Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ogy tiada niat kritik sesiapa dalam teater ‘Di Sebalik Topeng’

Oct 21, 2024 | 5:27 PM
Pelakon dan penerbit terkenal, Fauziah Ahmad Daud, mengetengahkan isu semasa menerusi teater terbitannya yang berjudul, ‘Di Sebalik Topeng’, pada 19 dan 20 Oktober di Auditorium Dewan Bahasa Dan Pustaka, Menara DBP di Kuala Lumpur.
Pelakon dan penerbit terkenal, Fauziah Ahmad Daud, mengetengahkan isu semasa menerusi teater terbitannya yang berjudul, ‘Di Sebalik Topeng’, pada 19 dan 20 Oktober di Auditorium Dewan Bahasa Dan Pustaka, Menara DBP di Kuala Lumpur. - Foto BERITA HARIAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penerbit terkenal, Fauziah Ahmad Daud, mengungkap tiada niat untuk mengaibkan sesiapa menerusi teater terbitannya berjudul Di Sebalik Topeng sewaktu majlis pratonton teater itu yang berlangsung di Auditorium Dewan Bahasa Dan Pustaka pada 19 Oktober.

Sebaliknya, beliau sekadar ingin menyuntik isu semasa yang sedang hangat dibincangkan di ruang media sosial.

Menurut laporan Berita Harian Online, Fauziah atau lebih akrab disapa Ogy, menjelaskan bahawa jika ada netizen yang mensensasikan dialog atau jalan cerita yang dilontarkan, beliau tidak ambil peduli.

Ini kerana karya yang diterbitkan merupakan cerminan realiti yang berlaku dalam masyarakat kini.

“Netizen kadang-kadang kita buat sesuatu perkara pun mereka akan kecam. Seperti dialog saya dalam teater ini, mereka suka ‘mengorek’ cerita.

“Apa saja cerita saya yang tidak ‘FYP’ (tular di TikTok), sampai saya kadang-kadang pun terfikir, cerita apa ni?” kongsi Ogy. 

“Apa yang dipersembahkan itu adalah cerita benar dan realiti sekarang. Saya tidak rasa telah buat sesuatu yang salah sebab kami tidak mengaibkan sesiapa. Saya pun tahu Akta Media Sosial,” tambahnya.

Menurut Ogy, 62 tahun, beliau berharap pesan yang ingin disampaikan melalui teater itu dapat membuka mata segelintir masyarakat mengenai kesan negatif komen atau kritikan yang dilontarkan di media sosial.

“Saya cuma harap melalui teater ini dapat menyedarkan mereka mengenai kesan komen yang ditinggalkan di media sosial. Ia boleh menyebabkan semangat atau jiwa seseorang itu hilang.

“Teater ini bukan sekadar hiburan, tetapi satu wadah untuk kita merenung diri dan memahami erti kekuatan dalam menghadapi ujian hidup.

“Setiap watak yang dipersembahkan dalam teater ini melambangkan topeng-topeng yang kita pakai untuk menyembunyikan perasaan dan luka yang kita alami,” ujar Ogy lagi.

Teater Di Sebalik Topeng dipentaskan di Auditorium Dewan Bahasa Dan Pustaka, Menara DBP di Kuala Lumpur, pada 19 dan 20 Oktober.

Ogy memegang watak sebagai isteri seorang tokoh politik yang pernah berkuasa sehingga menyebabkan beliau mengalami masalah kesihatan mental.

Melalui sesi terapi kumpulan, watak wanita itu tidak bersendirian. Beliau ditemani beberapa individu lain yang cuba memulihkan diri daripada trauma dan bebanan hidup.

Di Sebalik Topeng menggunakan latar belakang sesi terapi sebagai medan menyingkap kisah setiap watak yang penuh rahsia.

Dalam pada itu, teater itu turut menekankan kepentingan mencari bantuan dan memahami kesakitan emosi sebagai sebahagian kehidupan yang perlu diatasi, bukan disembunyikan.

“Masyarakat kita masih lagi canggung dan kurang faham kepentingan merawat masalah itu sendiri, dalam dialog monolog pembuka ada menyebut “aku sihat, aku tak sakit” dan itu sendiri menunjukkan dia sendiri tidak sedar dirinya perlu dirawat.

“Saya berharap teater ini juga dapat membantu masyarakat kita ini memahami kepentingan sistem sokongan kepada sesiapa sahaja yang mempunyai masalah kesihatan mental dan emosi,” katanya.

Menyentuh pesanan pengarah, Zainorhisyam Samudin, beliau berharap pementasan itu dapat membuka mata masyarakat tentang kepentingan sokongan emosi.

“Teater ini berunsur eksperimental kepada situasi sebenar yang berlaku dalam kehidupan kita.

“Dalam teater ini kita persembahkan pelbagai latar kehidupan yang membawa kepada gangguan mental itu sendiri.

“Ada sosok narsisis, penagih dadah, penipu, wanita yang melalui dugaan dihina dan dikecam, pemerdagangan manusia dan mangsa penderaan.

“Semua ini berlaku di sekeliling kita dan kita tekankan pada pengakhirannya kepentingan sistem sokongan daripada semua pihak,” kata Zainorhisyam.

Persembahan teater ini turut dilakonkan oleh Rayden Ahmad, Luqman Muqri, Leesha MK, Nor Azila, Gibran Agi dan Ard Omar.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg