Topik diikuti
Pergi ke BHkuPanduan jika tersesat semasa mendaki hutan
Panduan jika tersesat semasa mendaki hutan
Lonjakan kes pendaki sesat tuntut kesedaran mengenai teknik keselamatan, langkah kelangsungan hidup yang efektif di dalam hutan
Panduan jika tersesat semasa mendaki hutan
Kegiatan mendaki semakin mendapat tempat di rantau Asia yang kaya dengan khazanah alam semula jadi, daripada banjaran Himalaya hingga hutan hujan tropika Asia Tenggara.
Laman Hiking in Asia menyifatkan benua ini sebagai syurga pendaki, menawarkan denai yang memikat dengan kepelbagaian tahap kesukaran dan pemandangan yang indah.
Di Malaysia sendiri, aplikasi AllTrails merekodkan lebih 3,400 laluan, bermula daripada trek santai di taman bandar hinggalah ekspedisi getir di kawasan pedalaman.
Namun, di sebalik keindahan yang menjanjikan, terdapat risiko tersesat dan ia menuntut kewaspadaan tinggi daripada setiap pendaki.
Akhbar New Straits Times (NST) melaporkan 52 kes pendaki sesat di Malaysia setakat 2026, membabitkan 114 individu.
Ia merupakan peningkatan hampir 30 peratus berbanding 40 kes dengan 88 mangsa dalam tempoh yang sama pada 2025.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad, berkata antara insiden besar yang berlaku pada 2026 termasuk kehilangan 10 pendaki di Taman Persekutuan Bukit Kiara pada Mei lalu dan tujuh pendaki yang sesat di kawasan Kem Kasut, Gunung Yong Belar di Gua Musang pada Februari.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak memandang remeh aspek keselamatan ketika mendaki dan sentiasa mematuhi prosedur, terutamannya memaklumkan lokasi pendakian kepada keluarga atau pihak berkaitan.
Kes terbaru yang mencuri perhatian ialah kehilangan pendaki wanita Malaysia, Cik Jaslinda Saludin, 49 tahun, yang ditemui selamat selepas hampir dua minggu hilang di kawasan hutan Gunung Batu Putih, Tapah, Perak.
Kehilangannya mencetuskan operasi mencari dan menyelamat berskala besar yang membabitkan helikopter, masyarakat Orang Asli serta pasukan khas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Menurut laporan media, Cik Jaslinda ditemui oleh sekumpulan Orang Asli, pada 6 Jun lalu.
Beliau dilaporkan bertahan hidup dengan meminum air sungai serta memakan buah-buahan dan tumbuhan hutan sepanjang tempoh kehilangan tersebut.
Kisah beliau menjadi bukti bahawa ketahanan mental, tindakan yang betul serta pengetahuan asas mengenai ikhtiar kecemasan mampu meningkatkan peluang seseorang untuk terus hidup sehingga bantuan tiba.
Berdasarkan pengalaman mangsa yang terselamat serta nasihat pakar kegiatan luar, berikut beberapa langkah yang disarankan sekiranya anda tersesat ketika mendaki.
Panduan Mendaki Secara Selamat
Pendaki yang memasuki kawasan hutan tebal disaran mendaki bersama rakan dan mengelakkan diri daripada berpecah daripada kumpulan, kata anggota kanan pasukan mencari dan menyelamat, Pacific Northwest Search and Rescue di Amerika Syarikat, Encik Scott Hillson.
“Kami sering berdepan situasi apabila seseorang mengambil keputusan untuk pulang ke titik permulaan pendakian lebih awal daripada kumpulannya, namun akhirnya berdepan masalah tanpa sokongan ahli kumpulan yang lain,” katanya.
Beliau turut menasihatkan jika seseorang itu sesat, mereka harus berusaha menjadikan diri mudah dilihat oleh pasukan penyelamat dan kekal berada di satu lokasi.
“Jika anda benar-benar tersesat, pastikan anda berada di tempat yang mudah dikesan dan jangan bergerak ke merata-rata,” jelasnya.
Pakar keselamatan luar mengesyorkan penggunaan kaedah S.T.O.P., iaitu Stop (Berhenti), Think (Fikir), Observe (Perhati) dan Plan (Rancang).
1. Berhenti seketika untuk menilai keadaan, semak laluan terakhir yang dilalui dan tentukan sumber yang masih ada seperti makanan, air, bateri telefon atau lampu suluh.
Jangan panik. Tindakan tergesa-gesa atau terus berjalan tanpa arah yang jelas boleh menyebabkan anda tersesat lebih jauh.
2. Tinggalkan petunjuk yang mudah dikesan
Sekiranya anda perlu bergerak, tinggalkan tanda yang jelas dan mudah dikenal pasti.
Petunjuk seperti susunan batu, ikatan pada ranting atau nota ringkas boleh membantu pasukan penyelamat menjejaki laluan anda.
Ia juga membolehkan anda kembali ke lokasi asal sekiranya usaha mencari jalan keluar tidak berjaya.
3. Urus bekalan dengan bijak
Bekalan makanan, air dan peralatan kecemasan perlu digunakan secara berhemat.
Bahagikan makanan kepada beberapa bahagian kecil dan elakkan penggunaan lampu suluh atau lampu kepala secara berterusan bagi menjimatkan bateri.
Menyimpan tenaga adalah sama pentingnya dengan menyimpan bekalan.
4. Tingkatkan peluang untuk ditemui
Sentiasa cuba menarik perhatian orang lain atau pasukan mencari dan menyelamat.
Gunakan wisel jika ada kerana bunyinya boleh didengari lebih jauh berbanding jeritan manusia. Pada waktu malam, gunakan lampu suluh sebagai isyarat.
Sekiranya keadaan mengizinkan, unggun api yang menghasilkan asap juga boleh membantu menunjukkan lokasi anda.
Pakar turut mengingatkan supaya mengelakkan menjerit secara berterusan kerana ia boleh menyebabkan keletihan dan dehidrasi.
5. Cari kawasan lebih rendah jika perlu
Jika keadaan memaksa dan anda yakin untuk bergerak, laluan yang menurun lazimnya membawa ke kaki bukit atau gunung yang lebih hampir dengan sumber air dan penempatan manusia.
Bagaimanapun, langkah ini hanya sesuai dijadikan pilihan terakhir kerana ia berisiko membawa anda lebih jauh daripada laluan asal atau kawasan operasi mencari dan menyelamat.
6. Jangan berputus asa
Mangsa yang hilang sering ditemui selepas beberapa hari hasil usaha berterusan pasukan penyelamat.
Justeru, kekalkan semangat, terus berusaha memberi isyarat dan fokus kepada kelangsungan hidup sehingga bantuan tiba.
Seperti yang dibuktikan dalam kes Cik Jaslinda, ketahanan mental dan keazaman untuk terus bertahan boleh menjadi faktor penting yang menentukan peluang seseorang untuk pulang dengan selamat.
Langkah pencegahan sebelum mendaki
Pihak berkuasa turut menasihatkan pendaki supaya membuat persediaan secukupnya sebelum memulakan perjalanan.
Antara langkah yang disarankan termasuk:
Memaklumkan lokasi dan jadual pendakian kepada ahli keluarga atau rakan.
Mendaki secara berkumpulan dan tidak bersendirian.
Membawa peta, kompas atau peranti navigasi Sistem Kedudukan Sejagat (GPS).
Menyediakan wisel, lampu suluh dan kit kecemasan.
Membawa bekalan makanan serta air yang mencukupi.
Memastikan telefon bimbit dicas penuh dan membawa bank kuasa.
Mengetahui keadaan cuaca serta tahap kesukaran laluan sebelum memulakan pendakian.
Walaupun tiada siapa merancang untuk tersesat ketika mendaki, persediaan rapi dan pengetahuan asas mengenai langkah kecemasan boleh menjadi perbezaan antara tragedi dan kisah kelangsungan hidup yang luar biasa.
