Kemunculan bakat remaja Singapura, Nur Umairah Mohd Shafiq, di kaca televisyen menerusi program realiti, Kaki Nyanyi, yang akan mula bersiaran pada 3 Disember ini memang sesuatu yang dinanti-nantikan keluarga dan sahabat handainya.
Sebabnya, sudah lama penyanyi berusia 20 tahun ini tidak berpeluang menjayakan rancangan Hari Raya ataupun drama televisyen sepertimana zaman kanak-kanaknya.
Sebagaimana jelasnya ketika dihubungi Berita Minggu (BM) menerusi Zoom:
“Orang akan lebih ingat saya sebagai bakat cilik zaman Mat Yoyo dan Raya Oh Yeah tetapi bukan diri saya yang sudah dewasa kini.
“Saya tidak pernah terlibat dalam Sinar Lebaran seperti sesetengah rakan seni lain. Saya muncul dalam drama dan program hiburan sewaktu kecil sahaja.
“Dengan adanya saya dalam Kaki Nyanyi, kesyukuran memang terasa. Saya dapat beritahu kepada orang ramai bahawa saya masih aktif menyanyi seperti dahulu.”
Nur Umairah yang menggunakan nama pentas Myra dalam rancangan yang diilhamkan ikon televisyen Singapura, Najip Ali, dan penerbit kanan Dua M Pte Ltd, Nura Manaf, akui sangat teruja mencorak semula kerjaya nyanyiannya yang dihambat komitmen tugas dan kesangsiannya sendiri tentang sejauh mana beliau boleh pergi,
“Saya beritahu diri saya perlu komited dalam Kaki Nyanyi demi masa depan sebagai penyanyi di Singapura.
“Banyak masa dan wang perlu dikorbankan dari segi kos pengangkutan ke sana ke mari.
“Habis kerja 8 malam, langsung ke studio rakaman sekitar 9 malam. Tetapi Alhamdulillah, saya seronok dapat kenal ramai rakan baru.
“Tak sangka kita ramai bakat nyanyian Melayu sehingga mampu dapatkan 24 peserta. Ramai yang masih muda dan bersemangat.
“Sebelum ini, saya hanya kenal dua tiga orang sahaja dalam kalangan mereka yang bertanding.
“Saya dapat lihat belakang tabir atau bagaimana sesuatu rancangan dihasilkan. Kebiasaannya, saya hanya datang ke sesuatu acara, menyanyi dan pulang.
“Sekarang, serba-serbi saya harus rancang. Cari penerbit sendiri, rancang apa yang saya nak buat dengan sesuatu lagu. Dah tak ada lagi setakat diberi taklimat lagu apa nak dinyanyikan dan kemudian diminta buat persembahan,” ujarnya.
Mungkin jika ramai melihat diri gadis berhijab dan berkaca mata itu sekarang, tidak ramai yang mengenali suatu ketika, inilah budak kecil yang tular dengan lagu ‘cover’ Beyonce, Listen, yang dimuatnaikkan ke YouTube sedekad lalu.
Lagu itu sudah ditonton lebih 5.5 juta kali di YouTube, menjadikannya anak kecil bersuara emas yang mencetus rasa kagum ramai.
Apabila ditanya mengenai perkara itu, beliau tertawa seraya berkata:
“Ramai dah tak kenal budak kecil berambut keriting kembang itu adalah saya! Sebab dah tak nampak lagi rambutnya setelah berhijab.
“Rakan-rakan di Kaki Nyanyi pun terkejut apabila dapat tahu sayalah budak yang nyanyi lagu Listen tu! Mereka diberi video lama saya dan tak sangka budak tu saya.”
Sepanjang perjalanan seninya termasuk bersama Orkestra Melayu Singapura (OMS) sebagai penyanyi, Nur Umairah sering tekankan keinginan mempelajari sesuatu yang baru.
“Dalam program ini, saya belajar bikin video dan sunting video sendiri. Saya tak pernah tulis lagu dan rasa tercabar menghasilkannya, baik lirik atau melodi untuk beri suntikan segar pada lagu lama seperti nyanyian Iklim, Suci Dalam Debu.
“Saya tak sabar nak tahu reaksi penonton kalau tonton episod di mana saya dan rakan-rakan perlu mencipta lagu. Judul lagu itu Biar,” tambahnya.
Memandangkan bapanya, Mohd Shafiq Kamis, mempunyai latar belakang sebagai pemuzik dan pencipta lagu, apakah pesanan beliau kepada Nur Umairah?
“Bapa saya membantu saya menyusun semula lagu The Lima, Separuh Masa, menjadi lagu jaz. Sebab susunan awal tidak menepati cita rasa saya dan ada tak kena.
“Setiap minggu, beliau akan bertanya apa yang diperlukan bagi sesuatu episod. Walaupun beliau tidak lagi aktif dalam bidang muzik, bapa saya tetap ambil berat dan ingin membantu saya,” katanya.
Peserta manakah yang membuatnya kagum?
Nur Umairah tidak berfikir dua kali bagi menyebut nama Syaz Smooth dan Raliff Ismail.
“Syaz muda macam saya. Dia masuk dalam industri seni semuda saya. Saya rasa Syaz berpotensi besar, buat macam-macam perkara, belajar muzik dan boleh nyanyi lagu tradisional dan bermacam genre lain.
“Raliff pula miliki identiti dan aura tersendiri. Kalau dia ada di pentas, kita takkan pandang lain atau nak bikin benda lain. Persembahannya betul-betul menusuk kalbu dan ‘menggila’. Kita akan tonton sahaja persembahannya dengan rasa kagum.
“Mungkin juga kerana rambutnya yang unik, macam rambut saya semasa kecil! Keriting dan kembang! Itulah sebab saya ‘ngam’ dengan Raliff,” selorohnya.
Nur Umairah juga rasa lebih bersemangat melihat peserta seperti Izat Ibrahim sentiasa kaya dengan kreativiti dan rajin menjana idea menarik.
Apakah perancangannya bagi 2025?
“Ramai yang asyik tanya bila nak bikin lagu? Dah 10 tahun menyanyi, takkan tak ada lagu sendiri? Dulu, belum bersedia tetapi rasanya sekarang saya perlu bulatkan tekad merakam lagu runut bunyi rasmi (OST) drama TV3 yang lama terbengkalai.
“Saya bekerjasama dengan penggubah lagu dan penyanyi Awi Rafael untuk bikin lagu ini. Awi usulkan kepada pihak TV3 dan mereka berminat menjadikannya OST drama,” tambahnya penuh harapan.
“
Saya tidak pernah terlibat dalam Sinar Lebaran seperti sesetengah rakan seni lain. Saya muncul dalam drama dan program hiburan sewaktu kecil sahaja. Dengan adanya saya dalam Kaki Nyanyi, kesyukuran memang terasa. Saya dapat beritahu kepada orang ramai bahawa saya masih aktif menyanyi seperti dahulu.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg