Apabila menyebut jenama Hermes, ramai mungkin terbayang beg Birkin atau Kelly.
Namun bagi ramai pelanggan sebenar, kain sutera merupakan titik permulaan untuk mereka mengenali rumah fesyen mewah asal Perancis itu secara mendalam.
Tanpa mengambil kira aspek harga, skarf memberi ruang kepada pemakai untuk bermain dengan warna dan mengekspresikan diri dengan cara tersendiri, kata Pengarah Kreatif Sutera Lelaki Hermes, Encik Christophe Goineau.
Beliau ditemui oleh akhbar The Straits Times (ST) di butik Hermes yang terletak di pusat beli-belah, The Shoppes at Marina Bay Sands, pada 22 Oktober.
“Ia kecil, namun mampu mengubah penampilan secara keseluruhan,” kata Encik Goineau.
Menurut Encik Goineau, skarf dicipta untuk menonjolkan sisi unik atau kreatif dalam diri pelanggan.
Kain sutera Hermes memberi mereka peluang kepada penggemar fesyen untuk mengekspresikan gaya masing-masing.
Beliau turut menekankan bahawa sutera merupakan cara yang sesuai untuk mengenali atau memiliki produk daripada jenama tersebut.
Ini disebabkan rekaan yang sama kemudian boleh ditemui pada jam tangan, barangan rumah dan aksesori lain.
Menurut Encik Goineau, istilah Perancis ‘accessoire’ (aksesori) sebenarnya kurang tepat digunakan, kerana ia memberi tanggapan bahawa sesuatu objek itu tidak penting atau sekadar pelengkap.
“Sebaliknya, ia lebih penting. Sutera membawa keberanian, keriangan dan keseronokan kepada Hermes,” jelas beliau.
Justeru, kain sutera juga menjadi tumpuan dalam pameran awam Hermes di Singapura.
Dari sekarang hingga 5 November, pameran, The Silky Way, di Marina Bay Sands Event Plaza membawa pengunjung melalui perjalanan jenama tersebut menerusi skarfnya.
Ia turut menyelami kisah di sebalik setiap carre (perkataan Perancis bagi ‘segi empat’, merujuk kepada skarf).
Pameran percuma itu dianjurkan buat kali pertama di Singapura dan dijangka akan diteruskan ke lokasi lain yang masih belum diumumkan.
Tarikan utama di pameran itu adalah filem pendek sepanjang 20 minit yang menampilkan enam skarf sutera Hermes dalam bentuk animasi.
Di satu ruang khas, pengunjung dapat berbaring di kerusi empuk sambil menyaksikan rekaan rumit skarf yang dipaparkan di skrin di atas mereka.
Daripada gugusan bintang ke babak sarkas yang unik, sehinggalah babak kehidupan di Paris yang menakjubkan, video pendek itu membawa pengunjung menyelami dunia Hermes.
Di luar, galeri sutera mempamerkan beberapa skarf terkini Hermes, yang diberi sentuhan artistik seumpama pameran seni.
Selain itu, tiga pod peribadi membolehkan pengunjung meneroka pelbagai sisi skarf terpilih dengan cara unik – melalui muzik, teleskop, dan buku khas – sepadan dengan kategori fesyen itu yang memberi kebebasan kreatif paling luas.
Bahagian fesyen skarf wanita dimulakan pada 1937 dan kekal menjadi tonggak utama perniagaan Hermes, meskipun ia tidak sepenting kategori barangan kulit.
Dalam laporan jualan terkini bagi suku ketiga 2025, Hermes mencatat pertumbuhan 4 peratus dalam perniagaan sutera dan tekstil.
Sejak 1980-an, Hermes mengawal sepenuhnya rantaian pengeluaran sutera dan tekstil, yang menurut Encik Goineau langkah tersebut telah memberi kelebihan kepada rumah fesyen itu berbanding jenama lain.
Daripada bahan mentah hingga rekaan, termasuk semua proses menenun, mengukir dan membuat saringan sutera, “kami mengawal 100 peratus setiap langkah tersebut di bengkel kami”, jelas Encik Goineau.
“Dan ia memberi perbezaan besar, kerana pada setiap langkah, kami boleh menambah perincian yang kami inginkan.”
Pameran The Silky Way mempamerkan 36 skarf lelaki dan wanita daripada musim Bunga/Panas 2025, Luruh/Sejuk 2025 dan Bunga/Panas 2026.
Sebuah dinding Carre Stories (Kisah Segi Empat) memaparkan koleksi kad yang menceritakan kisah di sebalik setiap skarf yang dipamerkan dalam Galeri Sutera.
Pemilihan itu dibuat untuk menyerlahkan keindahan Hermes, dan “tidak semestinya (skarf) yang paling laris”, kata Encik Goineau.
“Dengan pameran ini, kami ingin menunjukkan bahawa di sebalik setiap skarf ada kisah yang ingin diceritakan,” tambah beliau, sambil memakai skarf kashmir-sutera biru gelap dengan corak gitar, salah satu ‘carre’ yang dipamerkan.
Encik Goineau boleh dianggap sebagai ‘penjaga’ reka bentuk sutera yang dipamerkan di butik tersebut.
Bersama rakan sejawatnya di bahagian skarf wanita, Cik Cecile Pesce, Encik Goineau mengawasi penciptaan kain sutera jenama itu dan memilih pereka untuk bekerjasama dalam setiap musim.
Setiap helai skarf mengambil masa hampir dua tahun untuk disiapkan.
Hermes mengeluarkan dua koleksi utama setiap tahun – bagi musim bunga dan luruh.
Koleksi lelaki dan wanita pula direka secara berasingan, dengan setiap pengarah kreatif memastikan ciri maskulin dan feminin tidak bertindih, sama ada dari segi rekaan mahupun komposisi fabrik.
Apabila menghasilkan sesuatu koleksi, Encik Goineau berkata beliau akan memilih “gabungan antara rekaan klasik, moden, dengan sedikit pelik atau di luar kebiasaan”.
Rekaan ‘pelik’ itu, katanya, “mungkin hanya menarik minat segelintir pelanggan, tetapi jika mereka gembira, itu sudah cukup membuatkan saya gembira”.
Malah, setiap butik menawarkan koleksi berbeza.
Pembeli bagi setiap pasaran dan kedai diberi kebebasan penuh untuk menentukan koleksi yang ingin dibawa masuk.
“Satu koleksi boleh diterima dengan cara yang sangat berbeza di Asia, Eropah atau Amerika Syarikat,” jelas Encik Goineau.
Ini yang menjadikan setiap lawatan ke butik Hermes satu pengalaman baru buat pelanggan.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web Hermes di hermes.com
Maklumat Pameran ‘The Silky Way’
Lokasi: Marina Bay Sands Event Plaza, 10 Bayfront Avenue
Tarikh: Hingga 5 November, dari 12 tengah hari hingga 8.30 malam
Masuk percuma
“
“Dengan pameran ini, kami ingin menunjukkan bahawa di sebalik setiap skarf ada kisah yang ingin diceritakan.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg