Percutian kadangkala tidak perlu diisi dengan pelbagai kegiatan yang padat.
Ada masanya, apa yang diperlukan ialah percutian santai tanpa melakukan apa-apa.
Kenikmatan itu dirasakan apabila saya bercuti di resort glamping, Tiarasa Escapes di Janda Baik yang terletak hanya 45 minit dari pusat bandar Kuala Lumpur.
Rasa tenang dirasakan apabila dapat menikmati kemudahan mewah di resort itu - jauh dari kesibukan dunia.
Tidak ramai yang tahu mengenai Janda Baik yang terletak di Pahang.
Namanya sahaja sudah cukup untuk menimbulkan rasa ingin tahu.
Menurut cerita rakyat, nama Janda Baik berasal daripada kisah seorang lelaki bernama Emok yang sudah berkahwin tetapi jatuh cinta dengan seorang wanita cantik.
Akhirnya, beliau membuat keputusan untuk meninggalkan isteri pertamanya dan berkahwin dengan wanita tersebut.
Namun, selain nama yang menarik, Janda Baik memang sebuah permata tersembunyi.
Ia menawarkan satu pengalaman untuk keluar dari hiruk-pikuk kota.
Terletak di kawasan pergunungan, ia menawarkan landskap semula jadi yang indah dan belum terusik, dengan pelbagai gaya percutian untuk dipilih.
Resort Tiarasa Escapes adalah salah satu daripadanya. Seperti namanya, ia benar-benar satu pengalaman untuk menikmati alam semula jadi dalam suasana mewah dan melambangkan gaya hidup glamping.
Glamping ialah gabungan perkataan ‘glamorous’ dan ‘camping’ – iaitu konsep berkhemah dalam suasana terbuka, tetapi dengan segala kemudahan moden seperti katil yang selesa, bilik air peribadi dan rekaan dalaman yang estetik.
Melalui glamping, anda dapat menikmati keindahan alam semula jadi tanpa perlu mengetepikan aspek keselesaan.
Perjalanan ke sana juga sudah memberi bayangan akan keindahan yang menanti.
Semakin jauh dari kota, jalan semakin lengang – kereta semakin kurang, kehijauan semakin banyak dan suasana kampung mula terasa.
Tapi sebaik sahaja sampai ke Tiarasa Escapes, rasanya seperti memasuki ke dunia yang berbeza – bersih dan dijaga rapi.
Melihat di sekelilingnya, resort itu dipenuhi kehijauan dan kawasan penginapannya dihiasi dengan khemah gaya safari dan vila di atas pokok yang kelihatan sederhana dari luar.
Tetapi apabila melangkah masuk, ruang dalamannya luas, direka dengan teliti dan menampilkan sentuhan gaya bohemian yang menarik.
Untuk menambahkan lagi suasana santai, setiap khemah dilengkapi dengan buaian gantung, atau hammock.
Tiarasa Resort terletak betul-betul di sebelah Sungai Enderong yang tenang.
Bunyi aliran airnya yang berterusan terasa menyejukkan jiwa.
Apabila malam tiba, suasananya menjadi lebih tenang dan mendamaikan.
Ada banyak kawasan atau spot bergambar yang cantik – dari kolam birunya yang ikonik, papan tanda lucu, hingga buaian kayu yang wajib dijadikan kenangan.
Inilah glamping versi mewah.
Tetapi jika saya boleh memilih satu aspek yang paling disukai, ia pasti tentang makanan di Tiarasa Escapes.
Saya masih terkenang nasi ulam dengan ayam masak merah Mak Tok, pasta dendeng yang tidak disangka begitu sedap, dan nasi lemak tradisional yang dihidangkan.
Saya sanggup kembali untuk tambah sepinggan lagi.
Hidangan sarapan paginya juga sangat mengenyangkan dan penuh nostalgia – pulut serunding, mi goreng, dan kopi yang pasti memuaskan hati peminat minuman tersebut.
Apabila perut sudah diisi, saya habiskan masa dengan beriadah.
Terdapat kawasan untuk sukan badminton dan memanah, banyak pilihan mainan berpapan dan buku untuk mengurangkan masa skrin, dan pastinya kolam renang kalau mahu berendam.
Resort ini mesra keluarga, tetapi tidak bising atau sesak.
Anda bebas pilih sama ada mahu padatkan jadual dengan banyak kegiatan atau bersantai sahaja.
Apabila malam menjelma, unggun api dinyalakan, mengajak tetamu berkumpul dan membuat s’mores – sejenis manisan yang dibuat daripada marshmallow, coklat dan biskut kering yang kemudian dipanggang.
Ia sangat menyeronokkan.
Ini disusuli dengan tayangan filem bak di pawagam terbuka di bawah langit malam yang berbintang.
Apabila tiba masa untuk tidur pula, terdapat nota kecil di dalam bilik yang mencadangkan agar pintu khemah dibuka supaya dapat menikmati sepenuhnya malam yang sepi.
Saya tidak berani untuk membiarkan sebarang serangga mendekati diri tetapi saya tetap merasai ketenangan itu.
Katil bersaiz king yang disediakan amat selesa dan tidur malam itu terasa bagai rehat sebenar pertama saya sejak sekian lama.
Pagi menjelma dengan tenang dan waktu ibarat berlalu dengan amat perlahan.
Ketika waktu sarapan, hanya ada beberapa orang tetamu sahaja.
Jadi, walaupun hidangannya dalam bentuk bufet, suasananya tetap damai dan saya tidak rasa perlu tergesa-gesa.
Selepas makan, kami meluangkan masa bersantai di kawasan rumput terbuka, di mana terdapat kerusi buaian yang selesa, sekali lagi dikelilingi oleh kehijauan yang menyegarkan.
Tetapi perkara yang paling saya hargai semasa di sini adalah saya tidak perlu melakukan apa-apa dan hanya perlu menikmati keindahan alam semula jadi dan kemudahan yang terdapat di resort ini.
Itulah keindahan yang dirasakan di Tiarasa Escapes.
Ia memberi saya peluang berehat sepenuhnya sambil menikmati keindahan alam semula jadi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg