Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Norman Ishak pelakon serba boleh, matang dan ikhlas

Mereka muncul dalam persada hiburan sebagai bintang cilik berpuluh tahun lalu. Berbanding sesetengah bakat cilik yang hilang minat dan tidak lagi menyambung kerja seni apabila dewasa, tiga anak seni ini meneruskan usaha mencari rezeki malahan kian berjaya dalam membangun nyala rasa yang tidak pernah terpadam. BERITA HARIAN melaporkan.
Jul 10, 2023 | 05:30 AM



Jika diperlukan dalam drama, pelakon Norman Ishak boleh tampil dengan rambut panjang melepasi bahu.

Kalau wataknya memerlukan beliau susutkan badan dan botakkan kepala, itu pun sanggup dilakukannya.

Pendek kata, dalam setiap drama yang beliau jayakan, penampilan Norman, 35 tahun, pastinya berbeza dan tidak dapat dinafikan keupayaannya muncul sebagai antara pelakon serba boleh berpotensi besar buat masa ini.

Seperti beberapa pelakon cilik di rantau ini mahupun di Barat yang setia dengan seni dan terus ikhlas berkarya sehingga dewasa, anak pengacara dan pelawak Allahyarham Ishak Ahmat ini menampakkan kesungguhan dalam setiap kerja seni yang dihasilkan.

Kejayaan Norman menggenggam piala Pelakon Lelaki Terbaik Dalam Watak Utama (Siri Drama) bagi ‘Pesta Perdana 2023’ untuk siri drama Identiti di Teater Mediacorp baru-baru ini adalah bukti kerja keras dan dedikasinya.


Beliau berada dalam kategori yang sama dengan bakat lain, Iskandar Shah, Sani Hussin, Izzat Yusoff dan Suzairhe Sumari.

Norman menjadikan sahabatnya di Malaysia, Syafie Naswip, dan bintang Hollywood terbilang, Leonardo DiCaprio, sebagai sumber inspirasi pelakon yang mampu menghidupkan apa jua watak yang diberikan kepadanya.

Baginya, seronok melihat mereka mengembangkan kemahiran berlakon dari kecil hingga dewasa. Kematangan mereka dalam menggalas setiap watak itu cukup membuka mata dan hatinya untuk menjadi seperti idolanya ini.

Sewaktu ditemui Berita Harian (BH) di Teater Mediacorp, Norman berkata:


“Semua calon bagi kategori yang dipertandingkan memang handal-handal belaka. Saya gembira menjadi sebahagian daripada calon dalam kategori ini.

“Bagi saya, apabila berada dalam set Identiti, saya dapat lihat semua orang memberi tenaga yang meluap-luap, baik pengarah, penulis naskhah, penyunting dan pelakon. Nyala rasa setiap orang memang dapat dirasakan.


“Kadangkala apabila penyunting sedang melakukan tugasnya, beliau akan bertanya ada apa-apa yang kurang? Bagaimana nak memperbaiki hasil kerjanya?

“Saya sebagai pelakon pula tidak pernah terlepas dari rasa takut. Bagi saya, ini penting dan perlu walaupun saya sudah agak lama berlakon. Sebab kita tidak akan memperlekeh keadaannya dengan berasa kita sudah cukup bagus.

“Malam sebelum saya masuk set, saya pastinya gementar dan kadang payah melelapkan mata. Rasa gementarnya Tuhan sahaja tahu.

“Saya tak pernah rasa puas dan ingin mengusahakan yang terbaik tetapi pastinya terfikir dapatkah saya bawa kelainan pada watak ini atau bagaimana lagi?”

Di dalam Identiti, beliau berpeluang bekerjasama dengan tiga pengarah berbeza, M Raihan Halim, Zaini Nasser dan Sani Hussin. Setiap daripada mereka mempunyai cara tersendiri.


“Saya bagaimanapun hargai sikap mereka yang akan bertanyakan pendapat pelakon. Mereka terbuka walaupun kita kadangkala bimbang mereka tersinggung kalau kita kemukakan idea lain.

“Sebagai contoh, dalam episod terakhir di hutan, kita berbincang tentang bagaimana watak saya itu akan mati. Pihak pengarah rasa nak watak saya itu masuk ke dalam laut dan mati sambil mendongak ke langit.

“Saya pula katakan, saya takkan tidur malam kalau saya tak beritahu bahawa saya lebih selesa jika dia mati sambil memandang keluarga yang dia ingin musnahkan. Saya ingin kesudahan yang mempunyai impak dan perlambangan tersirat.

“Mujurlah, pengarah bersetuju dan ambil saranan saya. Kebiasaannya ada pengarah ingin pelakon ikut arahan tetapi saya rasa apabila pelakon itu sudah lama berlakon, dia akan rasa dia perlu usulkan beberapa perkara yang dirasakan akan menguatkan lagi plot drama berkenaan. Keterbukaan semua pihak itu perlu untuk kebaikan bersama,” ujarnya.

Norman baru juga pulang dari Melaka untuk peluasan telefilem Lap-Lip yang akan dilanjutkan sebagai siri drama.


“Watak saya kali ini bertukar menjadi lebih flamboyan, pakai skarf leher dan jaket. Penggambaran semua okay. Kami macam keluarga duduk beramai-ramai makan lauk-pauk Malaysia. Ada Syafie, Izyan, Najib Soiman dan Olynn Saleh.

“Cuma kena tangkas tangani nyamuk ‘tak makan saman’ di kawasan kampung. Cuaca pula panas,” jelas Norman.

Apa yang diharapkan seorang pelakon sepertinya adalah jika wujud bonus di mana idola yang dikagumi sejak kecil tampil di sisi dan dapat berlakon sama dengannya.

“Ini benar-benar berlaku. Saya tak sangka selebriti dengan nama awalnya bermula dengan huruf E itu akan ada di situ. Saya malahan meminta pihak penerbitan selitkan satu babak untuk saya bergandingan dengannya. Tak sangka dan teruja. Tunggulah siapa orangnya!” tambahnya.

Lanjutan pada telefilem Lap-Lip ini lebih meriah sebab ada keluarga India yang sama-sama meniaga di situ. Pelakon Singapura, Cassandra Spykerman, dilibatkan sama dalam drama ini dan membawakan watak dalam keluarga India itu.


“Saya memang berulang-alik dari Singapura ke Melaka, bikin drama Inggeris juga 128 Circle. Satu projek sahaja yang saya belum terima sejauh ini iaitu Berani Nyanyi? (Musim Kedua).


“Saya minta pihak penerbitan taja saya ke kelas vokal dahulu sebelum heret saya masuk dalam program ini. Saya katakan kalau saya bersedia masuk, saya mesti nak menang! Boleh tak mereka sediakan letupan piroteknik dan saya berada di pentas terapung?

“Memang seronok tengok teman-teman lain bertanding tapi saya belum sedia dan rasanya takkan mencuba,” kata Norman lagi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >