman untuk bantu lancarkan pernafasan semasa menyanyi. Kakak boleh lakukannya.”

Peminat Siti Nordiana yang dikenali dengan panggilan Sulaiman pula menambah:

“Semua peserta baru sahaja ‘panaskan diri’ masing-masing. Belum selesa lagi kembali bertanding. Masing-masing ada darah gemuruh. Relaks. Boleh cuba lagi.”

Minggu depan, peserta akan mendendangkan lagu mengikut kesesuaian nada suara dan cita rasa mereka.

Kita nantikan sahaja keputusan Konsert Minggu Kedua pada Ahad dengan program itu bersiaran di Astro Ria (Saluran 608, Singtel TV), mulai 9 malam.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >