Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pandu kereta dari S’pura ke Langkawi, keluarga jimat kos

Jul 27, 2025 | 5:30 AM
Kereta dibawa menaiki feri ke Langkawi.
Kereta dibawa menaiki feri ke Langkawi. - Foto LOW XIAOQI

Mengambil penerbangan dari Singapura ke Langkawi lazimnya menjadi pilihan jelas dan paling pantas bagi para pengunjung yang ingin ke negeri di Laut Andaman, bahagian barat laut Semenanjung Malaysia tersebut.

Namun, ada sebahagian yang sanggup mengambil laluan lebih panjang, iaitu untuk memandu, seperti keluarga enam beranak Cik Low Xiaoqi, 42 tahun.

Pada Jun lalu, keluarga beliau memandu kereta sehingga Kuala Perlis sebelum keretanya menaiki feri di jeti menggunakan khidmat RoRo Langkawi.

“Membawa kereta kami ke Langkawi menjadi pengalaman yang menakjubkan, jauh lebih baik daripada yang kami jangkakan! Kajian yang saya lakukan di Google dan Facebook ada mengandungi sedikit maklumat, tetapi ia tidak begitu terperinci. Justeru soalan ‘bagaimana jika (sesuatu berlaku)‘ kerap terlintas di fikiran saya.

“Nasib baik perjalanan kami sangat lancar. Memandu ke atas feri agak mendebarkan, dan mempunyai kereta sendiri di Langkawi menjadikan perjalanan kami lebih selesa dan mudah. Kami pasti akan melakukannya lagi!” ujar pencipta kandungan itu.

Cik Low, yang sedang bercuti di Melaka waktu itu berkongsi bahawa tempoh memandu ke Kuala Perlis mengambil masa tujuh jam, tetapi jika dari Singapura boleh mencecah 10 jam.

Perjalanan feri pula mengambil masa dalam sejam setengah sebelum mereka tiba di Langkawi.

Bagaimanapun, kos keseluruhan yang dibelanjakan jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan tiket pesawat.

Memberi contoh, beliau berkata bayaran menaiki feri buat beliau sekeluarga termasuk kereta adalah RM668 ($202), manakala tiket pesawat akan menelan perbelanjaan antara $1,600 dengan $1,900.

Beliau menambah pengalaman memandu agak lancar di sepanjang lebuhraya utama utara selatan, berbeza berbanding dengan Cherating dan Desaru, di mana terdapat banyak laluan satu lorong, berbelit-belit dengan jalan berlubang.

Sepanjang lima hari di Langkawi, keluarganya ke Taman Hidupan Liar Langkawi, Langkawi Underwater World, menaiki kereta kabel dan melakukan kegiatan ‘snorkeling’.

Mereka juga sempat menonton persembahan api di Hidden Langkawi, memandu ke puncak tertinggi Langkawi, Gunung Raya dan singgah di Dataran Lang.

Cik Low, yang juga ibu empat anak berusia antara enam dengan 14 tahun, menyarankan keluarga lain agar mempertimbang memandu ke Langkawi, pada masa yang sama menyelitkan percutian di daerah Malaysia yang lain, dalam perjalanan ke sana, contohnya di Melaka.

“(Membawa kereta dan menaiki feri) pengalaman unik yang tidak boleh didapati di Singapura. Ia juga memberi anak-anak kita perspektif baru tentang bagaimana perjalanan darat juga boleh diberi sentuhan berbeza dan menyeronokkan,” ujarnya. - NUR HUMAIRA SAJAT

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg