Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nuradee tanpa Nur akibat strok

Nov 21, 2024 | 2:53 PM
Adee hiburkan hati Nur dengan menyanyi bersama, mengingatkannya kepada zaman kegemilangan mereka yang lalu.
Adee hiburkan hati Nur dengan menyanyi bersama, mengingatkannya kepada zaman kegemilangan mereka yang lalu. - Foto ihsan Adee/Nuradee

Nuradee, nama yang pernah mewarnai arena muzik di sini sudah dikenali sebagai kumpulan duo dianggotai penyanyi dua beradik yang berbakat besar, Nur dan Adee. Dalam hantaran facebook Nuradee yang terkini, Adee terpaksa ‘busking’ seorang diri kerana adiknya Nur atau nama sebenar Mohamed Noor Abdullah, 56 tahun sedang terlantar di hospital akibat diserang penyakit strok buat kali kedua yang hampir meragut nyawanya. 

Wartawan Berita Harian (BH) sempat mengunjungi Nur di Hab Penjagaan Bersepadu (ICH) Hospital Tan Tock Seng pada 20 November, dan mendapati Nur tidak dapat melihat, akibat serangan strok yang menjejas bahagian otak dan sarafnya. 

“Saya sudah berada di sini selama tiga bulan. Saya mahu balik…” kata Nur dengan pertuturan sedikit gagap dan air mata mula mencurah. 

Adee atau nama sebenar, Mohamed Rasid Abdullah, 58 tahun berkongsi adiknya itu sangat sensitif dan kerap menangis.  Walaupun keadaannya lebih baik berbanding tiga bulan lalu, beliau tetapi masih tidak boleh dibawa pulang kerana keperluannya lebih terjaga di hospital. 

“Saya terpaksa keluar bekerja mencari rezeki, kalau saya bawa dia pulang, siapa yang akan menjaganya? Lagi pun dia perlu menjalani beberapa lagi ujian, dan saya hanya dapat berserah kepada Allah.”

Sebahagian kaki kiri Nur, termasuk dua jari kaki telah dipotong untuk merawat jangkitan kuman pada 2018. Kini, selain hilang penglihatan, beliau juga tidak dapat berjalan akibat serangan strok. 

“Kami pernah merasa kemewahan, pergi sana sini sekeliling dunia dijemput untuk menyanyi, saya pernah pandu kereta mewah, tetapi semua itu sudah tidak ada, bahkan saya harus fikirkan bagaimana hendak melunaskan bill hospital yang kian melambung,” kata Adee yang mengaku mereka sedang diduga. 

Menurut laporan awal tahun ini oleh BH, Nuradee menghiburkan orang ramai sebagai seniman jalanan atau ‘busker’ berlesen tiga kali seminggu di pelbagai lokasi merata Singapura. Tanpa Nur, Adee terpaksa meneruskan kegiatan ‘busking’ untuk mencari sesuap nasi seorang diri. 

“Kami sebenarnya telah dijemput oleh Gegar Vaganza untuk bertanding. Walaupun pada awalnya, kami tidak berminat, tetapi kami tidak mahu hampakan permintaan ramai. Tetapi setelah Nur jatuh sakit, harapan itu tipis, tapi kami mahu berfikiran positif dan mendoakan agar Nur pulih seperti sediakala,” kata Adee. 

“Kami dapat tahu ada yang mengutip derma atas nama kami. Tolong janganlah berbuat begitu. Jangan gunakan nama kami, kesiankan kami, dan kesiankan pada yang menderma itu. Lebih baik terus menerus hubungi saya jika ingin membantu kami.”

Adee masih ingat sewaktu mereka kecil, ayahnya berpesan kepada Adee untuk menjaga adiknya, dan dari situ mereka berdua memulakan hobi bermain muzik bersama. 

“Kami guna macam-macam alat, termasuk tudung periuk untuk membuat bunyi-bunyian..kami gemar bermain muzik bersama dan muzik sudah dalam darah daging kami. Kami akan tetap teruskan tetapi sekarang lebih berjaga-jaga bila dijemput bermain di kelab-kelam malam, kerana tidak mahu berkait dengan tempat yang menjual minuman keras,” terang Adee yang berkongsi Nur masih dapat bermain gitar dan diberikan gitar sebagai terapi untuknya setiap pagi.

 “Kami bagai menantikan mentari terbit lagi, buat waktu ini, hidup kami suram dan dilanda cubaan bertubi-tubi.” tambah Adee.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg