Pereka fesyen dan jurusolek tersohor Singapura, Fatimah Mohsin, telah menerima jemputan untuk mempersembahkan koleksi rekaannya di Minggu Fesyen Asean Borneo (BAFW) 2025, yang berlangsung di Pullman Miri Waterfront, Sarawak.
Majlis pratonton eksklusif yang berlangsung pada 25 Oktober itu menghimpunkan pereka terkemuka dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan Vietnam, termasuk nama besar seperti Ridzuan Bohari, Fara Mas, Rudy Chandra, dan K Jona.
Acara itu sebagai usaha memperkukuh kedudukan Borneo sebagai hab fesyen dan kreativiti serantau.
Fatimah, yang terkenal dengan sentuhan glamor pada busana pengantin dan hasil solekan elegannya, berkongsi kegembiraan itu menerusi hantaran di laman TikTok dan Instagram miliknya.
“Kami sedang menuju ke Borneo Asean Fashion Week @borneoaseanfw! Dan ini ialah intipan istimewa tentang hasil kerja kami…” tulis beliau dalam kapsyen yang disertai video ringkas memperlihatkan persiapan koleksi baru rekaannya.
Dalam hantaran sama, Fatimah turut berkongsi ilham di sebalik koleksi khas yang dibawanya ke pentas BAFW.
“Daripada fabrik eksklusif hingga siluet istimewa, setiap helaian adalah penghormatan kepada ketukangan abadi, penyesuaian dan warisan.
“Koleksi ini lahir daripada visi kami, dan dihidupkan dengan sokongan rakan kongsi yang luar biasa.
“Terima kasih khas kepada @osmansilkhousekl kerana menyediakan bahan-bahan mewah yang menjayakan koleksi ini. Sokongan anda amat bermakna bagi kami,” katanya.
Menurut Fatimah, koleksi terkininya itu menampilkan unsur klasik yang diolah dengan sentuhan moden, menonjolkan kehalusan seni jahitan serta keanggunan budaya Melayu dan Nusantara.
“Setiap helaian yang saya hasilkan adalah satu penghormatan kepada warisan dan nilai ketukangan yang tidak lapuk dek zaman.
“Saya mahu wanita yang memakainya berasa yakin, anggun, dan dihargai,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Pengasas bersama BAFW, Ferrida Sharkawi, dalam ucapannya berkata acara tersebut bukan sekadar pertunjukan fesyen, bahkan juga perayaan kerjasama, kreativiti dan perpaduan dalam masyarakat Asean.
“Apabila kami mula merancang BAFW, ia hanya sebuah impian, untuk menyerlahkan bakat dan budaya luar biasa yang menjadikan rantau ini unik.
“Kami mahu lebih daripada sekadar pentas peragaan; kami ingin membina jambatan yang menghubungkan pereka, artis dan usahawan merentas sempadan melalui bahasa fesyen,” ujarnya dalam satu kenyataan media.
Sementara itu, pereka dari Malaysia yang juga pengasas bersama BAFW, Ridzuan Bohari, menyifatkan kehadiran pereka seperti Fatimah sebagai bukti semangat serantau yang semakin berkembang.
“Fesyen ialah bahasa sejagat yang menghubungkan manusia dan bercerita melangkaui batas geografi.
“Setiap pereka membawa semangat seni dan kebanggaan negara masing-masing,” kata beliau dalam surat undangannya kepada Fatimah.
Sebagai pemilik Fatimah Mohsin The Wedding Gallery, nama beliau sudah sinonim dengan dunia perkahwinan dan fesyen tempatan.
Lebih dua dekad berkecimpung dalam industri, Fatimah dikenali kerana gaya rekaannya yang elegan dan sofistikated, serta kemampuannya menyesuaikan tradisi dengan trend sejagat.
Dengan penyertaan di minggu fesyen tersebut, Fatimah berharap dapat memperluas jangkauan kreatifnya ke peringkat serantau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg